Al-mujaadalah
[1]
Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan
memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad)
mengenai suaminya, sambil ia berdoa
merayu kepada Allah (mengenai perkara yang
menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu
berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[2]
Orang-orang yang "ziharkan"
isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana)
isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain
hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka
(dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan
dusta. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
[3]
Dan orang-orang yang
"ziharkan" isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka
ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu)
memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur.
Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati
perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya
akan apa yang kamu lakukan.
[4]
Kemudian, sesiapa yang tidak dapat
(memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut
sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak
sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin.
Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya
(dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah). Dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang
yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[5]
Sesungguhnya orang-orang yang menentang
(perintah) Allah dan RasulNya, mereka tetap ditimpa kehinaan sebagaimana
orang-orang yang terdahulu dari
mereka ditimpa kehinaan; kerana sesungguhnya Kami telah menurunkan
keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan bagi orang-orang yang kafir
disediakan azab seksa yang menghina,
[6]
Semasa mereka semuanya dibangkitkan
hidup semula oleh Allah (pada hari kiamat), lalu diterangkan kepada mereka
segala yang mereka telah kerjakan. Allah telah menghitung amal- amal mereka itu
satu persatu, sedang mereka telah melupakannya. Dan (ingatlah), Allah menjadi
Saksi akan tiap-tiap sesuatu.
[7]
Tidakkah engkau memikirkan, bahawa
sesungguhnya Allah mengetahui segala yang
ada di langit dan yang ada di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dia lah yang keempatnya, dan
tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dia lah yang keenamnya, dan tiada
yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Ia ada
bersama- sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Ia akan memberi
tahu kepada mereka
- pada hari
kiamat - apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
akan tiap-tiap sesuatu.
[8]
Tidakkah engkau
memerhatikan (wahai Muhammad) akan
orang-orang (Yahudi) yang telah
dilarang daripada perbuatan berbisik-bisik, kemudian mereka berbalik melakukan
perbuatan yang telah dilarang itu serta mereka berbisik-bisik berkenaan dengan
melakukan dosa dan pencerobohan serta kederhakaan kepada Rasulullah? Dan lagi
apabila mereka datang kepadamu, mereka memberi salam hormat bukan dengan lafaz
salam hormat yang diberikan Allah
kepadamu; dan mereka berkata sesama sendiri: "(Kalau benar Muhammad utusan
Tuhan, maka) sepatutnya kami diseksa oleh Allah disebabkan (kata-kata buruk)
yang kami ucapkan itu?" Cukuplah untuk mereka neraka Jahannam, yang mereka
akan dibakar di dalamnya; maka itulah seburuk-buruk tempat kembali.
[9]
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila
kamu berbisik-bisik sesama sendiri, maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk
melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan derhaka kepada Rasulullah; dan
(sebaliknya) berbisiklah untuk berbuat kebajikan dan bertaqwa. Dan hendaklah
kamu tetap bertaqwa kepada Allah yang kepadaNya kamu semua akan dihimpunkan
(pada hari kiamat untuk dihitung amal kamu dan menerima balasan). [10]
Sesungguhnya
perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan, untuk
menjadikan
orang-orang yang beriman
berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun
melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang
beriman berserah diri.
[11]
Wahai orang-orang
yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu
(untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan
(segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah,
supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan
orang-orang yang
diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan
(ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. [12]
Wahai
orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengadap dan bertanyakan sesuatu
kepada Rasulullah, maka hendaklah kamu
bersedekah (kepada fakir miskin) sebelum kamu mengadapnya; (pemberian sedekah)
itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih bersih. Dalam pada itu, kalau kamu
tidak ada benda yang hendak disedekahkan, (kamu dibenarkan juga mengadapnya
mengenai perkara yang tak dapat dielak), kerana sesungguhnya Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[13]
Adakah kamu takut (akan kemiskinan)
kerana kerap kali kamu memberi sedekah sebelum kamu mengadap? Kalau kamu tidak
melakukan (perintah) itu, dan Allah pun memaafkan kamu (kerana kamu tidak mampu), maka dirikanlah sembahyang dan
berikanlah zakat (sebagaimana yang sewajibnya), serta taatlah kamu kepada Allah
dan RasulNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan segala
amalan yang kamu lakukan. [14]
Tidakkah engkau
melihat (bagaimana jahatnya) orang-orang yang bersahabat karib dengan
kaum yang telah dimurkai Allah (dengan
sebab kekufuran dan khianatnya)? Mereka itu bukanlah dari golongan kamu dan
bukan pula dari golongan kaum yang tersebut itu (kerana mereka ialah golongan
munafik); dan lagi mereka selalu bersumpah dengan dusta, sedang mereka
mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).
[15]
Allah telah menyediakan
bagi mereka azab seksa yang berat;
sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.
[16]
Mereka menjadikan sumpahnya sebagai
perisai (untuk menyelamatkan diri dan harta bendanya daripada dirampas atau
dibunuh), maka dengan yang demikian dapatlah mereka menghalang (dirinya dan
orang lain) dari jalan Allah; oleh itu mereka beroleh azab seksa yang menghina.
[17]
harta benda mereka dan anak pinak mereka
tidak sekali-kali akan dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari
azab Allah. Merekalah ahli neraka, mereka tetap kekal di dalamnya.
[18]
(Setelah nyata kepada orang-orang
munafik itu bahawa harta benda dan anak pinaknya tidak dapat memberikan
pertolongan), ketika mereka semuanya dibangkitkan oleh Allah (pada hari
kiamat), maka mereka bersumpah kepadaNya (bahawa mereka adalah orang-orang
mukmin) sebagaimana biasanya mereka bersumpah kepada kamu; dan mereka menyangka
bahawa (dengan berbuat demikian) mereka akan mendapat sesuatu (yang berfaedah
kepada mereka). Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya merekalah golongan pendusta.
[19]
Syaitan telah
menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati
(ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya
orang-orang yang rugi.
[20]
Sesungguhnya
orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, mereka termasuk dalam
golongan yang amat hina.
[21]
Allah telah menetapkan:
"Sesungguhnya Aku dan Rasul-rasulKu tetap mengalahkan (golongan yang
menentang) ". Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha kuasa. [22]
Engkau tidak
akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,
tergamak berkasih-mesra dengan
orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang
yang menentang itu ialah bapa-bapa
mereka, atau anak- anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga
mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka,
dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia
akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai, mereka tetap kekal di dalamnya.
Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat
pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah. Ketahuilah!
Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah itu ialah orang-orang yang
berjaya.
Al-Hasyr
[1]
Segala yang ada di langit dan di
bumi tetap mengucap tasbih kepada
Allah; dan Dia lah Yang
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[2]
Dia lah yang telah mengeluarkan
orang-orang kafir di antara Ahli Kitab - dari kampung halaman mereka pada
julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah. Kamu (wahai
umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya
yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa
benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada
mereka (dari azab) Allah. Maka Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari
arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan
cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka
dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang yang
beriman (yang mengepung mereka berbuat
demikian dari luar). Maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu)
wahai orang- orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.
[3]
Dan kalaulah tidak kerana Allah telah
menetapkan pengusiran (yang demikian buruknya) terhadap mereka, tentulah Ia akan
menyeksa mereka di dunia; dan mereka pula akan beroleh azab seksa neraka pada
hari akhirat kelak.
[4]
(Mereka ditimpakan azab) yang demikian,
kerana mereka mereka menentang (perintah) Allah dan RasulNya. Dan (ingatlah),
sesiapa yang menentang (perintah) Allah, maka sesungguhnya
Allah amatlah berat azab
seksaNya.
[5]
Mana-mana jua pohon kurma (kepunyaan
musuh) yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak berdiri seperti keadaannya yang
asal, maka yang demikian adalah dengan izin Allah (kerana
Ia hendak
memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin), dan kerana Ia hendak
menimpakan kehinaan kepada
orang-orang yang fasik.
[6]
Dan apajua yang Allah kurniakan kepada
RasulNya dari peninggalan harta benda mereka (yang telah diusir itu, maka
kamu tidak berhak mendapatnya), kerana kamu tidak memecut seekor kuda pun dan
tidak menunggang seekor unta pun (untuk berperang mengalahkan mereka); tetapi
Allah memberikan kekuasaan kepada Rasul-rasulNya mengalahkan sesiapa yang
dikehendakiNya (dengan tidak payah berperang); dan Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
[7]
Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya
(Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang,
maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat
(Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang
musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak
hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua
perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu
melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah;
sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar
perintahNya).
[8]
(Pemberian itu hendaklah diuntukkan)
kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung
halamannya dan harta bendanya (kerana
berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah
dan keredaanNya, serta menolong (ugama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang
yang benar (imannya dan amalnya). [9]
Dan orang-orang
(Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka,
mengasihi orang-orang yang berhijrah ke
negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa
yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga
mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri,
sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan
dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara
dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang
yang berjaya.
[10]
Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka
(berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa
saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau
jadikan dalam hati perasaan hasad
dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami!
Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu".
[11]
Tidakkah engkau melihat dan
merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang
munafik itu? Mereka tergamak berkata
kepada saudara-saudara mereka yang
kafir dari kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab: "Sesungguhnya, kalau kamu
dihalau keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu, dan kami tidak
akan tunduk taat kepada sesiapapun untuk menentang kamu selama-lamanya; dan
kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu!" Padahal Allah
mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta.
[12]
Demi sesungguhnya! Jika orang-orang
(Yahudi) itu dihalau keluar (dari Madinah), mereka (yang munafik) ini tidak
akan keluar bersama-samanya; dan demi sesungguhnya, jika orang- orang (Yahudi)
itu diperangi, mereka (yang munafik) ini tidak akan membelanya; dan demi
sesungguhnya, jika ditakdirkan mereka membelanya sekalipun, sudah tentu mereka
(semuanya - Yahudi dan munafik) akan melarikan diri; kemudian mereka tidak akan
mendapat pertolongan, -
[13]
(Kerana) sesungguhnya kamu - dalam hati
mereka, - sangat ditakuti lebih dari Allah; yang demikian itu, kerana mereka
ialah kaum yang tidak memgerti (akan kekuasaan Allah dan kebesaranNya).
[14]
(Orang-orang Yahudi dan orang-orang
munafik) dengan keadaan bersatu padu sekalipun, tidak berani memerangi kamu
melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok.
(Sebabnya): permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras; engkau
menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan
berlainan kepercayaan mereka). Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang
tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka).
[15]
(Keadaan kaum Yahudi itu) samalah
seperti orang-orang (dari suku Yahudi) yang terdahulu sedikit dari mereka, yang
telah merasai akibat yang buruk (di dunia) dengan sebab bawaan kufur mereka;
dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya (pada hari
akhirat kelak).
[16]
(Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi)
itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika ia berkata kepada manusia:
"Berlaku kufurlah engkau!" Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap
terkena azab), berkatalah Syaitan kepadanya: "Sesungguhnya aku adalah
berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang
menguasai seluruh alam!"
[17]
Maka kesudahan
keduanya, bahawa mereka ditempatkan di dalam neraka, kekal mereka di dalamnya.
Dan yang demikian itulah balasan makhluk-makhluk yang zalim.
[18]
Wahai orang-orang yang beriman!
Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan
laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia
telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali
lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya
akan segala yang kamu kerjakan.
[19]
Dan janganlah kamu menjadi seperti
orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah
menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri
mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka.
[20]
Tidaklah sama
ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah
orang-orang yang beroleh kemenangan
(mendapat segala yang diingini).
[21]
Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke
atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah
kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami
kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya. [22]
Dia lah Allah,
yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib
dan yang nyata; Dia lah Yang Maha
Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[23]
Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan
melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha
Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan;
Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan
segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari
segala yang mereka sekutukan denganNya.
[24]
Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian
makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa
(makhluk-makhlukNya menurut yang
dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang
sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada
bandingNya, lagi Maha Bijaksana.
Al-Mumtahanah
[1]
Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu
menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita
rahsia
orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan
baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah
kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula
telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman
kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu
keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada
sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara
rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang
kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara
yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang
betul.
[2]
Jika mereka dapat menguasai kamu,
nescaya mereka menjadi musuh yang membahayakan kamu, dan mereka akan
membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu dengan kejahatan,
serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti mereka). [3]
Kaum kerabat
kamu dan anak-anak kamu (yang tidak menurut kamu beriman) tidak sekali-
kali akan mendatangkan sebarang faedah
kepada kamu pada hari kiamat; Allah akan memisahkan di antara kamu semua (pada
hari itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Melihat segala yang kamu kerjakan.
[4]
Sesungguhnya adalah bagi kamu pada
bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik,
semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya
kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain
dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini)
nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu
selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata", tetapi
janganlah dicontohi perkataan Nabi
Ibrahim kepada bapanya (katanya): "Aku akan memohon kepada Tuhanku
mengampun dosamu, dan aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah
sedikit juapun daripada menimpamu". (Berdoalah wahai orang-orang yang
beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-
pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan berkata):
"Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada
Engkaulah kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali!
[5]
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau
jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana penindasan orang-orang
kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah
sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
[6]
Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada
bawaan Nabi Ibrahim dan pengikut-
pengikutnya itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa
mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Dan sesiapa yang
berpaling daripada mencontohi mereka, (maka padahnya akan menimpa dirinya
sendiri), kerana sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
[7]
Semoga Allah akan mengadakan perasaan
kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu
itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam). Dan (ingatlah),
Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
[8]
Allah tidak melarang kamu daripada
berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu
kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu;
sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
[9]
Sesungguhnya
Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang
memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung
halaman kamu,
serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang
menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
[10]
Wahai
orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman
datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka: Allah lebih mengetahui
akan iman mereka: dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu
mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir. Mereka tidak
halal bagi orang-orang kafir itu
(sebagai isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka
(sebagai suami). Dan berilah kepada suami-suami (yang kafir) itu apa yang
mereka telah belanjakan. Dan tidaklah menjadi salah kamu berkahwin dengan
mereka (perempuan- perempuan yang berhijrah itu) apabila kamu memberi kepada
mereka maskahwinnya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang Islam) tetap
berpegang kepada akad perkahwinan kamu dengan perempuan-perempuan yang (kekal
dalam keadaan) kafir, dan mintalah balik maskahwin yang kamu telah berikan, dan
biarkanlah mereka (suami-suami yang
kafir itu) meminta balik apa yang mereka telah belanjakan. Demikianlah hukum
Allah; Ia hukumkan di antara kamu (dengan adil). Dan (ingatlah), Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[11]
Dan sekiranya kamu tidak dapat menerima
balik sesuatu dari maskahwin isteri-isteri kamu (yang menjadi murtad serta)
melarikan diri ke pihak orang-orang kafir, kemudian kamu menyerang puak yang
kafir itu serta mendapat harta rampasan
maka berikanlah kepada orang-orang (Islam) yang lari isterinya itu ganti
maskahwinnya sebanyak yang mereka telah bayar. Dan bertaqwalah kamu kepada
Allah yang kamu beriman kepadaNya.
[12]
Wahai Nabi! Apabila orang-orang
perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia,
bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu pun, dan
mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan berzina, dan mereka tidak akan
membunuh anak-anaknya, dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta
yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka, dan mereka tidak akan
menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang baik, - maka terimalah pengakuan
taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa mereka;
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[13]
Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan teman rapat mana-mana kaum
yang dimurkai Allah, mereka telah berputus asa daripada mendapat kebaikan
akhirat, sebagaimana berputus asanya orang-orang kafir yang ada di dalam kubur.
As-Saff
[1]
Segala yang ada
di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[2]
Wahai
orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak
melakukannya!
[3]
Amat besar
kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak
melakukannya.
[4]
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang
yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi,
seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. [5]
Dan (ingatlah
peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku!
Mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu
mengetahui bahawa sesungguhnya aku
ini Pesuruh Allah kepada kamu?" Maka ketika mereka menyeleweng (dari
kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari
mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah
petunjuk kepada kaum yang fasik
- derhaka.
[6]
Dan
(ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani
Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran
Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan
berita gembira dengan
kedatangan
seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". Maka
ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir
yang jelas nyata!"
[7]
Dan tidak ada
yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan perkara dusta terhadap
Allah, sedang ia diajak kepada memeluk Islam; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah
petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
[8]
Mereka sentiasa berusaha hendak
memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap
menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang
demikian).
[9]
Dia lah yang telah mengutus RasulNya
(Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama yang benar (ugama
Islam), supaya Ia memenangkannya dan
meninggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak
menyukainya.
[10]
Wahai
orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh
menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
[11]
Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan
rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta
benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu
hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
[12]
(Dengan itu) Allah akan
mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam
taman-taman yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik
dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar. [13]
Dan ada lagi
limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan
yang cepat (masa
berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang
yang beriman.
[14]
Wahai
orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah
sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia)
berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku
(dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?" Mereka
menjawab: "Kamilah pembela- pembela (ugama) Allah!" (Setelah Nabi Isa
tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan
sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang
yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang
yang menang.
Al-Jumu'ah
[1]
Segala yang ada di langit dan
yang ada di bumi sentiasa mengucap
tasbih kepada Allah Yang
Menguasai (sekalian alam), Yang
Maha Suci, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[2]
Dia lah yang telah mengutuskan dalam
kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w)
dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang
membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari
iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al- Quran) dan
Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan
sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam
kesesatan yang nyata.
[3]
Dan
juga (telah mengutuskan Nabi Muhammad kepada) orang-orang yang lain dari
mereka, yang masih belum (datang lagi dan tetap akan datang) menghubungi
mereka; dan (ingatlah), Allah jualah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[4]
(Pengutusan Nabi
Muhammad s.a.w, kepada umat manusia seluruhnya) itu (yang menjadi rahmat)
adalah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya;
dan sememangnya Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.
[5]
(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun
diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya,
maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan
(mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak
menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti
keldai yang
memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya).
Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan
(ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.
[6]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai
orang-orang yang berugama Yahudi, kalau kamu anggap bahawa kamulah sahaja
orang-orang yang dikasihi Allah tidak termasuk umat-umat manusia yang lain,
maka bercita-citalah hendakkan mati (dengan meminta kepada Allah supaya kamu
dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar!"
[7]
Dan (sudah
tentu) mereka tidak akan bercita-cita hendakkan mati itu selama-lamanya, dengan
sebab dosa-dosa yang mereka telah lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan
orang-orang yang zalim itu.
[8]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia
akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui
segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu
telah lakukan (serta membalasnya)".
[9]
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila
diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka
segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan
sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang
demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya), [10]
Kemudian setelah
selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk
menjalankan
urusan masing-masing), dan carilah apa yang
kamu hajati dari limpah kurnia Allah,
serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu
berjaya (di dunia dan di akhirat).
[11]
Dan apabila mereka mengetahui kedatangan
barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan,
mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di
atas mimbar - berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad:" Pahala - balasan)
yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu;
dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.
Al-Munafiquun
[1]
Apabila
orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata:
"Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau - sebenar-benarnya Rasul
Allah". Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya,
serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.
[2]
Mereka menjadikan sumpahnya (atau
akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu
mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah.
Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.
[3]
(Perbuatan
buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang
Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu
dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah).
[4]
Dan apabila engkau melihat mereka,
engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan apabila
mereka berkata-kata, engkaujuga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana
manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang
tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki).
Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga)
menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk
membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka
berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan
menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka
dipalingkan (oleh hawa nafsunya - dari kebenaran)?
[5]
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: " Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta
ampun (kepada Allah) untuk kamu", mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan
kepalanya; dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh.
[6]
(Tidak ada
faedahnya) kepada mereka, sama ada engkau meminta ampun untuk mereka atau
engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka.
Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang
fasik.
[7]
Merekalah yang mengatakan (kepada
orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan orang-orang
Muhajirin): "Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang
yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya)". Padahal bagi Allah jualah
perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun yang dapat memberi atau
menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang yang munafik itu tidak memahami
(hakikat yang sebenarnya).
[8]
Mereka berkata lagi: " Demi
sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu
orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah
orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)". Padahal bagi Allah jualah
kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang
beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang
sebenarnya).
[9]
Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda
kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan
perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang
rugi.
[10]
Dan belanjakanlah (dermakanlah)
sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari
kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan
merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau
lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi,
supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang
soleh ".
[11]
Dan (ingatlah),
Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang
bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya
mengenai segala yang kamu kerjakan.
At-Tagaabun
[1]
Segala yang ada di langit dan yang ada
di bumi sentiasa mengucap tasbih
kepada Allah; bagiNyalah kuasa pemerintahan, dan bagiNyalah segala pujian; dan
Ia Maha Kuasa atas tiap- tiap sesuatu.
[2]
Dia lah yang
mengaturkan kejadian kamu; maka ada sebahagian dari kamu yang kafir dan ada sebahagian dari kamu
yang beriman; dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan (serta
membalas masing-masing).
[3]
Ia menciptakan langit dan bumi dengan
cara yang sungguh layak dan berhikmat, dan Ia menentukan bentuk rupa kamu serta
memperelokkan rupa kamu; dan kepadaNyalah tempat kembali.
[4]
Ia mengetahui segala yang ada di langit
dan di bumi; dan Ia mengetahui segala yang kamu rahsiakan serta yang kamu
zahirkan; dan Allah sentiasa Mengetahui segala (isi hati) yang terkandung di
dalam dada;
[5]
Bukankah telah sampai kepada kamu berita
orang-orang kafir yang telah lalu? Lalu mereka merasai kesan yang buruk dari
perbuatan kufur mereka; dan mereka (pada hari akhirat kelak) beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[6]
(Balasan) yang demikian itu,
kerana sesungguhnya mereka pernah didatangi Rasul-rasul
(yang diutus kepada) mereka
dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata,
maka mereka
berkata:" Patutkah manusia (yang seperti kami - menjadi Rasul untuk)
memberi petunjuk kepada kami?" Lalu mereka kufur ingkar serta berpaling
(dari kebenaran); dan
Allah pun
menyatakan tidak berhajatNya (kepada iman dan ketaatan mereka lalu membinasakan
mereka); dan Allah sememangnya Maha Kaya, lagi tetap Terpuji. [7]
(Di antara sebab-sebab kufur)
orang-orang yang kafir (ialah kerana mereka) mengatakan bahawa mereka tidak
sekali-kali akan di bangkitkan (sesudah mati). Katakanlah: "Bahkan, demi
Tuhanku, kamu akan dibangkitkan, kemudian kamu akan diberitahu tentang segala
yang kamu telah kerjakan. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah
melaksanakannya.
[8]
Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah
dan kepada rasulNya serta kepada penerangan cahaya Al-Quran - yang Kami
turunkan. Dan (ingatlah), Allah Amat Mendalam PengetahuanNya akan segala yang
kamu kerjakan.
[9]
(Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan
kamu pada hari perhimpunan (untuk
menerima balasan), - itulah hari masing-masing nampak kerugiannya. Dan
(ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh,
nescaya Allah mengampunkan dosa- dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya;
yang demikian itulah kemenangan yang besar. [10]
Dan orang-orang
yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah ahli
neraka, kekalah mereka di
dalamnya; dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
[11]
Tidak ada
kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin
Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya
(untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan
(ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[12]
Dan taatlah kamu
kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling (enggan
taat, kamulah yang akan menderita balasannya yang buruk), kerana sesungguhnya
kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas
nyata.
[13]
Allah, tiada
Tuhan melainkan Dia; dan dengan yang demikian, kepada Allah jualah orang- orang yang beriman wajib berserah
diri.
[14]
Wahai orang-orang yang beriman!
Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak- anak kamu yang menjadi
musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka.
Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan
kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[15]
Sesungguhnya harta benda kamu dan
anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi
Allah jualah pahala yang besar.
[16]
Oleh itu
bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan
pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan
belanjakanlah harta kamu (serta
buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta
memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah
orang-
orang yang berjaya.
[17]
Dan kalau kamu memberi pinjaman kepada
Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), nescaya Allah akan melipat gandakan
balasanNya kepada kamu serta mengampunkan dosa- dosa kamu; dan Allah amat
memberi penghargaan dan balasan kepada golongan yang berbuat baik, lagi Maha
Penyabar (untuk memberi peluang kepada golongan yang bersalah supaya
bertaubat).
[18]
Dia lah yang mengetahui segala
yang ghaib dan yang nyata, (dan Dia lah jua) yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
At-Tallaq
[1]
Wahai Nabi! Apabila kamu - (engkau dan
umatmu) - hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada
masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan
betul), serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan
mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga
selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ),
kecuali (jika) mereka
melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan
itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan
sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah
berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak
mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang
lain).
[2]
Kemudian, apabila mereka (hampir) habis
tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik,
atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang
adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah
kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan
persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut
diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan
hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan
suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya
jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),
[3]
Serta memberinya rezeki dari jalan yang
tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat
kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan
menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang
dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya
tiap-tiap sesuatu.
[4]
Dan perempuan-perempuan dari
kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika
kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah
mereka) maka idahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga idah perempuan-perempuan
yang tidak berhaid. Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah
hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah), sesiapa yang
bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.
[5]
Peraturan-peraturan yang demikian adalah
hukum-hukum Allah yang diturunkan
dan diterangkanNya kepada kamu; dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada
Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya, dan akan membesarkan
pahala balasannya. [6]
Tempatkanlah
isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai
dengan kemampuan
kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat
tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka
keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung,
maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang
dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah
kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya)
dengan cara yang baik. Dan
(sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah
perempuan lain menyusukannya.
[7]
Hendaklah orang yang mampu memberi
nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka
hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar
yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang
diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat
bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. [8]
Dan bukan
sedikit negeri-negeri yang penduduknya menderhaka terhadap perintah Tuhan
mereka dan Rasul-rasulNya, maka Kami hitung amal mereka satu persatu dengan hitungan yang keras rapi,
serta Kami seksakan mereka dengan azab yang tidak pernah dikenal dahsyatnya.
[9]
Lalu mereka merasai kesan yang buruk
dari perbuatan derhakanya, dan menjadilah akibat perbuatan mereka satu kerugian
yang besar.
[10]
Allah menyediakan bagi mereka azab seksa
yang seberat-beratnya. Maka bertaqwalah
kepada Allah kepada wahai orang yang berakal sempurna dari kalangan orang yang
beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu peringatan -
[11]
(Dengan mengutuskan) seorang Rasul (Nabi
Muhammad s.a.w) yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Allah yang menerangkan
kebenaran, supaya Allah mengeluarkan orang-orang (yang sedia diketahuiNya akan)
beriman dan beramal soleh - dari gelap-gelita (kesesatan) kepada cahaya
(hidayah petunjuk). Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah dan
beramal soleh, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya.
Sesungguhnya Allah (dengan
yang demikian) telah mengurniakan
kepadanya sebaik-baik pemberian.
[12]
Allah yang menciptakan tujuh petala
langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus
menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha
Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi
ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu.
At-Tahriim
[1]
Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan
(dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh
Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam
pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
[2]
Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi
kamu (wahai Nabi dan umatmu, untuk) melepaskan diri dari sumpah kamu (dengan
membayar denda - kaffarah); dan Allah ialah Pelindung yang mentadbirkan keadaan
kamu, dan Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. [3]
Dan (ingatlah),
ketika Nabi memberitahu suatu perkara secara rahsia kepada salah seorang
dari isteri-isterinya. Kemudian
apabila isterinya itu menceritakan rahsia yang tersebut
(kepada seorang madunya), dan Allah
menyatakan pembukaan rahsia itu kepada Nabi, (maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan
tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak
malunya). Setelah Nabi menyatakan hal itu kepada isterinya, isterinya bertanya:
"Siapakah yang memberi tahu hal ini kepada tuan? " Nabi menjawab:
"Aku diberitahu oleh Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Amat Mendalam
PengetahuanNya (tentang segala
perkara yang nyata dan yang
tersembunyi) ".
[4]
Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah
(wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya), kerana sesungguhnya
hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi); dan
jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya,
(maka yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari
itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan
orang-orang yang beriman dan
malaikat-malaikat - juga menjadi penolongnya.
[5]
Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu,
Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri
yang lebih baik daripada kamu, - yang menurut perintah, yang ikhlas imannya,
yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, - (meliputi)
yang janda dan yang anak dara.
[6]
Wahai orang-orang yang beriman!
Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang
bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu
(berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras
kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang
diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang
diperintahkan.
[7]
Malaikat itu akan berkata kepada
orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka): "Hai orang-orang yang kufur
ingkar! Janganlah kamu menyatakan uzur (dengan meminta ampun) pada hari ini,
(kerana masanya telah terlambat). Kamu hanyalah dibalas dengan balasan apa yang
kamu telah kerjakan".
[8]
Wahai orang-orang yang beriman!
Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " Taubat Nasuha", mudah-mudahan
Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke
dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak
akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya;
cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di
sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika
orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami!
Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami;
sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
[9]
Wahai Nabi!
Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta
bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka
Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
[10]
Allah mengemukakan satu misal
perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir
(berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan
sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka
berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami
(yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat
kepada suami
masing-masing; maka kedua-dua suami
mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan
kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka
berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang
yang masuk (ke situ)".
[11]
Dan Allah mengemukakan satu misal
perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin
(berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan
imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku!
Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku
dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku
dari kaum yang zalim";
[12]
Dan juga (satu
misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang
perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh
lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami
perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan)
Kami; dan (sekalipun
Maryam itu hidup
di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta
Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.
juz 27 xda..
ReplyDeleteanyway thanks utk bt blog yg bermanfaat mcm ni..
Boleh update juz 27 sekali?
ReplyDeleteJazakallah