[253]
Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian
daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang
tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan
ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan.
Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat),
serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah
menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu
tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi
mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan
orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan;
tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.
[254]
Wahai orang-orang yang beriman!
Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum
tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli
padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula
pertolongan syafaat. Dan orang- orang kafir, mereka itulah orang-orang yang
zalim.
[255]
Allah, tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya
mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang
memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang
dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang
mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka,
sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah
melainkan apa yang Allah kehendaki
(memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi
Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi
keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat
kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya) [256]
Tidak ada
paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam)
dari kesesatan (kufur). Oleh itu,
sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka
sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang
tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [257]
Allah Pelindung
(Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia
mengeluarkan mereka dari kegelapan
(kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang
yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya
(iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di
dalamnya. [258]
Tidakkah engkau
(pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah
membantah Nabi
Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang
itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang
menghidupkan dan Yang mematikan". Ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim
berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh
itu terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu
(lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk
kepada kaum yang zalim.
[259]
Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan
wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh
segala bangunannya, orang itu
berkata: "Bagaimana Allah akan
menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?
" Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama
seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya:
"Berapa lama engkau tinggal (di sini)?" Ia menjawab: "Aku telah
tinggal (di sini) sehari atau setengah hari". Allah berfirman:"
(Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus
tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak
berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal
tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan
engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada
tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami
menyalutnya dengan daging ". Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang
berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin),
sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
[260]
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim
(merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana
Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?" Allah berfirman:
"Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?" Nabi Ibrahim
menjawab: "Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang
demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "(Jika
demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah
semuanya).
Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan
datang kepadamu dengan segera". Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[261]
Bandingan (derma) orang-orang yang
membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang
tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi
seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa
yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu
pengetahuanNya.
[262]
Orang-orang yang membelanjakan hartanya
pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka
belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak
pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di
sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari
berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak
akan berdukacita.
[263]
(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan
perkataan yang baik dan memaafkan
(kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi
(dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah
Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.
[264]
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan
rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan
(kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang
membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan
ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu
ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa
hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi).
(Demikianlah juga halnya orang- orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak
akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan
(ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.
[265]
Dan bandingan orang-orang yang
membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan
(iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa
hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa
hujan lebat maka hujan renyai-renyai
pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa
yang kamu lakukan.
[266]
Adakah seseorang di antara kamu suka
mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis
buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih
kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga
terbakarlah ia ?
Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu
berfikir (dan mengambil iktibar).
[267]
Wahai orang-orang yang beriman!
Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang
baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.
Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat),
padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau
diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah,
sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
[268]
Syaitan itu menjanjikan
(menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah
atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat
bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya
serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya,
lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.
[269]
Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan
(ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang
ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia
telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil
pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal
fikirannya.
[270]
Dan
(ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang
kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahuiNya dan (ingatlah),
orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.
[271]
Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu
(secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang
baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan
kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan
menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan
(ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[272]
Tidaklah engkau diwajibkan (wahai
Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu
hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk
(dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya
(menurut undang-undang peraturanNya).
Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka
(faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah
mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang
halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik)
kamu (itu pula) tidak dikurangkan.
[273]
Pemberian sedekah itu) ialah bagi
orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah
(membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga
dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya - oleh orang yang tidak
mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau
kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-
masing, mereka
tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa
jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa
Mengetahuinya.
[274]
Orang-orang yang membelanjakan
(mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau
terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada
kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan
berdukacita.
[275]
Orang-orang yang memakan (mengambil)
riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang
dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang
demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga
itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan
berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah
sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari
mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman
itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan
sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli
neraka, mereka kekal di dalamnya.
[276]
Allah susutkan
(kebaikan harta yang dijalankan dengan
mengambil) riba dan Ia pula
mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan
Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan
selalu melakukan dosa.
[277]
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta
memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada
kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita.
[278]
Wahai
orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah
(jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang
berhutang) itu, jika benar kamu
orang- orang yang beriman.
[279]
Oleh itu, kalau kamu tidak juga
melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan
adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui
selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok
asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada
sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
[280]
Dan jika orang yang berhutang itu sedang
mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan
(sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan
hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui
(pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).
[281]
Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara
hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan
disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya,
sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.
[282]
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila
kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga
ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa
bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan
adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah
telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang
berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah
ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun
dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau
ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah
direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua
orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang
lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang
yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi
perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan
jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan
janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada
kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan
lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada
tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai
yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak
menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual- beli. Dan janganlah
mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa
yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka)
yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan
(ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[283]
Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu
kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati
jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang
yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang
berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang
dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan
hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai
orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu.
dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang
berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu
kerjakan.
[284]
Segala yang ada
di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan
apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan
menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi
sesiapa yang
dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang- undang
peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[285]
Rasulullah telah beriman kepada apa yang
diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya
beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan
Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang
dengan yang lain Rasul-rasulnya". Mereka berkata lagi: Kami dengar dan
kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah
tempat kembali". [286]
Allah tidak
memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala
kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga
menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata):
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa
atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami
bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang- orang
yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan
kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan
kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah
Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap
kaum-kaum yang kafir".
A-li 'Imraan
[1]
Alif, Laam, Miim.
[2]
Allah tiada
Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal
selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya.
[3]
Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad)
Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi
Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Ia juga yang
menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.
[4]
Sebelum (Al-Quran diturunkan), menjadi
petunjuk bagi umat manusia. Dan Ia juga yang menurunkan Al-Furqaan (yang
membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang
kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang
amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa,
lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).
[5]
Sesungguhnya
Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.
[6]
Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam
rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.
[7]
Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai
Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah
ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta
jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran.
Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang
samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang
berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada
dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa
yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya
(memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang
mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan
orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu
ugama, berkata:" Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi
Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan
orang-orang yang berfikiran.
[8]
(Mereka berdoa
dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami
sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah
rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
[9]
"Wahai
Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan
menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari
kiamat) yang tidak ada syak padanya". Sesungguhnya Allah tidak memungkiri
janjiNya.
[10]
Sebenarnya harta
benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan
menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah
bahan bakaran api neraka.
[11]
(Keadaan
orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang
terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah
menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha berat
azab seksaNya.
[12]
Katakanlah
(wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: "Kamu akan dikalahkan (di
dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam,
dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan".
[13]
Sesungguhnya
telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan
yang telah bertemu (di medan
perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana
mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik.
Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa -
dua kali
ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan
sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya
pada peristiwa
itu terdapat
satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik
mata hatinya).
[14]
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada
manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu
perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun,
dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan
binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah
kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali
yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).
[15]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada
semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan
mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal
di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan
dari Allah". Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya; [16]
(Iaitu)
orang-orang yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya
kami
telah beriman, oleh itu,
ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah
kami dari azab neraka";
[17]
(Dan juga) orang-orang yang sabar
(dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang
yang benar (perkataan dan hatinya), dan
orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang
membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.
[18]
Allah menerangkan (kepada sekalian
makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan
keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan
menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan
Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[19]
Sesungguhnya ugama (yang benar dan
diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang
diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan
menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah
tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki
yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan
ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan
hisabNya.
[20]
Oleh sebab itu jika mereka berhujah
(menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: "Aku telah
berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku".
Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang
diberi Kitab, dan orang-orang yang "Ummi" (orang-orang musyrik Arab):
"Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (ugama Islam yang aku bawa itu)?"
Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh
petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka
sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan
(ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku)
sekalian hambaNya.
[21]
Sesungguhnya orang-orang yang kufur
ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang
tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku
adil maka sampaikanlah berita yang mengembirakan mereka, dengan azab seksa yang
tidak terperi sakitnya.
[22]
Mereka itulah orang-orang yang telah
rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan
memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.
[23]
Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai
Muhammad) terhadap sikap orang-orang (Yahudi) yang telah diberikan sebahagian
dari Kitab Taurat, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan
hakim (mengenai perkara-perkara yang
timbul) di antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka berpaling ingkar
sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu).
[24]
Yang demikian
ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: "Kami tidak sekali-
kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung". Mereka (sebenarnya)
telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka
telah ada-adakan.
[25]
Oleh itu,
bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak
padanya; dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap- tiap seorang,
balasan apa yang ia telah usahakan, sedang mereka masing-masing tidak akan
dianiaya.
[26]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai
Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa
pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut
kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang
memuliakan sesiapa yang Engkau
kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.
Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau
Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[27]
"Engkaulah (wahai Tuhan) yang
memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan
waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang
hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang
mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang
memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan
hisabnya".
[28]
Janganlah orang-orang yang beriman
mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang
yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah
ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak
menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang
kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan
diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.
[29]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika
kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya
Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada
di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[30]
(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya)
tiap-tiap seorang akan mendapati apa
sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam
surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah
dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak
yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan
supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan
(ingatlah juga), Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya.
[31]
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku,
nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah),
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[32]
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika
kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang kafir.
[33]
Sesungguhnya
Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan
keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-
masing).
[34]
(Mereka kembang biak sebagai) satu
keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal
dari setengahnya yang lain. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi
sentiasa Mengetahui. [35]
(Ingatlah)
ketika isteri Imran berkata:" Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu
anak yang ada
dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk
berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya
Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
[36]
Maka apabila ia melahirkannya,
berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku
telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah
anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak
lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam,
dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya,
dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)".
[37]
Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh
ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya
dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi
Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia
dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria
bertanya:"
Wahai Maryam dari mana engkau
dapati (buah-buahan) ini?" Maryam menjawab; "Ialah dari
Allah,
sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan
tidak dikira".
[38]
Ketika itu Nabi
Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah
kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa
Mendengar (menerima) doa permohonan".
[39]
Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia
berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): "Bahawasanya Allah memberi khabar
yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama)
Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan
juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari
orang-orang yang soleh".
[40]
Nabi Zakaria berkata:" Wahai
Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku
telah tua dan isteriku pula mandul?", Allah berfirman: "Demikianlah
keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya".
[41]
Nabi Zakaria berkata lagi:
"Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang
menunjukkan isteriku mengandung)".
Allah berfirman: "Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata
dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat
sahaja; dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah (dengan
mengerjakan sembahyang), pada waktu
malam dan pada waktu pagi".
[42]
Dan (ingatlah
wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah
telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan)
melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).
[43]
"Wahai
Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan
sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk ".
[44]
Peristiwa yang demikian ialah sebahagian
dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang
engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika
mereka mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara
mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga (wahai Muhammad) tidak ada
bersama- sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara
Maryam). [45]
(Ingatlah)
ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan
khabar
yang mengembirakanmu, dengan
(mengurniakan seorang anak yang
engkau akan
kandungkan semata-mata dengan) Kalimah
daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni
Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari
orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah).
[46]
"Dan ia akan berkata-kata
kepada orang ramai semasa ia masih kecil dalam buaian, dan
semasa ia dewasa, dan ia adalah
dari orang-orang yang soleh."
[47]
Maryam berkata:" Wahai Tuhanku!
Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh
oleh seorang lelaki pun?" Allah berfirman; "Demikianlah keadaannya,
Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Ia berkehendak melaksanakan
sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah engkau ', lalu
menjadilah ia."
[48]
Dan Allah akan
mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan ugama, dan juga kandungan
kitab-kitab Taurat dan Injil.
[49]
Dan (akan melantiknya) menjadi seorang
Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya
aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari tuhan
kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung,
kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan
izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang
sopak, dan aku boleh menghidupkan
kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu
kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu.
Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda
(mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang
diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.
[50]
"Dan juga (aku datang kepada kamu
ialah untuk) mengesahkan kebenaran
Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi
kamu sebahagian (dari perkara- perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan
juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh
itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.
[51]
"Sesungguhnya
Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaNya.
Inilah jalan yang lurus".
[52]
Maka ketika Nabi Isa merasa (serta
mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari
mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia:" Siapakah penolong-penolongku (dalam
perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?". Orang-orang
"Hawariyyuun" (Penyokong- penyokong Nabi Isa) berkata:
"Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada
Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang- orang
Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).
[53]
"Wahai
Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami
mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang
menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)".
[54]
Dan orang-orang (Yahudi yang
kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh
Nabi Isa), dan Allah pula
membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak
yang membalas (dan menggagalkan
segala jenis) tipu daya.
[55]
(Ingatlah)
ketika Allah berfirman: "Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu
dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu dari
orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu
mengatasi
orang-orang kafir (yang tidak beriman
kepadamu), hingga ke hari kiamat. Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya
kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan) tentang apa yang kamu
perselisihkan".
[56]
Adapun orang-orang kafir, maka Aku
(Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan
mereka pula tidak akan beroleh
sesiapa pun yang dapat menolong.
[57]
Adapun orang-orang yang beriman dan
mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka; dan
(ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
[58]
Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang
Kami membacakannya kepadamu (wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian dari
hujah-hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan dari Al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat -
(pengetahuan yang tepat, lagi sentiasa terpelihara).
[59]
Sesungguhnya perbandingan (kejadian)
Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah
menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah
engkau!" maka menjadilah ia.
[60]
Perkara yang
benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi
dari orang-orang yang ragu-ragu.
[61]
Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai
Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka
katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru anak-anak kami serta
anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan- perempuan kamu,
dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan
bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada
orang-orang yang berdusta".
[62]
Sesungguhnya ini
ialah kisah-kisah yang benar; dan tiadalah Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Allah; dan (ingatlah), sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[63]
Kemudian kalau mereka berpaling
(enggan menurut), maka sesungguhnya Allah sentiasa
Mengetahui akan orang-orang yang
berbuat kerosakan.
[64]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang
bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu
kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya
sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian
yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa- dewakan selain
dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada
mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang
Islam".
[65]
Wahai Ahli
Kitab! Mengapa kamu berani memperdebatkan tentang (ugama) Nabi Ibrahim, padahal
Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim;
patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?
[66]
Ingatlah! Kamu ini orang-orang (bodoh),
kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan
mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka mengapa kamu
membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan
pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang
sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya.
[67]
Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang
pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi ia
seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan
berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang- orang
musyrik.
[68]
Sesungguhnya
orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi ugamanya) ialah orang-orang yang
mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta
orang-orang yang beriman (umatnya
- umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan
Penolong sekalian orang-orang
yang beriman.
[69]
Segolongan dari Ahli Kitab suka dan
berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan
kamu; padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan
mereka pula tidak menyedari (akibat yang buruk itu).
[70]
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu kufurkan
(ingkarkan) ayat-ayat keterangan Allah padahal kamu menyaksikan kebenaranNya?
[71]
Wahai Ahli
Kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu pula
menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?
[72]
Dan berkatalah segolongan dari Ahli
Kitab (sesama sendiri): "Berimanlah kamu kepada Al- Quran yang diturunkan
kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi, dan kufurlah
(ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu, lalu) kembali
menjadi kafir semula".
[73]
Dan (mereka
berkata lagi): "Janganlah kamu percaya
melainkan kepada orang-orang yang
mengikut ugama kamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya
petunjuk yang
sebenar benarnya ialah petunjuk
Allah". (Mereka berkata pula: "Janganlah kamu percaya) bahawa akan
diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka
akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu". Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah,
diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas limpah
kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya.
[74]
Allah menentukan pemberian
rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan
(ingatlah), Allah mempunyai
limpah kurnia yang besar.
[75]
Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang
kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan
mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang
kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya
kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah
kerana mereka mengatakan: "Tidak ada jalannya kami menanggung dosa
mengenai
orang-orang yang
Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka
mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).
[76]
Bahkan (mereka
berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai
hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang
yang bertaqwa.
[77]
Sesungguhnya orang-orang yang
mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan
mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada
hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan
memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka
(dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[78]
Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli
Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya) yang
memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya),
supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari
Kitab itu. Dan mereka pula berkata: "(bahawa) ia adalah (datangnya) dari
sisi Allah", padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak
berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah
berdusta).
[79]
Tidaklah patut bagi seseorang manusia
yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi,
kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu
menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah
Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi
orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal
yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan
kerana kamu selalu mempelajarinya.
[80]
Dan ia tidak pula patut menyuruh
kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-
tuhan. Patutkah ia menyuruh kamu
dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam?
[81]
Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil
perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya): "Sesungguhnya apa jua
Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada Kamu
seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman
sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya".
Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): "Sudahkah kamu mengakui dan
sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu?"
Mereka menjawab: "Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)". Allah
berfirman lagi: "Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga
menjadi saksi bersama-sama kamu."
[82]
Kemudian sesiapa
yang berpaling ingkar sesudah mengakui perjanjian setia itu, maka mereka itulah
orang-orang yang fasik.
[83]
Patutkah sesudah
(mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah?
Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di
bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka
dikembalikan.
[84]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Kami
beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan
kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim,
dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan
Isa, dan sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan
seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri
(Islam)".
[85]
Dan sesiapa yang
mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari
orang-orang yang rugi.
[86]
Bagaimana Allah akan memberi petunjuk
hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, dan juga
sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar,
dan telah datang pula kepada mereka
keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan (ingatlah), Allah tidak akan
memberikan petunjuk hidayahNya kepada kaum yang zalim.
[87]
Mereka itu
balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat Allah dan malaikatNya sekalian
orang-orang (yang beriman).
[88]
Mereka kekal di
dalamnya, tidak diringankan azab seksa daripada mereka dan mereka pula tidak
diberi tempoh atau perhatian;
[89]
Kecuali
orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan
mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[90]
Sesungguhnya orang-orang yang
kafir sesudah mereka beriman, kemudian mereka bertambah
kufur lagi,
tidak sekali-kali akan diterima taubat mereka, dan mereka itulah orang-orang
yang sesat.
[91]
Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati
sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang
di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun ia menebus dirinya dengan (emas
yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya,
dan mereka pula tidak akan beroleh
seorang penolong pun.
No comments:
Post a Comment