Al- Faatihah
[1]
Dengan nama Allah, Yang Maha
Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[2]
Segala puji tertentu bagi Allah,
Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
[3]
Yang Maha Pemurah, lagi Maha
Mengasihani.
[4]
Yang Menguasai pemerintahan hari
Pembalasan (hari Akhirat).
[5]
Engkaulah sahaja
(Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon
pertolongan.
[6]
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
[7]
Iaitu jalan orang-orang yang
Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan)
orang-orang yang Engkau telah
murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
Al- Baqarah
[1]
Alif, Laam, Miim.
[2]
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang
syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya);
ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa; [3]
Iaitu
orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan
(mengerjakan)
sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami
berikan kepada mereka.
[4]
Dan juga
orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan
kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu,
serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
[5]
Mereka itulah
yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang
berjaya.
[6]
Sesungguhnya orang-orang kafir
(yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka:
sama ada engkau beri amaran
kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan
beriman.
[7]
(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah
mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan
mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat
besar.
[8]
Dan di antara manusia ada yang berkata:
"Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal
mereka sebenarnya tidak beriman.
[9]
Mereka hendak
memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya
memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.
[10]
Dalam hati mereka (golongan yang munafik
itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi
penyakit itu kepada mereka; dan
mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab
mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).
[11]
Dan apabila dikatakan kepada mereka:
"Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka
menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat
kebaikan".
[12]
Ketahuilah!
Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat
bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.
[13]
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu
telah beriman". Mereka menjawab: "Patutkah kami ini beriman
sebagaimana berimannya orang- orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya
merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang
sebenarnya).
[14]
Dan apabila mereka bertemu dengan
orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami telah beriman ", dan
manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan
mereka, mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu,
sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)".
[15]
Allah (membalas)
memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang
melampaui batas itu).
[16]
Mereka itulah orang-orang yang membeli
kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan
mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah. [17]
Perbandingan hal
mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang
menyalakan
api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan
cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita,
tidak dapat melihat (sesuatu pun).
[18]
Mereka (seolah-olah
orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali
(kepada kebenaran).
[19]
Atau (bandingannya) seperti (orang-orang
yang ditimpa) hujan lebat dari
langit, bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat
jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana
mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan
kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.
[20]
Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan)
penglihatan mereka; tiap-tiap kali
kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam
cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu
dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya
pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
[21]
Wahai
sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu
dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang
yang) bertaqwa.
[22]
Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk
kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang
dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya
air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya
dengan air itu berjenis-jenis
buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi
Allah, sebarang sekutu, padahal kamu
semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).
[23]
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang
apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah
buat dan datangkanlah satu surah yang
sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya
boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.
[24]
Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya,
dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya,
maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia
dan batu- batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang
kafir.
[25]
Dan berilah khabar gembira kepada
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu
pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah
yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu
yang sama rupanya (tetapi berlainan
hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan,
isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya
selama-lamanya.
[26]
Sesungguhnya Allah tidak malu
membuat perbandingan apa sahaja, (seperti)
nyamuk
hingga
ke suatu yang
lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-
orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang
kafir pula maka mereka akan berkata: "Apakah maksud Allah membuat
perbandingan dengan ini?" (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang
sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat
petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab
perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;
[27]
(Iaitu)
orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya,
dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya
diperhubungkan, dan mereka pula
membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang
rugi.
[28]
Bagaimana kamu tergamak kufur
(mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia
menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu
pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu
dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
[29]
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk
kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah
(bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia
Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[30]
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman
kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di
bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan
berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu
orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan),
padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan
berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak
mengetahuinya".
[31]
Dan Ia telah
mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian
ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu
nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar".
[32]
Malaikat itu
menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan
selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah
yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
[33]
Allah berfirman: "Wahai Adam!
Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka". Maka setelah Nabi
Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman:
"Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala
rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang
kamu sembunyikan?".
[34]
Dan (ingatlah) ketika kami
berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada
Nabi Adam". Lalu mereka
sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan
dan takbur, dan menjadilah ia
dari golongan yang kafir.
[35]
Dan kami berfirman: "Wahai Adam!
Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu
berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya)
maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim".
[36]
Setelah itu maka
Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari
syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah
berada di dalamnya dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari
kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan
bagi kamu semua disediakan tempat
kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan
hingga ke suatu masa (mati)".
[37]
Kemudian Nabi
Adam menerima dari Tuhannya beberapa
kalimah (kata-kata pengakuan taubat
yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima
taubat), lagi Maha Mengasihani.
[38]
Kami berfirman lagi: "Turunlah kamu
semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu
(melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka
sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari
sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita".
[39]
Dan orang-orang
kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli neraka,
mereka kekal di dalamnya.
[40]
Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu
akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah
perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu;
dan kepada Akulah sahaja hendaklah
kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).
[41]
Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku
turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan
janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula- mula kafir (ingkar) akan dia; dan
janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli
kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah
kamu bertaqwa.
[42]
Dan janganlah
kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang
benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.
[43]
Dan dirikanlah kamu akan
sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua
(berjemaah) bersama-sama
orang-orang yang rukuk.
[44]
Patutkah kamu
menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu
sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?
[45]
Dan mintalah
pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan
sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
[46]
(Iaitu) mereka
yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan
bahawa mereka akan kembali
kepadaNya.
[47]
Wahai
Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada kamu,
dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat
dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).
[48]
Dan peliharalah
diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak
dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan
tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang
tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.
[49]
Dan (kenangkanlah) ketika Kami
selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu
dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak- anak lelaki kamu
dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian
itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.
[50]
Dan
(kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana
melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami
tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.
[51]
Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji
kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama)
empat puluh malam. Kemudian, setelah ia pergi, kamu menyembah (patung) anak
lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri).
[52]
Kemudian sesudah itu kami maafkan
kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur.
[53]
Dan
(kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan
keterangan- keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara
yang benar dengan yang
salah), supaya kamu mendapat petunjuk.
[54]
Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa
berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya
diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka
bertaubatlah kamu kepada Allah yang
menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi
kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu.
Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha
Mengasihani".
[55]
Dan (kenangkanlah) ketika kamu
berkata: "Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu
sehingga kami
dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)". Maka kerana
itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.
[56]
Kemudian kami
bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu),
supaya kamu bersyukur.
[57]
Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan
(dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu
"Mann" dan "Salwa", (serta Kami berfirman): "Makanlah
dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu". Dan
tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi
sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.
[58]
Dan (kenangkanlah) ketika Kami
berfirman: "Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari
benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu
sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan
(mintalah ampun dengan) berkata: ' Ya Allah ampunilah dosa kami '; supaya kami
ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang
yang berbuat baik".
[59]
Kemudian
orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah kami) yang
dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas
orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka
sentiasa berlaku fasik (menderhaka).
[60]
Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon
supaya diberi air untuk kaumnya,
maka Kami berfirman: "Pukulah batu itu dengan tongkatmu", (ia pun
memukulnya), folalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya
tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya
masing-masing. (Dan Kami berfirman): "Makanlah dan minumlah kamu dari
rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka
bumi".
[61]
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata:
"Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam
sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi
kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur- sayurannya, dan
mentimunnya, dan bawang putihnya,
dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya". Nabi Musa
menjawab: "Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan
yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa
yang kamu minta itu". Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan,
dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu
ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah
dan
mukjizat-mukjizat
yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi- nabi dengan
tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka
menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.
[62]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman,
dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang
Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada)
hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di
sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang
tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
[63]
Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil
perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan
Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): "Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta
amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang
tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.
[64]
Kemudian sesudah
itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya);
maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu
(dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan
orang-orang yang rugi.
[65]
Dan sesungguhnya
kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu
yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka:
"Jadilah kamu kera yang hina".
[66]
Maka Kami
jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang
yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu
pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
[67]
Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata
kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka
berkata: "Adakah engkau hendak
menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung
kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang
melakukan sesuatu yang tidak patut)".
[68]
Mereka berkata pula: "Berdoalah
kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana
(sifat-sifat) lembu itu?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu
betina) itu ialah seekor lembu yang
tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu;
maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya".
[69]
Mereka berkata
lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada
kami apa warnanya?" Nabi Musa menjawab:
"Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu
kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang- orang yang
melihatnya".
[70]
Mereka berkata
lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada
kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki
itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya),
dan kami insya Allah akan mendapat
petunjuk (untuk mencari dan
menyembelih lembu itu)".
[71]
Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya
Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina
yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak
pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan
tidak ada belang pada warnanya". Mereka berkata: "Sekarang baharulah
engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar".
Maka mereka pun menyembelih lembu
yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah)
itu.
[72]
Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh
seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan
itu, padahal Allah tetap melahirkan
apa yang kamu sembunyikan.
[73]
Maka Kami (Allah) berfirman:
"Pukulah si mati dengan sebahagian
anggota lembu yang kamu sembelih itu" (Mereka pun memukulnya dan ia
kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan
memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.
[74]
Kemudian sesudah itu, hati kamu juga
menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara
batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada
pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya;
dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang
Allah tidak sekali- kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.
[75]
(Sesudah kamu - wahai Muhammad dan
pengikut-pengikutmu - mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu)
maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal
sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah
(Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka
memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?
[76]
Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi
pada zaman Rasulullah) bertemu dengan orang- orang yang beriman, mereka
berkata: "Kami telah beriman";
dan apabila mereka berjumpa sesama sendiri, mereka berkata: "Patutkah kamu
ceritakan kepada mereka (orang-orang
Islam) dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada kamu (di dalam Kitab
Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad) untuk menjadikannya hujah (bukti) yang dapat mengalahkah
kamu di sisi Tuhan kamu? Tidakkah kamu berakal?"
[77]
(Mereka berani
berkata demikian) dan tidakkah mereka ketahui bahawasanya Allah mengetahui apa
yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan?
[78]
Dan di antara
mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi
Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua
mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.
[79]
Kecelakaan besar bagi orang-orang yang
menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan
rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata:
"Ini ialah dari sisi Allah", supaya mereka dengan perbuatan itu dapat
membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka
disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan
besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.
[80]
Dan mereka
berkata: "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali
beberapa hari yang tertentu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah
kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan
menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang
tidak kamu mengetahuinya?"
[81]
(Apa yang kamu
katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi
(ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka
kekal di dalamnya.
[82]
Dan orang-orang
yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di
dalamnya.
[83]
Dan (ingatlah
wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil
(dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat
baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta
orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang
baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat". Kemudian kamu
berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil
dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian
setianya.
[84]
Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat
perjanjian setia dengan kamu:
"(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama
sendiri, dan janganlah kamu usir- mengusir sesama sendiri dari kampung
masing-masing". Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia
itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).
[85]
Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil),
kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu
keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain)
untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau
mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang
perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah
kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari
akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat
demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan
pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan
(ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
[86]
Mereka itulah orang-orang yang membeli
(mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan
perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka
tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula
tidak akan diberikan pertolongan.
[87]
Dan sesungguhnya Kami telah memberikan
kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi
kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi
Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan
Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang
Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu
(dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu
kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?
[88]
Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula:
"Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam)". (Sebenarnya hati
mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu
maka sedikit benar mereka yang beriman.
[89]
Dan ketika datang kepada mereka sebuah
Kitab dari Allah (Al Quran), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab
Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan
atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu).
Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya
(Nabi Muhammad dan Al Quran), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang
demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.
[90]
Sejahat-jahat
perkara (yang mereka lakukan) ialah
perbuatan mereka membeli kesenangan
dirinya sendiri dengan mengingkari Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah,
kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu) kepada
sesiapa yang
dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya
(iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat
kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang
kafir itu akan
beroleh azab sengsara yang menghinakan.
[91]
Dan apabila dikatakan kepada mereka:
"Berimanlah kamu kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepada Nabi
Muhammad)", mereka menjawab: "Kami
hanya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)". Dan
mereka ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian daripadanya,
padahal Al-Quran itu benar lagi
mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):
"Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu
kalaulah kamu benar-benar orang- orang yang beriman?".
[92]
Dan sesungguhnya telah datang kepada
kamu Nabi Musa membawa keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian kamu menyembah
(patung) anak lembu sepeninggalannya,
dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah orang-orang yang zalim.
[93]
Dan (ingatlah) ketika Kami
mengikat perjanjian setia dengan
kamu semasa Kami angkatkan
bukit Tursina
itu ke atas kamu (sambil kami berfirman): "Ambilah (dan amalkanlah ajaran
Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan
dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)". Mereka
menjawab: "Kami dengar, dan kami menderhaka". Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu
telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):"
Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang
yang beriman".
[94]
Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum
Yahudi): "Kalau syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk
kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang- orang lain
(seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan
sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar".
[95]
Dan sudah tentu mereka tidak akan
mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah
mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.
[96]
Demi
sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak
manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup
itu)
melebihi loba
orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya ia boleh
hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat
melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah
sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.
[97]
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana
Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang
mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan
sebelumnya), serta menjadi petunjuk
dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang
beriman".
[98]
Sesiapa memusuhi Allah (dengan
mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi Malaikat-malaikatNya
dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka ia akan diseksa
oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang- orang kafir.
[99]
Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan
kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (Al-Quran), dan
tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang yang fasik.
[100]
Patutkah (mereka ingkarkan ayat-ayat
keterangan itu) dan patutkah tiap-tiap kali mereka mengikat perjanjian setia,
dibuang dan dicabuli oleh segolongan dari mereka? Bahkan kebanyakan mereka
tidak beriman.
[101]
Dan apabila
datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah (Nabi Muhammad s.a.w), yang
mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah
diberikan Kitab
itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak
mengetahui (kebenarannya).
[102]
Mereka
(membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan
oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi
Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi
puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah
yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua
malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua
tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan
berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji
imanmu), oleh itu janganlah engkau
menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu
sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal
mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan
sihir itu seseorang pun melainkan
dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya
membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi
sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang
memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat.
Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka,
kalaulah mereka mengetahui.
[103]
Dan kalau
sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat
pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau
mereka mengetahui.
[104]
Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: "raaina",
(ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah:
"unzurna", dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati
menerimanya); dan (ingatlah, bahawa)
orang- orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[105]
Orang-orang kafir dari Ahli kitab, dan
juga dari orang-orang musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu
sedikit dari kebaikan (atau wahyu) dari Tuhan kamu Padahal Allah berhak
menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah (jualah
Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar.
[106]
Apa sahaja ayat keterangan yang Kami
mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami
datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya.
Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?
[107]
Tidakkah engkau mengetahui bahawa
sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah
bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi
pertolongan.
[108]
Adakah kamu pula hendak meminta
dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi Musa
(oleh kaumnya)
dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka
sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang lurus.
[109]
Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan
Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir
setelah kamu beriman, kerana dengki yang
timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi
Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka),
sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
[110]
Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang
dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri
kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya
Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.
[111]
Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata
pula: "Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang
berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanyalah angan-angan
mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan- keterangan yang (membuktikan
kebenaran) apa yang kamu katakan
itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".
[112]
(Apa yang kamu katakan itu
tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya
kepada Allah
(mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia
akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari
berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak
akan berdukacita.
[113]
Dan orang-orang
Yahudi berkata: "Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan
(ugama yang benar)"; dan orang-orang Nasrani pula berkata:
"Orang-orang Yahudi tidak
mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)"; padahal mereka membaca
Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik
dari kaum Jahiliyah) yang tidak berilmu pengetahuan,
mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum
(mengadili) di antara mereka pada hari
kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.
[114]
Dan siapakah
yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan
masjid-masjid Allah untuk (sembahyang
dan) menyebut nama Allah di dalamnya,
dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang
demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan
rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan
itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di
akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.
[115]
Dan
Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk
mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah
Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.
[116]
Dan mereka
(orang-orang musyrik) berkata: "Allah mempunyai anak". Maha Suci
Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia lah Yang memiliki segala
yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya.
[117]
Allah jualah
yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia
berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya:
"Jadilah engkau!" Lalu menjadilah ia.
[118]
Dan (orang-orang musyrik) yang tidak
berilmu pengetahuan, berkata: "Alangkah
eloknya kalau Allah berkata-kata
dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami sesuatu
keterangan (mukjizat)?" Demikian pula orang-orang (kafir) yang terdahulu
dari mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka; hati mereka
(sekaliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah pun
menerangkan ayat-ayat
keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan
yakin. [119]
Sesungguhnya
Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran,
(serta menjadi)
pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran
(kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta
(bertanggungjawab) tentang ahli neraka.
[120]
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak
sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau
menurut ugama mereka (yang telah
terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah
(ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika
engkau menurut kehendak hawa nafsu
mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang
kebenaran), maka
tiadalah engkau
akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi
pertolongan kepada mu.
[121]
Orang-orang yang
Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar
bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang- orang yang beriman kepadanya; dan
sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang- orang yang rugi.
[122]
Wahai Bani Israil,
kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku
telah melebihkan (datuk nenek) kamu (yang taat dahulu) atas umat-umat yang lain
(yang ada pada zamannya).
[123]
Dan peliharalah diri kamu dari
(huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau
melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan
memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang- orang yang salah itu
tidak akan ditolong (dari azab sengsara).
[124]
Dan (ingatlah),
ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun
menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman:
"Sesungguhnya Aku melantikmu
menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun
memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua
kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman:
"(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh
orang-orang yang zalim."
[125]
Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah
Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan
tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang.
Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman):
"Bersihkanlah Rumahku (Kaabah
dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang
bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan
orang-orang yang rukuk dan sujud".
[126]
Dan (ingatlah)
ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah
(negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari
berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman
kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:"
(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan
beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia),
kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah)
seburuk-buruk tempat kembali".
[127]
Dan
(ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah
(Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami!
Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha
Mendengar, lagi Maha mengetahui;
[128]
"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami
berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah
daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan
tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah
taubat kami; sesungguhnya Engkaulah
Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani; [129]
"Wahai
Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri,
yang akan membacakan kepada mereka
ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran)
serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik
dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana".
[130]
Tidak ada orang
yang membenci ugama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah
memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari
akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi
martabatnya).
[131]
(Ingatlah)
ketika Tuhannya berfirman kepadanya:
"Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab:
"Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".
[132]
Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan
ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat
kepada anak-anaknya) katanya:
"Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini
menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan
Islam".
[133]
(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan
sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang- orang Yahudi)! Kamu tiada hadir
ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya:
"Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?" Mereka menjawab:
"Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan
Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri
(dengan penuh iman)". [134]
Mereka itu
adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang
mereka telah
usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak
akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka
lakukan. [135]
Dan mereka (kaum
Yahudi dan Nasrani) berkata: "Jadilah kamu pemeluk ugama Yahudi atau
pemeluk ugama Nasrani, nescaya kamu akan
mendapat petunjuk". Katakanlah (wahai Muhammad: "Kami orang-orang
Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut ugama
Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang
musyrik".
[136]
Katakanlah (wahai orang-orang yang
beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan
kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan
Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga
kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan
kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak
membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi
dan Nasrani - membeza- bezakannya);
dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata- mata".
[137]
Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu
beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka
telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman
dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan
dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu
(janganlah engkau khuatir wahai
Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka;
dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[138]
(Katakanlah wahai orang-orang yang
beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan
Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah
yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan
Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".
[139]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap
kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaanNya ? Padahal Dia lah Tuhan kami dan
Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu
(kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas kepadaNya;
[140]
"Atau patutkah kamu mengatakan,
bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub beserta
anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal
ugama mereka telahpun ada sebelum adanya ugama Yahudi atau ugama Kristian
itu)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu yang lebih
mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang
menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah
kepadanya?" Dan (ingatlah), Allah tidak sekali- kali lalai akan apa yang
telah kamu lakukan.
[141]
Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu
sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu
pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak
akan ditanya (atau
dipertanggungjawabkan) tentang apa yang
mereka telah lakukan.
No comments:
Post a Comment