[88]
Ketua-ketua yang sombong takbur dari
kaum Nabi Syuaib berkata: "Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib
dan orang-orang yang beriman yang menjadi pengikut- pengikutmu dari negeri kami
ini, atau kamu berpindah kepada ugama kami". Nabi Syuaib menjawab:
"Adakah (kamu hendak melakukan yang demikian) sekalipun kami tidak
menyukainya?
[89]
"Sesungguhnya (bermakna) kami
berdusta terhadap Allah, jika kami berpindah kepada ugama kamu sesudah Allah
menyelamatkan kami daripadanya. Dan
tidaklah harus kami berpindah kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan
kami, menghendakinya. Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu.
Kepada Allah jualah kami bertawakal.
Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran
(keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim".
[90]
Dan berkatalah
pula Ketua-ketua yang kafir dari kaum Nabi Syuaib (kepada orang ramai):
"Sesungguhnya jika kamu mengikut Syuaib nescaya kamu dengan perbuatan yang
demikian
menjadilah orang-orang yang
rugi".
[91]
Maka mereka dibinasakan oleh gempa, lalu
menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing.
[92]
Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib
(punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah mendiami negeri itu. Orang-orang
yang mendustakan Nabi Syuaib, merekalah orang-orang yang rugi.
[93]
Kemudian Nabi Syuaib meninggalkan mereka
sambil berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada
kamu perintah-perintah Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu. Oleh
itu, tidaklah aku merasa sedih
terhadap orang- orang kafir (yang telah binasa itu)".
[94]
Dan (Tuhan berfirman): Kami tidak
mengutus dalam sesebuah negeri seorang Nabi (yang didustakan oleh penduduknya),
melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan (kesempitan hidup) dan
penderitaan (penyakit), supaya
mereka tunduk merendah diri (insaf dan tidak berlaku sombong takbur).
[95]
Setelah (mereka
tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka
kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): "Sesungguhnya nenek moyang kita
juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita
rasakan)". Lalu Kami timpakan
mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya.
[96]
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya
penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada
mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan
bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan
azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
[97]
Patutkah
penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam
hari, semasa mereka sedang tidur?
[98]
Atau patutkah
penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada
kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka
bermain- main?
[99]
Patutkah mereka
(bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab)
yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari
rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang
yang rugi.
[100]
Adakah (yang
demikian itu tersembunyi dan) tidak jelas kepada orang-orang yang mewarisi
negeri itu sesudah penduduknya (hilang lenyap kerana ditimpa bencana), bahawa
kalau Kami kehendaki tentulah Kami akan menimpakan mereka pula dengan azab disebabkan dosa-dosa
mereka, dan Kami meteraikan di
atas hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar
(nasihat-nasihat pengajaran)?
[101]
Negeri-negeri (yang telah Kami
binasakan) itu, Kami ceritakan sebahagian
dari khabar beritanya kepadamu (wahai Muhammad); dan sesungguhnya telah datang
kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan yang nyata
(mukjizat), sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah
mendustakannya dahulu. Demikianlah Allah meteraikan di atas hati orang-orang
yang kafir.
[102]
Dan Kami tidak
mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji (yang ditepati), dan Kami tidak
mendapati kebanyakan mereka melainkan orang-orang yang fasik.
[103]
Kemudian Kami
mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan membawa ayat- ayat Kami
kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya,
lalu mereka berlaku zalim (ingkar)
akan ayat-ayat itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang
berbuat
kerosakan.
[104]
Dan berkatalah Nabi Musa:
"Hai Firaun! Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul dari
Tuhan sekalian alam.
[105]
"Sudah
semestinya aku tidak mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar.
Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa keterangan yang nyata dari
Tuhan kamu. Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani Israil menyertai aku (ke Palestin).
[106]
Firaun menjawab: "Kalau betul
engkau datang dengan membawa sesuatu mukjizat maka bawalah dia (supaya aku
melihatnya), jika betul engkau dari orang-orang yang benar". [107]
Nabi Musa pun
mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu
menjadi seekor
ular yang jelas nyata.
[108]
Dan Nabi Musa
mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar- sinar)
bagi orang-orang yang melihatnya.
[109]
Berkatalah
Ketua-ketua dari kaum Firaun: "Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang
ahli sihir yang mahir.
[110]
"Ia
bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu". (Firaun bertanya):
"Oleh itu, apa yang kamu syorkan?"
[111]
Mereka berkata: "Tangguhkanlah dia
dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah ke
bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli
sihir);
[112]
"Yang kelak akan membawa
kepadamu segala ahli sihir yang mahir".
[113]
Dan datanglah
ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata: "Sungguhkah kami akan
beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya?"
[114]
Firaun menjawab:
"Benar, (kamu akan mendapat upah) dan kamu
sesungguhnya (akan menjadi) dari orang-orang yang damping (denganku)".
[115]
Mereka berkata: "Hai Musa!
Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu)
atau kamikah yang akan
mencampakkan (lebih dahulu)?"
[116]
Nabi Musa menjawab: "Campakkanlah
kamu (dahulu)!" Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali
masing-masing), mereka menyilap
mata orang ramai dan menjadikan
orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan
dan caranya).
[117]
Dan Kami
wahyukan kepada Nabi Musa: "Campakkanlah tongkatmu!" Maka tiba-tiba
tongkat itu menelan apa yang mereka
pura-pura adakan (dengan sihir
mereka).
[118]
Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi
Musa), dan batalah (sihir) yang mereka telah lakukan.
[119]
Oleh itu,
kalahlah Firaun dan Ketua-ketua kaumnya
di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.
[120]
Dan (kemenangan
Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri
mereka sujud,
[121]
Sambil berkata: "Kami
beriman kepada Tuhan sekalian alam.
[122]
"(Iaitu) Tuhan bagi Nabi
Musa dan Nabi Harun".
[123]
Firaun berkata: "Patutkah kamu
beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah
perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak
mengeluarkan penduduknya dari padanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui
(akibatya).
[124]
"Demi
sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, kemudian
aku akan memalang kamu semuanya".
[125]
Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami
(tidak gentar) kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami (dan kepadaNyalah
kami mengharapkan keampunan dan rahmatNya). [126]
"Dan
tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan
kerana
kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan
kami, ketika sampainya kepada kami". (Mereka
berdoa):
"Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah
bulat-bulat kepadaMu)".
[127]
Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari
kaum Firaun: "Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan
kaumnya untuk melakukan kerosakan di
bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?" Firaun
menjawab: "Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan
hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan)
mereka".
[128]
(Pengikut-pengikut Nabi Musa merayu,
lalu) Musa berkata kepada kaumnya: "Mintalah pertolongan kepada Allah dan
bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada
sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah
bagi orang-orang yang bertaqwa".
[129]
Mereka berkata: "Kami telah
dianiaya dan diperhambakan (oleh
Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada
kami". Nabi Musa menjawab: "Mudah-mudahan Tuhan kamu akan
membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan
memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?"
[130]
Dan sesungguhnya
Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan
buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran.
[131]
Kemudian apabila datang kepada mereka
kesenangan mereka berkata: "Ini ialah hasil usaha kami", dan jika
mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan
nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan
berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di
tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
[132]
Dan mereka berkata: "Walau
apa sahaja (jenis-jenis) keterangan (mukjizat) yang engkau
bawa kepada
kami; (wahai Musa), untuk menjalankan sihirmu kepada kami, maka kami tidak
sekali-kali akan beriman kepadamu".
[133]
(Allah
berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai
tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.
[134]
Dan apabila azab yang tersebut itu
menimpa mereka, mereka (merayu dengan) berkata: "Wahai Musa! Pohonkanlah
kepada Tuhanmu untuk kami dengan (kehormatan)
pangkat Nabi yang diberikanNya kepadamu (yang menjadikan permohonanmu sentiasa
makbul). Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah
kami akan beriman kepadamu, dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum Bani
Israil (pergi) bersamamu". [135]
(Tuhan
berfirman): Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, hingga ke suatu
masa
yang tertentu yang mereka sampai
kepadanya, tiba-tiba mereka mencabuli janjinya
[136]
Maka Kami pun
membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka
mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.
[137]
Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani
Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan
daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. Dan telah
sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana
kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah
hancurkan apa yang telah dibuat
oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan
(dari bangunan-bangunan yang
tinggi)
[138]
Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang
Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah
berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata:
"Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka
mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini
adalah kaum yang jahil.
[139]
"Sesungguhnya mereka
(penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada di
dalamnya (dari perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa yang mereka
kerjakan itu".
[140]
Nabi Musa
berkata lagi: "Patutkah aku mencari tuhan untuk kamu selain dari Allah,
padahal Ia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang sezaman dengan
kamu, dengan berbagai nikmat yang telah dikurniakanNya kepada kamu)?"
[141]
Dan (Tuhan berfirman): Ingatlah ketika
Kami selamatkan kamu dari Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab
seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya; mereka membunuh anak-anak lelaki
kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; dan (ingatlah bahawa) yang
demikian itu mengandungi cubaan yang besar dari Tuhan kamu. [142]
Dan kami telah
janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga
puluh malam, serta Kami genapkan
jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah
ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada
saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): "Gantikanlah aku
dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka
sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan
kerosakan".
[143]
Dan ketika Nabi
Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa
(merayu dengan) berkata: "Wahai
Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat
melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup
melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di
tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu", Setelah Tuhannya
"Tajalla" (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka)
"TajalliNya" menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun
jatuh pengsan. Setelah ia sedar
semula,
berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu,
dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)
[144]
Allah berfirman:
"Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada
pada zamanmu), dengan membawa perutusanKu (Kitab Taurat) dan dengan KalamKu;
oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari
orang-orang yang bersyukur".
[145]
Dan Kami telah menuliskan bagi Nabi Musa
pada Lauh-lauh (Taurat) itu, dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan
penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu (dasar
Syariat dan hukum- hukumnya). Oleh itu, terimalah dia (dan amalkanlah wahai
Musa) dengan bersungguh- sungguh, dan suruhlah kaummu berpegang (serta
mengamalkan) yang sebaik-baiknya (iaitu suruhan-suruhannya). Aku akan
perlihatkan kepada kamu akan negeri
orang-orang yang fasik
- derhaka".
[146]
Aku akan
memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada
alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu); dan mereka (yang bersifat demikian)
jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman
kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah
petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya
jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan
yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan
mereka sentiasa lalai daripadanya.
[147]
Dan orang-orang
yang mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari akhirat, gugurlah amal-amal
mereka (yang baik). Mereka tidak diberikan balasan (pada hari akhirat)
melainkan (bagi) apa yang mereka telah kerjakan (dari perbuatan kufur dan
maksiat).
[148]
Dan kaum Nabi Musa, sesudah ia (pergi ke
Gunung Tursina), mereka membuat dari barang- barang emas perhiasan mereka,
(patung) anak lembu yang bertubuh dan bersuara (Allah berfirman):
"Tidakkah mereka memikirkan bahawa patung itu tidak dapat berkata-kata
dengan mereka dan tidak dapat juga menunjukkan jalan kepada mereka? Mereka
menjadikannya (berhala yang disembah) dan sememangnya mereka adalah orang-orang
yang melakukan kezaliman".
[149]
Dan setelah mereka menyesal (akan apa
yang mereka lakukan) dan mengetahui bahawa mereka telah sesat, berkatalah
mereka: "Sesungguhnya jika Tuhan kami tidak memberi rahmat kepada kami dan
mengampunkan kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".
[150]
Dan apabila Nabi
Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita, berkatalah ia:
"Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa
kamu terburu- buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu?" Dan ia
meletakkan Lauh-lauh (yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta ia memegang
(rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun)
sambil menariknya kepadanya. Nabi Harun
berkata: "Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku
lemah dan nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka); oleh
itu, janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku,
dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang
zalim".
[151]
Nabi Musa berdoa dengan berkata:
"Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan masukkanlah
kami ke dalam rahmatMu, kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari segala yang lain mengasihani".
[152]
Sesungguhnya orang-orang yang menyembah
(patung) anak lembu itu, akan ditimpa kemurkaan dari Tuhan mereka dan kehinaan
dalam kehidupan dunia. Dan demikianlah kami membalas orang-orang yang
mengada-adakan perkara yang tidak benar.
[153]
Dan orang-orang yang melakukan kejahatan
kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu
sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[154]
Dan apabila kemarahan Nabi Musa itu
reda, dia pun mengambil Lauh-lauh
Taurat itu yang dalam naskhahnya terkandung petunjuk dan rahmat, bagi
orang-orang yang bersungguh- sungguh takut kepada Tuhan mereka (daripada
melanggar perintahNya).
[155]
Dan Nabi Musa memilih tujuh puluh orang
lelaki dari kaumnya (untuk di bawa bersama ke Gunung Tursina) pada waktu yang
telah kami tentukan. Maka ketika mereka digegar oleh gempa, Nabi Musa merayu
dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh
binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini. Adakah Engkau hendak
membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang
bodoh di antara kami? (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaanMu.
Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri
petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami;
oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah
sebaik-baik Pemberi ampun.
[156]
"Dan tetapkanlah untuk Kami
kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali
(bertaubat) kepadaMu". Allah berfirman: "AzabKu akan Aku timpakan
kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu;
maka Aku akan menentukannya bagi
orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang
beriman kepada ayat-ayat Kami.
[157]
"Iaitu orang-orang yang mengikut
Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis
(namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan
perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan
perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang
baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga
menghapuskan dari mereka beban-beban dan
belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka.
Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya,
serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah
orang-orang yang berjaya.
[158]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai
sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya,
(di utus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah
kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan
Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan
ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk".
[159]
Dan di antara kaum Nabi Musa, ada satu
golongan yang memberi petunjuk (kepada orang ramai) dengan perkara-perkara yang
hak, dan dengannya mereka menjalankan keadilan. [160]
Dan kami
membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi dua belas suku, sebagai golongan-
golongan besar,
dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa, ketika kaumnya meminta air kepadanya:
"Pukulah batu itu dengan tongkatmu." Maka terpancarlah daripadanya
dua belas mata air. Tiap-tiap golongan (di antara mereka) mengetahui tempat
masing-masing. Dan Kami naungi mereka dengan awan, dan Kami turunkan kepada
mereka "Mann" dan "Salwa". (Lalu Kami berfirman):
"Makanlah dari baik-baik yang kami telah kurniakan kepada kamu". Dan
tidaklah mereka menganiaya Kami (dengan kekufuran mereka), tetapi mereka adalah menganiaya diri mereka sendiri.
[161]
Dan (ingatlah) ketika dikatakan kepada
mereka: "Tinggalah dalam bandar ini dan makanlah dari makanannya apa
sahaja yang kamu sukai, dan berdoalah dengan berkata: ` (Wahai Tuhan kami),
gugurkanlah (dosa kami) ', dan masuklah melalui pintu (bandar) itu dengan tunduk merendah diri, supaya
Kami mengampunkan dosa-dosa kamu. Kami akan menambah (balasan) bagi orang-orang
yang berbuat kebaikan".
[162]
Maka orang-orang yang zalim di antara
mereka menukarkan perintah itu dengan perkataan yang tidak dikatakan kepada
mereka. Oleh itu, Kami turunkan azab dari langit menimpa mereka, dengan sebab
kezaliman yang mereka lakukan.
[163]
Dan bertanyalah kepada mereka (wahai
Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang
letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika
datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada)
mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain,
ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka
(dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.
[164]
Dan (ingatlah)
ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum
yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang
amat berat?" Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat
itu ialah) untuk
melepaskan diri dari bersalah
kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa".
[165]
Maka ketika mereka melupakan (tidak
menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan
orang-orang yang melarang daripada perbuatan
jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku
fasik (derhaka).
[166]
Maka setelah mereka berlaku
sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang
telah dilarang
mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka:
"Jadilah kamu kera yang hina".
[167]
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika
Tuhanmu memberitahu: Bahawa sesungguhnya Ia akan menghantarkan kepada kaum
Yahudi itu, (terus menerus) hingga hari kiamat, kaum- kaum yang akan menimpakan
mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya (disebabkan kejahatan dan
kekufuran mereka). Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksaNya, dan
sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[168]
Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum
Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini. Di antara
mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian. Dan kami uji
mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk,
supaya mereka kembali (bertaubat).
[169]
Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan-keturunan yang
jahat yang mewarisi Kitab (Taurat). Mereka mengambil kebendaan yang hina di
dunia ini sambil berkata: "Akan diampunkan kelak dosa kami" Padahal
jika datang kepada mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan
mengambilnya lagi. Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada mereka di
dalam kitab Taurat bahawa mereka tidak memperkatakan terhadap Allah
melainkan yang benar? Dan mereka pula
telah mempelajari apa yang
terkandung di dalamnya? Dan juga (mereka mengetahui bahawa) negeri akhirat itu
lebih baik bagi orang- orang yang
bertaqwa. Tidakkah kamu mahu mengerti?
[170]
Dan orang-orang yang berpegang teguh
dengan Kitab Allah serta mendirikan sembahyang, sesungguhnya Kami tidak akan
menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki (keadaan hidupnya).
[171]
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika
Kami mengangkat gunung (Tursina) ke atas mereka (Bani Israil) seolah-olah
gunung itu awan (yang menaungi mereka) dan mereka yakin bahawa gunung itu akan
jatuh menimpa mereka, (sambil Kami berfirman kepada mereka):
"Terimalah dengan
bersungguh-sungguh (Kitab Taurat) yang telah Kami berikan kepada kamu dan
ingatlah (amalkanlah) apa yang terkandung di dalamnya, supaya kamu menjadi
orang-orang yang bertaqwa"
[172]
Dan (ingatlah wahai Muhammad)
ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam
(turun-temurun) dari (tulang)
belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri
mereka sendiri, (sambil Ia bertanya
dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab:
"Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian
supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami
adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".
[173]
Atau supaya kamu tidak mengatakan:"
Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah
keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah
Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan
orang-orang yang sesat itu?"
[174]
Dan demikianlah Kami menjelaskan
ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (supaya nyata segala kebenaran), dan
supaya mereka kembali (kepada kebenaran).
[175]
Dan bacakanlah kepada mereka (wahai
Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan
mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. kemudian ia menjadikan dirinya
terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya),
maka menjadilah dari orang-orang yang sesat.
[176]
Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami
tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia
bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka
bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya
termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya:
ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan
orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu
supaya mereka berfikir. [177]
Amatlah buruknya
bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka
pula berlaku zalim kepada diri
merela sendiri.
[178]
Sesiapa yang
diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya) maka dia lah yang beroleh petunjuk;
dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka
merekalah orang-orang yang rugi.
[179]
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk
neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak
mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi)
tidak mahu melihat dengannya (bukti
keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu
mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak,
bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah
orang-orang yang lalai.
[180]
Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik
(yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama
itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa
menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka
telah kerjakan.
[181]
Dan di antara
orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan
kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.
[182]
Dan orang-orang yang mendustakan
ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke
jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya. [183]
Dan Aku memberi
tempoh kepada mereka; sesungguhnya rancangan
balasanKu amatlah
teguh.
[184]
Patutkah mereka (ingkar dan) tidak mahu
memikirkan (dengan fikiran yang siuman bahawa) sahabat mereka (Muhammad) tidak
sekali-kali mengidap penyakit gila (sebagaimana yang mereka tuduh itu), bahkan
ia hanyalah seorang (Pesuruh Allah) yang memberi amaran yang jelas.
[185]
Patutkah mereka (membutakan mata) tidak
mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah,
dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal kebinasaan mereka? Maka kepada
perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah Al-Quran) itu mereka
mahu beriman?
[186]
Sesiapa yang
disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang
akan dapat memberi petunjuk kepadanya; dan Allah membiarkan mereka meraba-raba
(dengan bingung) dalam kesesatan mereka.
[187]
Mereka bertanya kepadamu (wahai
Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah:
"Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak
ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan
Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk
yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut". Mereka
bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah:
"Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah,
tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui".
[188]
Katakanlah:
"Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat
bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah.
Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara
yang ghaib, tentulah aku akan
mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan
(tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku
ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran
(bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang
beriman".
[189]
Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu
semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu
pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu
kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan
kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu).
Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami
isteri itu
kepada Tuhan mereka (dengan berkata):" Sesungguhnya jika Engkau (wahai
Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi
orang-orang yang bersyukur".
[190]
Kemudian ketika Allah mengurniakan
kepada keduanya nikmat yang baik (sebagaimana yang mereka pohonkan), mereka
berdua menjadikan sekutu bagi Allah dalam urusan wujudnya nikmat yang
dikurniakan Allah kepada mereka. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan
itu.
[191]
Patutkah mereka
sekutukan Allah dengan benda-benda yang
tidak dapat menciptakan sesuatupun, sedang benda-benda itu sendiri diciptakan?
[192]
Dan benda-benda
itu tidak dapat menolong mereka, dan tidak juga dapat menolong dirinya
sendiri.
[193]
Dan jika kamu
(hai kaum musyrik) menyeru benda-benda itu
untuk memperoleh petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat menurut
(menyampaikan hajat) kamu; sama sahaja bagi kamu, sama ada kamu menyerunya atau
mendiamkan diri.
[194]
Sesungguhnya
benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk-makhluk seperti kamu.
Oleh itu, (cubalah) menyerunya supaya benda-benda itu dapat memperkenankan
permohonan kamu, kalau betul kamu orang-orang yang benar.
[195]
Adakah benda-benda (yang kamu sembah)
itu mempunyai kaki yang mereka dapat berjalan dengannya, atau adakah mereka
mempunyai tangan yang mereka dapat memegang (menyeksa) dengannya, atau adakah
mereka mempunyai mata yang mereka dapat melihat dengannya, atau adakah mereka
mempunyai telinga yang mereka dapat mendengar dengannya? Katakanlah (wahai
Muhammad): "Panggilah benda-benda yang kamu jadikan sekutu Allah, kemudian
kamu semua jalankan tipu daya terhadapku, serta jangan pula kamu bertangguh
lagi.
[196]
"Sesungguhnya pelindungku ialah
Allah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran),
dan Dia lah jua yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat
kebaikan"
[197]
Dan benda-benda
yang kamu sembah selain Allah, tidak akan dapat menolong kamu, bahkan tidak
dapat menolong dirinya sendiri.
[198]
Dan jika kamu
menyeru benda-benda (yang kamu sembah) itu untuk mendapat petunjuk
(daripadanya), mereka tidak dapat mendengarnya; dan engkau nampak benda-benda
itu memandangmu padahal mereka tidak melihat.
[199]
Terimalah apa
yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta
berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan
kejahilannya). [200]
Dan jika engkau
dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada
Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[201]
Sesungguhnya
orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan
dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran
Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).
[202]
Sedang saudara
(pengikut) Syaitan-syaitan, dibantu oleh Syaitan-syaitan itu dalam melakukan
kesesatan, kemudian mereka tidak berhenti-henti (melakukan perbuatan yang sesat
lagi menyesatkan itu).
[203]
Dan apabila engkau (wahai Muhammad)
tidak membawa kepada mereka sesuatu ayat Al- Quran (sebagaimana yang mereka
kehendaki), berkatalah mereka (secara mengejek): "Mengapa engkau tidak
bersusah payah membuat sendiri akan ayat itu?" Katakanlah:
"Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku.
Al-Quran ini ialah panduan-panduan - yang membuka hati - dari Tuhan kamu, dan
petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman".
[204]
Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka
dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat- bulat ingatan untuk
mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.
[205]
Dan sebutlah
serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan
perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan
suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang
yang lalai.
[206]
Sesungguhnya
mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada
beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua
mereka sujud.
Al-Anfaal
[1]
Mereka bertanya kepadamu (wahai
Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: "Harta rampasan
perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan
pembahagiannya). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah
keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya,
jika betul kamu
orang-orang yang beriman".
[2]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman
itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang
apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan
apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman,
dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
[3]
Iaitu
orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa
yang Kami kurniakan kepada mereka.
[4]
Merekalah
orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat
pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah
kurnia yang mulia (di Syurga).
[5]
Sebagaimana (harta rampasan perang
ditentukan pembahagiannya dengan kebenaran, maka) Tuhanmu (wahai Muhammad)
mengeluarkanmu dari rumahmu (untuk pergi berperang) dengan kebenaran juga,
sedang sebahagian dari orang-orang yang beriman itu (sebenarnya) tidak suka
(turut berjuang).
[6]
Mereka membantahmu tentang kebenaran
(berjihad) setelah nyata (kepada mereka kemenangan yang engkau janjikan),
seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat
(sebab-sebabnya).
[7]
Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan
kepada kamu salah satu dari dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya),
sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang
mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah
menghendaki untuk menetapkan yang benar (ugama Islam) dengan
Kalimah-kalimahNya, dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya;
[8]
Supaya Allah menegakkan yang benar itu
dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir
musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.
[9]
(Ingatlah) ketika kamu memohon
pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan
firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala
tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.
[10]
Dan Allah tidak menjadikan (bantuan
malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang
tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah.
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[11]
(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan
mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan
kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari
langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan
Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak
pendirian (kamu di medan perjuangan).
[12]
(Ingatlah)
ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu
(memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku
akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh itu,
pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka"
[13]
(Perintah) yang demikian ialah kerana
sesungguhnya mereka menentang Allah
dan RasulNya; dan sesiapa yang menentang Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya
Allah Maha berat azab seksaNya.
[14]
Itulah (azab
dunia) maka rasalah dia (hai orang-orang kafir). Sesungguhnya orang-orang yang
kafir disediakan baginya azab neraka (di akhirat).
[15]
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila
kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka
janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka. [16]
Dan sesiapa
berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu - kecuali ia bergerak ke
arah lain (untuk
menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan
pasukan yang lain - maka sesungguhnya ia tetaplah mendapat kemurkaan dari
Allah, dan tempatnya ialah neraka jahanam; sedang neraka jahanam ialah
seburuk-buruk tempat
kembali.
[17]
Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka,
akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah
engkau (wahai Muhammad) yang melempar
ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk
membinasakan orang- orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang
beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripadaNya. Sesungguhnya
Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[18]
Demikianlah
(caranya nikmat yang dikurniakanNya kepada kamu), dan sesungguhnya Allah
sentiasa melumpuhkan tipu daya orang-orang yang kafir.
[19]
Jika kamu (hai orang-orang musyrik)
memohon supaya diberi kemenangan (bagi pihak yang benar) maka sesungguhnya kemenangan (yang kamu pohonkan)
itu telah datang (dan disaksikan oleh) kamu; dan jika kamu berhenti (daripada
memusuhi Nabi Muhammad, s.a.w) maka yang demikian amat baik bagi kamu, dan jika
kamu kembali (memusuhinya), Kami juga kembali (menolongnya mengalahkan kamu);
dan golongan (angkatan perang) kamu tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan
kamu sedikitpun, sekalipun ia lebih ramai; dan (yang demikian itu adalah
kerana) sesungguhnya Allah beserta
orang-orang yang beriman. [20]
Wahai
orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu
berpaling daripadanya, sedang
kamu mendengar (Al-Quran yang mewajibkan taatnya).
[21]
Dan janganlah
kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) yang berkata: "Kami
dengar", padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan
mematuhinya).
[22]
Sesungguhnya
sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi
bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).
[23]
Dan kalaulah Allah mengetahui ada
kebaikan pada mereka, tentulah Ia menjadikan mereka dapat mendengar; dan kalau
Allah menjadikan mereka dapat
mendengar juga (dengan keadaan yang demikian), nescaya mereka tidak menerimanya
sambil memalingkan diri. [24]
Wahai
orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya
apabila Ia menyeru kamu kepada
perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa
sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu
dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan
dihimpunkan.
[25]
Dan jagalah diri
kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja
akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan
menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab
seksaNya.
[26]
Dan ingatlah
ketika kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut orang-
orang menangkap dan melarikan kamu, maka Allah memberi kamu tempat bermustautin
dan diperkuatkanNya kamu dengan pertolonganNya, serta dikurniakanNya kamu dari
rezeki yang baik-baik, supaya kamu bersyukur.
[27]
Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan
RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu
mengetahui (salahnya).
[28]
Dan ketahuilah
bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan
sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.
[29]
Wahai orang-orang yang beriman! Jika
kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang
membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan
kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan
Allah (sememangnya) mempunyai
limpah kurnia yang besar.
[30]
Dan ingatlah
(wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu
daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka
menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah
sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.
[31]
Dan apabila dibacakan kepada mereka
ayat-ayat Kami, mereka berkata: "Sesungguhnya kami telah mendengarnya.
Kalau kami mahu, nescaya kami dapat mengatakan (kata-kata) seperti (Al-Quran)
ini. (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah cerita cerita dongeng orang-orang
dahulu kala".
[32]
Dan (ingatlah)
ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: "Wahai tuhan kami! Jika betul
(Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu
dari
langit, atau datangkanlah kepada
kami azab seksa yang tidak terperi
sakitnya".
[33]
Dan Allah tidak sekali-kali akan
menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah
tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).
[34]
Dan mengapa mereka tidak patut diseksa
oleh Allah, sedang mereka menyekat (orang-orang Islam) dari masjid Al-Haraam,
padahal mereka bukanlah orang-orang yang berhak menguasainya (kerana mereka
kafir musyrik)? Sebenarnya orang-orang yang berhak menguasainya hanyalah
orang-orang yang bertaqwa, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
[35]
Dan tiadalah
sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk
tangan. Oleh itu rasalah kamu (wahai orang kafir) akan azab seksa dengan sebab
kekufuran kamu.
[36]
Sesungguhnya orang-orang kafir yang
selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah,
maka mereka tetap membelanjakannya
kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka,
tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu
(akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.
[37]
Kerana Allah hendak membezakan yang
jahat (golongan yang ingkar) dari yang
baik (golongan yang beriman), dan menjadikan (golongan) yang jahat itu setengahnya
bersatu dengan setengahnya yang lain, lalu ditimbunkannya kesemuanya, serta dimasukkannya ke dalam neraka
Jahanam. Mereka itulah orang-orang yang rugi.
[38]
Katakanlah (wahai Muhammad)
kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti
(dari kekufurannya),
nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan
menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah
berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.
[39]
Dan perangilah
mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu
seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (dari
kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang
baik) kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan.
[40]
Dan jika mereka
berpaling (enggan beriman dan tidak berhenti daripada menceroboh) maka
ketahuilah bahawasanya Allah Pelindung kamu; Dia lah sebaik-baik Pelindung dan
sebaik- baik Penolong (yang menyelamatkan dan menjayakan kamu).
moga syurga buat Tuan. Amin
ReplyDelete