[75]
Ia menjawab:
"Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali
akan dapat bersabar bersamaku?"
[76]
Nabi Musa berkata: "Jika aku
bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau
jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat
alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan
bantahanku".
[77]
Kemudian keduanya berjalan lagi,
sehingga apabila mereka sampai
kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ,
lalu orang-orang itu enggan menjamu
mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu
ia membinanya. Nabi
Musa berkata: "Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah
mengenainya!"
[78]
Ia menjawab:
"Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu
maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar
mengenainya.
[79]
Adapun perahu
itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak
mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas
tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.
[80]
Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya
adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak
mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur. [81]
Oleh itu, kami
ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang
lebih baik daripadanya tentang
kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.
[82]
Adapun tembok
itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim
di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepuyaan mereka;
dan bapa mereka pula adalah orang yang
soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya
mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu,
sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada
mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri.
Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau
tidak dapat bersabar mengenainya".
[83]
Dan mereka
bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah:
"Aku akan bacakan kepada kamu
(wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya":
[84]
Sesungguhnya
Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri
kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.
[85]
Lalu ia menurut jalan (yang
menyampaikan maksudnya).
[86]
Sehingga apabila ia sampai ke daerah
matahari terbenam, ia mendapatinya
terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu
kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan
kepadanya): "Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa
mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka".
[87]
Ia berkata:
"Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan
menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya
dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.
[88]
Adapun orang yang beriman serta
beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya;
dan kami akan perintahkan
kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati".
[89]
Kemudian ia berpatah balik
menurut jalan yang lain.
[90]
Sehingga apabila
ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum
yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.
[91]
Demikianlah halnya; dan sesungguhnya
Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang
ada padanya.
[92]
kemudian ia berpatah balik
menurut jalan yang lain.
[93]
Sehingga apabila
ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir- hampir mereka tidak dapat memahami
perkataan.
[94]
Mereka berkata: "wahai Zulkarnain,
sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh
itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil
pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami
dengan mereka?"
[95]
Dia menjawab:
"(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih
baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu
beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup
yang kukuh.
[96]
Bawalah kepadaku ketul-ketul besi";
sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua
gunung itu, ddia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata:
"Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia menjadikannya
merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya
aku tuangkan atasnya".
[97]
Maka mereka tidak dapat memanjat
tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.
[98]
(Setelah itu)
berkatalah Zulkarnain: "Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada
itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur,
dan adalah janji Tuhanku itu benar".
[99]
Dan Kami biarkan
mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan
yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan
makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.
[100]
Dan Kami
perlihatkan neraka Jahannam, pada hari itu kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang jelas nyata;
[101]
(Iaitu)
orang-orang yang matanya telah tertutup daripada melihat tanda-tanda yang
membawa kepada mengingatiKu, dan mereka pula tidak dapat mendengar sama sekali.
[102]
Maka adakah orang-orang kafir menyangka
bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu sebagai makhluk-makhluk yang disembah,
selain daripadaKu, dapat menolong mereka? Sesungguhnya Kami telah sediakan
neraka Jahannam bagi orang-orang kafir itu sebagai tempat tetamu.
[103]
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang
yang paling rugi amal-amal perbuatannya?
[104]
(Iaitu)
orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang
mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".
[105]
Merekalah
orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan
denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan
memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.
[106]
(Mereka yang
bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar,
dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan. [107]
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-
syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).
[108]
Mereka kekal di dalamnya, (dan)
tidak ingin berpindah daripadanya.
[109]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah
Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-
kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan".
[110]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan
kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang
percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan
amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya
kepada Tuhannya".
Maryam
[1]
Kaaf, Haa, Yaa, Ain, Saad
[2]
(Ini ialah) perihal limpahan
rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada
hambaNya
Zakaria.
[3]
(Ingatkanlah
peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan
secara perlahan.
[4]
Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku!
Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban
kepalaku; dan aku - wahai Tuhanku - tidak pernah merasa hampa dengan doa
permohonanku kepadaMu.
[5]
Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan
kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan
isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari
sisiMu seorang anak lelaki.
[6]
Yang layak mewarisi daku, juga
mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia - wahai
Tuhanku seorang yang diredhai
serta disukai".
[7]
(Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan
doanya):"Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang
mengembirakanmu dengan mengurniakan
seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu,
seorangpun yang senama dengannya".
[8]
Nabi Zakaria bertanya: "Wahai
Tuhanku! Bagaimanakah caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku
adalah seorang yang mandul dan aku sendiri pula telah sampai had umur yang
setua-tuanya?"
[9]
Penyeru itu menjawab: Demikian
keadaannya - janganlah dihairankan; Tuhanmu berfirman; "Hal itu mudah
bagiKu kerana sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang engkau pada
masa itu belum ada sebarang apapun."
[10]
Nabi Zakaria merayu lagi: "Wahai
Tuhanku! Jadikanlah satu tanda bagiku (yang menunjukkan isteriku
mengandung)", Allah Taala berfirman: " Tandamu itu ialah engkau tidak
akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga malam, sedang engkau
dalam keadaan sihat".
[11]
Maka dia pun
keluar mendapatkan kaumnya dari Mihrab (tempat sembahyangnya), lalu ia memberi
isyarat kepada mereka: "Hendaklah kamu bertasbih (mengerjakan ibadat kepada Allah) pagi dan petang".
[12]
"Wahai Yahya, terimalah
Kitab itu (serta amalkanlah) dengan
bersungguh-sungguh! Dan
Kami berikan kepadanya Hikmat
kebijaksanaan semasa ia masih kanak-kanak.
[13]
dan (Kami
mengurniakannya) rahmat dari sisi Kami, serta kelebihan yang kembang
manfaatnya; dan ia seorang yang bertaqwa.
[14]
Dan ia taat
serta berbuat baik kepada ibu bapanya, dan ia pula tidak sombong angkuh atau derhaka.
[15]
Dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat
sejahtera pada hari ia diperanakkan, dan pada hari ia mati, serta pada hari ia
dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).
[16]
Dan bacakanlah
(wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia
memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur.
[17]
Kemudian Maryam
membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami lalu ia menyamar
diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.
[18]
Maryam berkata: Sesungguhnya aku
berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada
(gangguan) mu kalaulah engkau
seorang yang bertaqwa.
[19]
Ia berkata:
"Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang
anak yang suci".
[20]
Maryam bertanya (dengan cemas):
Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki,
padahal aku
tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?"
[21]
Ia menjawab:
"Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal
itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu
tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu
rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan
berlakunya.
[22]
Maka Maryam
hamilah mengandungnya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke
sebuah tempat yang jauh.
[23]
(Ketika ia
hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma);
ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku
sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!
[24]
Lalu ia diseru
dari sebelah bawahnya:" Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam),
sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.
[25]
Dan gegarlah ke arahmu batang pohon
tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.
[26]
"Maka makanlah dan minumlah serta
bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat
seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu
kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak
akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini". [27]
Kemudian
baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya mereka pun
menempelaknya dengan berkata: Wahai
Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya!
[28]
" Wahai
saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan
ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!"
[29]
Maka Maryam
segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya):
"Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak
dalam buaian?"
[30]
Ia menjawab:" Sesungguhnya
aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab
(Injil), dan Ia telah menjadikan
daku seorang Nabi.
[31]
Dan Ia
menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan
diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.
[32]
" Serta (diperintahkan daku)
taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan
daku seorang yang sombong takbur
atau derhaka.
[33]
Dan segala keselamatan serta
kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku
mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)".
[34]
Yang demikian
sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah
keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan
padanya. [35]
Tiadalah layak
bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia. Apabila menetapkan jadinya
sesuatu perkara, maka hanyalah Ia
berfirman kepadanya: "Jadilah engkau", lalu menjadilah ia.
[36]
Dan sesungguhnya
Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia inilah jalan
yang betul - lurus ".
[37]
Kemudian,
golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan sesama sendiri. Maka
kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan) itu, dari apa yang
disaksikan pada hari yang besar huru-haranya.
[38]
Sungguh jelas
pendengaran dan penglihatan mereka yang
kafir itu semasa mereka datang mengadap Kami pada hari akhirat. Tetapi
orang-orang yang zalim (dengan perbuatan
kufur dan maksiat) pada masa di dunia ini, berada dalam kesesatan yang nyata
[39]
Dan berilah amaran (wahai Muhammad)
kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu hari diselesaikan
perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini
berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman. [40]
Sesungguhnya
Kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya; dan
kepada Kamilah mereka akan
dikembalikan.
[41]
Dan bacakanlah (wahai Muhammad)
di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim;
sesungguhnya adalah ia seorang
yang amat benar, lagi menjadi Nabi.
[42]
Ketika ia
berkata kepada bapanya:" Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang
tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun?
[43]
" Wahai ayahku, sesungguhnya telah
datang kepadaku dari ilmu pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu oleh
itu ikutlah daku; aku akan memimpinmu ke jalan yang betul. [44]
" Wahai
ayahku, janganlah ayah menyembah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu adalah
menderhaka kepada Allah yang
melimpah-limpah rahmatNya.
[45]
" Wahai ayahku, sesungguhnya
aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-
Rahman
disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah
ayah rakan bagi Syaitan di dalam neraka".
[46]
(Bapanya)
menjawab: "Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi
sesungguhnya jika engkau tidak berhenti daripada menyeru dan menasihati daku
sudah tentu aku akan meluntarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau
tinggalkan daku sepanjang masa".
[47]
Nabi Ibrahim
berkata: " Selamat tinggalah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku
mengampuni dosamu; sesungguhnya Ia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya
kepadaku.
[48]
Dan aku akan
membawa diri meninggalkan kamu semua serta apa yang kamu sembah yang lain dari
Allah; dan aku akan beribadat kepada Tuhanku dengan ikhlas; mudah-mudahan aku
dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa (dan derhaka seperti kamu)".
[49]
Maka apabila ia
berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah yang lain dari Allah
kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya); dan kedua-duanya
Kami jadikan berpangkat Nabi.
[50]
Dan Kami
kurniakan kepada mereka dari rahmat Kami, dan Kami jadikan bagi mereka sebutan
dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia.
[51]
Dan bacakanlah (wahai Muhammad)
di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa;
sesungguhnya ia adalah orang pilihan,
dan adalah ia seorang Rasul, lagi Nabi.
[52]
Dan Kami telah
menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina, dan Kami dampingkan dia
dengan diberi penghormatan berkata dengan Kami.
[53]
Dan Kami kurniakan kepadanya dari
rahmat Kami, saudaranya: Harun, yang juga berpangkat
Nabi.
[54]
Dan bacakanlah
(wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar
menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi.
[55]
Dan adalah ia
menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula
adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!
[56]
Dan bacakanlah
(wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris; sesungguhnya adalah ia amat benar
(tutur katanya dan imannya), serta ia seorang Nabi. [57]
Dan Kami telah
mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.
[58]
Mereka itulah sebahagian dari
Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang
melimpah-limpah kepada mereka dari
keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam
bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari
keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri
hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat
(Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.
[59]
Kemudian mereka
digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut
hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam
neraka),
[60]
Kecuali
orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu
akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun, -
[61]
(Iaitu) Syurga " Adn " yang
telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada hamba- hambaNya disebabkan
kepercayaan mereka akan perkara-perkara yang ghaib; sesungguhnya Tuhan itu,
janjiNya tetap berlaku.
[62]
Mereka tidak akan mendengar di dalamnya
perkataan yang sia-sia tetapi mereka sentiasa mendengar perkataan yang
baik-baik; dan makan minum untuk mereka disediakan di dalamnya, pagi dan petang
(sepanjang masa).
[63]
Itulah taman
Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan
pusaka kepada orang-orang. yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami.
[64]
Dan (berkatalah malaikat): "Kami
tidak turun dari semasa ke semasa melainkan dengan perintah Tuhanmu (wahai
Muhammad); Dia lah jua yang menguasai serta mentadbirkan apa yang di hadapan
kita dan apa yang di belakang kita serta apa yang di antara itu; dan tiadalah
Tuhanmu itu lupa, -
[65]
"Tuhan yang mencipta dan
mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh
itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam
beribadat kepadaNya; adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan
sebanding denganNya?"
[66]
Dan manusia (yang kafir) berkata:
"Apa! Apabila aku mati, adakah aku akan dibangkitkan hidup semula?"
[67]
Patutkah manusia itu berkata demikian
dan tidak memikirkan bahawa Kami telah menciptakan dia dahulu sedang ia pada
masa itu belum ada sebarang apapun? [68]
Oleh itu, demi
Tuhanmu (wahai Muhammad)! Sesungguhnya Kami akan himpunkan mereka
yang kafir itu
beserta syaitan-syaitan di Padang Mahsyar, kemudian Kami akan bawa mereka duduk
berlutut di keliling neraka Jahannam.
[69]
Sesudah itu,
sesungguhnya kami akan cabut dari tiap-tiap golongan, mana-mana orang yang
sangat derhaka kepada (Allah) Ar-Rahman, di antara mereka.
[70]
Kemudian,
sesungguhnya Kami lebih mengetahui akan orang-orang yang lebih patut diseksa
dan dibakar dangan api neraka itu.
[71]
Dan tiada seorangpun di antara kamu
melainkan akan sampai kepadanya; (yang
demikian)
adalah satu perkara yang mesti
(berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.
[72]
Kemudian Kami akan selamatkan
orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang- orang yang zalim
(dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu. [73]
Dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-
orang yang kafir kepada orang-orang yang
beriman: "Puak yang manakah (dari kami dan kamu) yang lebih baik tempat
tinggalnya dan lebih elok majlis perhimpunannya?
[74]
Dan berapa banyak kaum-kaum (yang
ingkar) sebelum mereka, kami telah binasakan, sedang mereka lebih elok
alat-alat kesenangannya dan lebih elok keadaannya pada pandangan mata. [75]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah
(Allah) Ar-Rahman melanjutkan baginya
satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan
kepada mereka, - sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka (pada
saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk
kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya."
[76]
Dan Allah akan
menambahi hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk; dan
amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan
pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.
[77]
Maka tidakkah engkau merasa hairan
memikirkan (wahai Muhammad), akan orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat
keterangan Kami serta ia berkata: "Demi sesungguhnya aku akan diberikan
harta kekayaan dan anak-pinak pada hari akhirat?"
[78]
Adakah ia telah
mengetahui akan perkara yang ghaib, atau adakah ia telah membuat perjanjian
dengan (Allah) Ar-Rahman mengenainya?
[79]
Tidak
sekali-kali! Kami akan menulis apa yang dikatakannya, dan Kami akan tambahi baginya dari azab seksa,
berganda-ganda.
[80]
Dan Kami akan
warisi (harta benda dan anak-pinak) yang dikatakannya itu, dan ia akan datang kepada kami dengan seorang diri.
[81]
Dan mereka yang kafir menyembah benda-benda
yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan,
supaya
benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi
kemuliaan dan pengaruh kepada mereka.
[82]
Tidak
sekali-kali! Bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu mengingkari
perbuatan mereka menyembahnya, dan akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka. [83]
Tidakkah engkau
mengetahui (Wahai Muhammad) bahawa Kami telah menghantarkan
Syaitan-syaitan
kepada orang-orang kafir, untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur
dan maksiat dengan bersungguh-sungguh?
[84]
Oleh itu, janganlah engkau segera marah
terhadap mereka yang ingkar itu, kerana sesungguhnya kami hanya menghitung hari
yang sedikit sahaja bilangannya untuk mereka. [85]
(Ingatlah) hari
Kami himpunkan orang-orang yang bertaqwa untuk mengadap (Allah) Ar-
Rahman, dengan berpasuk-pasukan.
[86]
Dan Kami akan
menghalau orang-orang yang bersalah ke neraka Jahannam, dalam keadaan dahaga.
[87]
Mereka tidak
berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali orang yang telah mengikat
perjanjian (dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah yang melimpah-limpah
rahmatNya!.
[88]
Dan mereka yang kafir berkata:
"(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak."
[89]
Demi sesungguhnya, kamu telah
melakukan satu perkara yang besar salahnya!
[90]
Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan
(anggapan mereka) yang demikian, dan
bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, -
[91]
Kerana mereka mendakwa
mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.
[92]
Padahal tiadalah layak bagi
(Allah) Ar-Rahman, bahawa Ia mempunyai anak.
[93]
Tidak ada
sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-
Rahman, sebagai hamba.
[94]
Demi
sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta
menghitung mereka satu persatu.
[95]
Dan mereka masing-masing akan
datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.
[96]
. Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah
rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih
sayang.
[97]
Maka sesungguhnya Kami memudahkan
turunnya Al-Quran ini dengan bahasamu (wahai
Muhammad), ialah supaya engkau memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa, dan
supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil dalam
kekufurannya.
[98]
Dan amatlah banyaknya kaum-kaum kafir
yang Kami telah binasakan sebelum mereka; engkau tidak menyedari ataupun
mendengar suara yang sayup bagi seseorangpun dari orang- orang yang telah
dibinasakan itu.
Taha
[1]
Taa' Haa.
[2]
Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu
(wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.
[3]
Hanya untuk menjadi peringatan
bagi orang-orang yang takut melanggar perintah. Allah
[4]
(Al-Quran) diturunkan dari
(Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
[5]
Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang
bersemayam di atas Arasy.
[6]
Dia lah jua yang
memiliki segala yang
ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya
dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi.
[7]
Dan jika engkau menyaringkan suara
dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana
sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi.
[8]
Allah! Tiada
Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, bagiNyalah segala nama yang baik.
[9]
Dan sudahkah sampai kepadamu
(wahai Muhammad) perihal Nabi Musa?
[10]
Ketika ia
melihat api, lalu berkatalah ia kepada isterinya: "Berhentilah!
Sesungguhnya aku ada melihat api
semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya, atau aku dapat
di tempat api itu: penunjuk jalan.
[11]
Maka apabila ia sampai ke tempat
api itu (kedengaran) ia diseru: "Wahai Musa! " -
[12]
"Sesungguhnya Aku Tuhanmu!
Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di
Wadi Tuwa yang suci.
[13]
"Dan Aku
telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah
apa yang akan diwahyukan kepadamu.
[14]
"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada
tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang
untuk mengingati Daku.
[15]
"Sesungguhnya
hari kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya
- supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang
ia usahakan.
[16]
"Maka
janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh
orang yang tidak beriman kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana
dengan itu engkau akan binasa.
[17]
"Dan apa (bendanya) yang di
tangan kananmu itu wahai Musa?"
[18]
Nabi Musa menjawab: "Ini ialah
tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya
daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain
keperluanku pada tongkat itu".
[19]
Allah Taala berfirman:
"Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!"
[20]
Lalu ia mencampakkannya, maka tiba-tiba
tongkatnya itu menjadi seekor ular yang
bergerak menjalar.
[21]
Allah berfirman:
"Tangkaplah akan dia, dan janganlah engkau takut, Kami akan
mengembalikannya kepada keadaannya yang asal.
[22]
"Dan
kepitlah tanganmu di celah lambungmu; nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar
dengan tidak ada cacat; sebagai satu mukjizat yang lain.
[23]
"(Berlakunya
yang demikian itu) kerana Kami hendak memperlihatkan kepadamu sebahagian dari
tanda-tanda kekuasaan Kami yang besar.
[24]
"Pergilah kepada Firaun,
sesungguhnya ia telah melampaui batas".
[25]
Nabi Musa berdoa dengan berkata:
"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;
[26]
"Dan mudahkanlah bagiku,
tugasku;
[27]
"Dan lepaskanlah simpulan
dari lidahku,
[28]
"Supaya mereka faham
perkataanku;
[29]
"Dan jadikanlah bagiku,
seorang penyokong dari keluargaku.
[30]
"Iaitu Harun saudaraku;
[31]
"Kuatkanlah dengan
sokongannya, pendirianku,
[32]
"Dan jadikanlah dia turut
campur bertanggungjawab dalam urusanku,
[33]
"Supaya kami sentiasa
beribadat dan memujiMu,
[34]
"Dan (supaya) kami sentiasa
menyebut dan mengingatiMu;
[35]
"Sesungguhnya Engkau adalah
sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami".
[36]
Allah berfirman:
"Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai
Musa!
[37]
"Dan demi sesungguhnya! Kami
telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum
ini.
[38]
"Ketika Kami ilhamkan kepada
ibumu, dengan memberitahu kepadanya:
[39]
"Letakkanlah anakmu di dalam peti,
kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya
terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah
tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya
engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.
[40]
"Ketika
saudara perempuanmu pergi mencarimu lalu berkata kepada orang-orang yang
memungutmu:" Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada orang yang boleh
memeliharanya?" Maka dengan jalan itu Kami mengembalikanmu kepada ibumu
supaya tenang hatinya dan supaya ia tidak berdukacita kerana bercerai denganmu;
dan semasa engkau membunuh seorang lelaki, lalu Kami selamatkan engkau dari
kesusahan pembunuhan itu; dan Kami telah melepaskan engkau berkali-kali dari
berbagai-bagai cubaan; kemudian engkau tinggal dengan selamat beberapa tahun
dalam kalangan penduduk negeri Madyan; setelah itu engkau
sekarang datang dari sana pada
masa yang telah ditentukan, wahai Musa!
[41]
"Dan Aku telah memilihmu
untuk menjadi RasulKu.
[42]
"Pergilah, engkau dan saudaramu,
membawa mukjizat-mukjizat pengurniaanKu dan janganlah kamu berdua lemah dan
cuai dalam menyebut serta mengingati Daku.
[43]
"Pergilah
kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam
kekufurannya.
[44]
"Kemudian
hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia
beringat atau takut".
[45]
Mereka berdua
berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa ia akan segera
menyeksa kami, atau ia akan melampau batas".
[46]
Allah berfirman:
"Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku
mendengar dan melihat segala-galanya.
[47]
"Oleh itu, pergilah kamu berdua
kepadanya, kemudian katakanlah: "Bahawa sesungguhnya kami ini Rasul-rasul
dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut kami, dan janganlah
engkau menyeksakan mereka. Sesungguhnya kami telah datang kepadamu membawa satu
tanda (mukjizat) dari Tuhanmu! Dan selamat sejahtera itu adalah untuk orang-
orang yang menurut petunjuk ugama Allah.
[48]
"Sesungguhnya
telah diwahyukan kepada kami bahawa azab seksa di dunia dan di akhirat
ditimpakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling
daripadanya". [49]
(Setelah mereka
menyampaikan perintah Allah itu), Firaun berkata: "Jika demikian, siapakah
Tuhan kamu berdua, hai
Musa?"
[50]
Nabi Musa
menjawab: "Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai
dengannya, kemudian Ia memberi
petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya".
[51]
Firaun bertanya lagi: "Jika
demikian, bagaimana pula keadaan kaum-kaum yang telah lalu?"
[52]
Nabi Musa
menjawab: "Pengetahuan mengenainya ada di sisi Tuhanku, tertulis di dalam
sebuah Kitab; Tuhanku tidak pernah keliru dan Ia juga tidak pernah lupa".
[53]
(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan
bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi kamu padanya
jalan-jalan lalu-lalang; dan Ia juga telah menurunkan hujan dari langit. Maka
Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya.
[54]
Makanlah kamu
daripadanya dan berilah makan binatang-binatang ternak kamu; sesungguhnya
semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan Allah, bagi
orang-orang yang berakal fikiran.
[55]
Dari bumilah
Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan
daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.
[56]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah
tunjukkan kepada Firaun segala tanda-tanda yang
membukti kekuasaan Kami; dalam
pada itu ia mendustakannya dan enggan beriman.
[57]
Firaun berkata: "Patutkah engkau
datang kepada kami untuk mengeluarkan kami dari negeri kami dengan sihirmu, hai
Musa?
[58]
"Kalau demikian, sesungguhnya kami
juga akan bawakan kepadamu sihir yang seperti itu untuk melawanmu! Maka
tentukanlah suatu tempoh pertemuan antara kami denganmu, yang kita bersama
tidak akan memungkirinya, di suatu tempat yang sesuai bagi kedua belah
pihak".
[59]
Nabi Musa menjawab: "Tempoh yang
aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan,
dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha".
[60]
Maka Firaun pun
berangkat dari majlis itu. Ia mengumpulkan ahli-ahli sihir untuk menjalankan
tipu-dayanya, kemudian ia datang ke tempat perlawanan.
[61]
Nabi Musa
berkata kepada mereka: "Celakalah kamu kelak! Janganlah kamu mendakwa
secara dusta terhadap Allah, kerana dengan sebab itu Ia akan membinasakan kamu
dengan azab seksa; dan sesungguhnya orang yang berdusta, tetap hampa dan
kecewa".
[62]
Maka merekapun
berbantahan dan berunding sesama sendiri mengenai perkara sihir mereka, dan
mereka rahsiakan apa yang mereka rundingkan.
[63]
Mereka berkata: "Dua orang ini,
sebenarnya dua ahli sihir yang bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri
kamu dengan sihir mereka, dan hendak melenyapkan kepercayaan serta adat
peraturan kamu yang utama.
[64]
"Oleh itu,
satukanlah segala cara helah kamu, kemudian datanglah beramai-ramai dalam satu
barisan untuk menentangnya; dan sesungguhnya beruntunglah orang yang menang
pada hari ini".
[65]
Mereka berkata: "Wahai Musa!
Engkaukah yang akan mencampak lebih dahulu atau kamikah yang mula-mula
mencampak?"
[66]
Nabi Musa
menjawab: "Bahkan kamulah campak dahulu". Tiba-tiba tali-tali mereka
dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda
berjalan, disebabkan sihir mereka.
[67]
Maka yang demikian menjadikan
Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.
[68]
Kami berfirman kepadanya:
"Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang
tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.
[69]
"Dan campakkanlah apa yang
ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-
benda sihir)
yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah
tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di
mana sahaja ia berada".
[70]
(Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya
yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian
menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata:
"Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa". [71]
Firaun berkata:
"Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada
kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu
yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong
tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada
batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah
di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal". [72]
Mereka menjawab:
"Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah
datang kepada
kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata,
dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita
semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana
sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.
[73]
"Sesungguhnya
kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya
diampunkanNya kesalahan- kesalahan kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau
paksakan kami melakukannya. Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal
balasan pahalaNya.
[74]
"Sebenarnya
sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang ia bersalah maka
sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang ia tidak mati di dalamnya dan
tidak pula hidup.
[75]
"Dan sesiapa yang datang kepadaNya
sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal- amal yang soleh, maka
mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya: [76]
"(Iaitu)
Syurga-syurga yang kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal di
dalamnya; dan
yang demikian itu ialah balasan orang-orang yang membersihkan dirinya dari
perbuatan kufur dan maksiat".
[77]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah
wahyukan kepada Nabi Musa: "Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu
(kaummu) keluar memgembara pada waktu malam, kemudian pukulah air laut dengan
tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada
ditangkap oleh musuh, dan jangan pula engkau takut tenggelam".
[78]
Maka Firaun pun
mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu ia dan orang- orangnya
diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya dengan cara yang
sedahsyat-dahsyatnya.
[79]
Dan dengan itu
Firaun telah menjerumuskan kaumnya ke tempat kebinasaan, dan tidaklah ia
membawa mereka ke jalan yang benar.
[80]
Wahai Bani
lsrail! Sesungguhnya Kami telah selamatkan kamu dari musuh kamu, dan Kami telah
janjikan kamu (dengan memberi wahyu kepada Nabi Musa) di sebelah kanan Gunung
Tursina itu, dan kami turunkan kepada kamu "Mann" dan
"Salwa",
[81]
Serta Kami katakan: Makanlah dari
benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu
melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa
kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah
ia.
[82]
Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat
serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang
diberikan kepadanya.
[83]
Dan apakah yang
menyebabkan engkau segera datang ke mari lebih dahulu dari kaum engkau wahai
Musa?.
[84]
Nabi Musa
menjawab: "Mereka itu ada mengiringi daku tidak jauh dari sini; dan aku
segera datang kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Engkau reda akan daku".
[85]
(Setelah selesainya urusan itu) maka
Allah berfirman kepada Nabi Musa: "Sesungguhnya Kami telah mengenakan
kaummu satu fitnah ujian sepeninggalanmu, dan mereka telah disesatkan oleh
Samiri"
[86]
Maka kembalilah Nabi Musa kepada kaumnya
dengan perasaan marah dan dukacita; ia berkata: "Wahai kaumku! Bukankah
Tuhan kamu telah menjanjikan kamu dengan satu perjanjian yang baik? Patutkah
kamu merasa panjang masa pemergianku menerima apa yang dijanjikan itu? Atau
kamu sengaja menghendaki supaya kamu ditimpa kemurkaan dari Tuhan kamu, lalu
kamu menyalahi perjanjian kamu denganku?"
[87]
Mereka menjawab: "Kami tidak
menyalahi janji kami kepadamu itu dengan kuasa dan ikhtiar kami, tetapi kami
telah dibebankan membawa barang-barang
perhiasan orang-orang (Mesir) itu, supaya kami mencampakkannya ke dalam api
lalu kami melakukan yang demikian, maka demikianlah juga "Samiri"
mencampakkan apa yang dibawanya.
[88]
"Kemudian Samiri mengeluarkan untuk
mereka dari leburan barang-barang
itu (patung) seekor anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka
berkata: "Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah
lupa!"
[89]
Patutkah mereka
tidak mahu berfikir sehingga mereka tidak nampak bahawa patung itu tidak dapat
menjawab perkataan mereka, dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi
manfaat kepada mereka?
[90]
Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun
telahpun berkata kepada mereka sebelum itu: "Wahai kaumku, sesungguhnya
kamu hanya diperdayakan dengan patung itu, dan sesungguhnya Tuhan kamu ialah
Allah yang melimpah-limpah rahmatNya; oleh itu, ikutlah daku dan
taatlah akan perintahku".
[91]
Mereka menjawab:
"Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan)
kami akan tetap menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada kami".
[92]
(Sekembalinya), Nabi Musa berkata:
"Wahai Harun, apakah maniknya yang menghalangmu ketika engkau melihat
mereka sesat,
[93]
"Daripada menurutku? Adakah
engkau ingkar akan suruhanku?"
[94]
Nabi Harun
menjawab: "Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan
janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan
berkata kepadaku: ` Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama
sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku! ' "
[95]
(Sesudah itu
Nabi Musa hadapkan kemarahannya kepada Samiri lalu) bertanya: "Apa pula
halmu, wahai Samiri?"
[96]
Ia menjawab:" Aku mengetahui dan
menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam
dari kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku".
[97]
Nabi Musa berkata kepada Samiri:
"Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan dipulaukan), kerana
sesungguhnya telah ditetapkan bagimu
akan berkata dalam kehidupan dunia ini: ` Jangan sentuh daku ', dan
sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau
tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada
tuhanmu yang engkau sekian lama menyembahnya,
sesungguhnya kami akan membakarnya
kemudian kami akan menghancur dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang
lenyap.
[98]
"Sesungguhnya Tuhan kamu hanya
Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, yang meliputi pengetahuanNya akan
tiap-tiap sesuatu".
[99]
Demikianlah Kami ceritakan kepadamu
(wahai Muhammad), sebahagian dari kisah-kisah umat manusia yang telah lalu; dan
sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu, dari sisi Kami (sebuah Kitab
Al-Quran yang menjadi) peringatan.
[100]
Sesiapa yang
berpaling ingkar dari peringatan Al-Quran itu, maka sesungguhnya ia pada hari
kiamat menanggung beban (dosa) yang berat.
[101]
Mereka kekal di
dalam (azab) dosa itu; dan amatlah buruknya tanggungan itu bagi mereka pada
hari kiamat,
[102]
(Iaitu) hari
ditiup Sangkakala, dan Kami akan himpunkan pada hari itu orang-orang yang
bersalah dalam keadaan kelabu matanya.
[103]
Mereka berbisik-bisik sesama
sendiri: "Kamu telah tinggal hanya sepuluh sahaja".
[104]
(Allah berfirman): Kami lebih mengetahui
akan kadar masa yang mereka katakan itu, manakala orang yang lebih tepat
pendapatnya di antara mereka berkata pula: "Tiadalah kamu tinggal
melainkan satu masa yang amat singkat".
[105]
Dan mereka (yang kafir) bertanya
kepadamu (wahai Muhammad) dari hal gunung-ganang;
maka jawablah: "Tuhanku akan
menghancurkannya menjadi debu ditiup
angin.
[106]
"Lalu Ia membiarkan tapak
gunung-gunung itu (di bumi) rata lagi licin".
[107]
Engkau tidak akan melihat pada
tapaknya itu tempat yang rendah atau yang tinggi.
[108]
Pada hari itu
mereka menurut seruan panggilan yang menyeru mereka dengan tidak dapat
melencong dari menurutnya; dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah yang
melimpah-limpah
rahmatNya sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan.
[109]
Pada hari itu,
tidak berfaedah syafaat (dari dan kepada sesiapapun) kecuali dari orang yang
diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmatNya, dan kepada orang yang diredai perkataannya.
[110]
Allah mengetahui
apa yang di hadapan mereka (dari hal-hal dunia), dan apa yang di belakang
mereka (dari perkara akhirat); sedang mereka tidak mengetahuinya secara
meliputi.
[111]
Dan segala muka
akan tunduk dengan berupa hina kepada Allah Yang Tetap Hidup, lagi Yang Kekal
Mentadbirkan makhluk selama-lamanya;
dan sesungguhnya telah rugi dan
hampalah orang yang menanggung dosa kezaliman.
[112]
Dan sesiapa yang
mengerjakan sebarang apa dari amal-amal yang soleh, sedang ia beriman, maka
tidaklah (seharusnya) ia merasa takut dianiaya
atau dikurangkan sedikitpun dari
pahalanya.
[113]
Dan demikianlah
Kami telah menurunkan Al-Quran sebagai bacaan dalam bahasa Arab, dan kami telah
terangkan di dalamnya berbagai-bagai amaran supaya mereka (umat manusia
seluruhnya) bertaqwa, atau mereka mendapat daripadanya sesuatu peringatan dari
faedah mereka.
[114]
Maka Maha Tinggilah Allah, yang
Menguasai seluruh alam, lagi Yang
Benar (pada segala- galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad)
tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu,
dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku".
[115]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah
berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia lupa; dan kami tidak
mendapatinya mempunyai keazaman yang
teguh.
[116]
Dan (ingatkanlah peristiwa)
ketika Kami berfirman kepada
malaikat: "Sujudlah kamu kepada
Adam", lalu mereka sujud,
melainkan Iblis, ia enggan sujud.
[117]
Maka, Kami
berfirman: "Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi
isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga,
kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.
[118]
"Sesungguhnya
telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam
Syurga itu dan tidak akan bertelanjang.
[119]
"Dan sesungguhnya
engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu, dan tidak akan merasa panas
matahari".
[120]
Setelah itu maka Syaitan membisikkan
(hasutan) kepadanya, dengan berkata:
"Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup
selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?"
[121]
Kemudian mereka berdua memakan dari
pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka
mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah
Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). [122]
Kemudian
Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat),
lalu Allah
menerima taubatnya serta diberi
petunjuk.
[123]
Allah berfirman: "Turunlah kamu
berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh
bagi setengahnya yang lain; kemudian
jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu
itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.
[124]
"Dan sesiapa yang berpaling ingkar
dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang
sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".
[125]
Ia berkata:
"Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?"
[126]
Allah berfirman: "Demikianlah
keadaannya! Telah datang ayat-ayat
keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan
demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan".
[127]
Dan demikianlah Kami membalas
orang yang melampaui batas dan tidak
beriman kepada
ayat-ayat keterangan Tuhannya; dan demi
sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal.
[128]
Adakah tersembunyi serta belum jelas
lagi kepada mereka: berapa banyak Kami telah binasakan dari kamu-kaum yang
terdahulu daripada mereka, sedang mereka sekarang berulang-alik melalui
tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya pada yang demikian
ada tanda-tanda (untuk mengambil iktibar) bagi orang-orang yang berakal fikiran.
[129]
Dan jika
tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah Tuhanmu (wahai Muhammad), dan satu
tempoh yang ditentukan nescaya
balasan jenayah mereka sudah semestinya berlaku.
[130]
Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai
Muhammad) akan apa yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu
sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya; dan beribadatlah pada
saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah-sebelah siang; supaya engkau reda
(dengan mendapat sebaik-baik balasan).
[131]
Dan janganlah
engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah
Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu
menikmatinya,
yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka
padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.
[132]
Dan perintahkanlah keluargamu serta
umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar
menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang
memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi
orang-orang yang bertaqwa.
[133]
Dan mereka yang
kafir berkata: "Mengapa ia tidak membawa kepada kami satu tanda mukjizat
dari Tuhannya yang membuktikan
kebenarannya?" Bukankah telah datang kepada mereka berbagai-bagai
keterangan dan khasnya Al-Quran yang menjadi kenyataan yang menerangkan apa
yang terkandung dalam Kitab-kitab yang dahulu?
[134]
Dan sekiranya Kami binasakan mereka
dengan sesuatu azab sebelum datangnya Rasul Kami membawa Al-Quran ini, tentulah
mereka akan berkata pada hari kiamat: "Wahai Tuhan Kami! Mengapa Engkau
tidak mengutuskan kepada kami seorang Rasul supaya kami menurut ayat-ayat
keteranganMu yang dibawanya, sebelum kami menjadi hina (dengan azab di dunia),
dan mendapat malu (dengan azab di akhirat)?"
[135]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Tiap-tiap seorang (di antara kita) sedang menunggu; maka
tunggulah kamu!
Kemudian kamu akan mengetahui kelak siapakah orang-orang yang berada atas jalan
yang lurus, dan juga siapa yang mendapat petunjuk".
No comments:
Post a Comment