Al-Israa'
[1]
Maha Suci Allah yang telah menjalankan
hambaNya (Muhammad) pada malam hari
dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami
berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.
Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[2]
Dan Kami telah
memberikan Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami jadikan Kitab itu petunjuk bagi
Bani Israil (serta Kami perintahkan mereka): "Janganlah kamu jadikan yang lain daripadaKu sebagai Tuhan (untuk
menyerahkan urusan kamu kepadanya)".
[3]
(Wahai)
keturunan orang-orang yang telah Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh (di
dalam bahtera)! Sesungguhnya ia adalah seorang hamba yang bersyukur.
[4]
Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil
dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi
(Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan
melampau.
[5]
Maka apabila sampai masa janji (membalas
kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan
kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu
mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan
(sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku. [6]
Kemudian
(setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk
mengalahkan
mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak
pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.
[7]
Jika kamu berbuat kebaikan, (maka
faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu
berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri
kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa
janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh
kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan
untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada
kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai,
dengan sehancur-hancurnya.
[8]
Mudah-mudahan Tuhan kamu akan
mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat); dan jika kamu kembali (menderhaka),
maka Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia); dan kami telah jadikan
neraka: penjara bagi orang-orang kafir (pada hari akhirat).
[9]
Sesungguhnya Al-Quran ini memberi
petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang
mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal- amal soleh,
bahawa mereka beroleh pahala yang besar.
[10]
Dan bahawa orang-orang yang tidak
beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.
[11]
Dan manusia
berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa
dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.
[12]
Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua
tanda (yang membuktikan kekuasaan kami),
maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami
jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari
limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan
hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu
perlukan untuk dunia dan ugama
kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) dengan
sejelas-jelasnya.
[13]
Dan tiap-tiap
seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari
kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan
didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).
[14]
(Lalu Kami perintahkan kepadanya):
"Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini
menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau
lakukan)".
[15]
Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk
(menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya
itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka
sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan
seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain
(bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum
Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).
[16]
Dan apabila
sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami
perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara
mereka
(supaya taat),
lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu
dibinasakan, lalu kami menghancurkannya
sehancur-hancurnya.
[17]
Dan berapa banyak umat-umat yang kami
telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad)
mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya. [18]
Sesiapa yang
menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya
dalam dunia apa
yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan
baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan
yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.
[19]
Dan sesiapa yang
menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat
dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian
keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.
[20]
Tiap-tiap
golongan dari keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan
kepada mereka dari pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian
Tuhanmu itu tersekat (dari sesiapapun).
[21]
Lihatlah
bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam
rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar
tingkatan- tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan
kelebihannya.
[22]
Janganlah engkau adakan tuhan yang lain
bersama Allah (dalam ibadatmu), kerana akibatnya engkau akan tinggal dalam keadaan
tercela dan kecewa dari mendapat pertolongan.
[23]
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya
engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau
berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau
kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka
janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun
perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka,
tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
[24]
Dan hendaklah engkau merendah diri
kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk
mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka
berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan
kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
[25]
Tuhan kamu lebih
mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang- orang yang
bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha
Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.
[26]
Dan berikanlah
kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya
masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang
melampau.
[27]
Sesungguhnya orang-orang yang boros itu
adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang
sangat kufur kepada Tuhannya.
[28]
Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak
melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka
katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati.
[29]
Dan janganlah
engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau
menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggalah engkau
dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan.
[30]
Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan
rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya),
dan Ia juga yang menyempitkannya
(menurut yang demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi
Maha Melihat akan hamba-hambaNya.
[31]
Dan janganlah kamu membunuh anak-anak
kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan
kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang
besar.
[32]
Dan janganlah
kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji
dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
[33]
Dan janganlah kamu membunuh diri
seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan
yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah
menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia
melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana
sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum
Syarak).
[34]
Dan janganlah kamu menghampiri harta
anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan
mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya
dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan
ditanya.
[35]
Dan
sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan
yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik
kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak).
[36]
Dan janganlah
engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya;
sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya
tentang apa yang dilakukannya.
[37]
Dan janganlah
engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau
tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.
[38]
Tiap-tiap satu perintah itu,
menyalahinya adalah kejahatan yang dibenci di sisi Tuhanmu.
[39]
Perintah yang demikian itu ialah
sebahagian dari hikmat yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh
Tuhanmu. Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah sesuatu
yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam
neraka Jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmat Allah).
[40]
(Jika demikian wajibnya mengesakan
Allah, maka patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu
pula dari jenis yang kamu tidak sukai?). Adakah Tuhan kamu telah memilih
anak-anak lelaki untuk kamu dan Ia mengambil untuk diriNya anak-anak perempuan
dari kalangan malaikat? Sesungguhnya kamu adalah memperkatakan dusta yang amat
besar.
[41]
Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan
jalan-jalan menetapkan iktiqad dan
tauhid dengan berbagai cara di dalam Al-Quran ini supaya mereka beringat (memahami
dan mematuhi kebenaran); dalam pada itu, penerangan yang berbagai cara itu tidak menjadikan mereka melainkan
bertambah liar.
[42]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Kalaulah ada tuhan-tuhan yang lain bersama-sama Allah, sebagaimana yang
mereka katakan itu, tentulah tuhan-tuhan itu akan mencari jalan kepada Allah
yang mempunyai Arasy (dan kekuasaan yang mutlak).
[43]
Maha Sucilah
Allah dan tertinggilah Ia setinggi-tingginya, jauh dari apa yang mereka katakan itu.
[44]
Langit yang tujuh dan bumi serta
sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih
dengan memujiNya; akan tetapi kamu
tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha
Pengampun.
[45]
Dan apabila engkau membaca Al-Quran
(wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang-orang
yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat
dilihat, yang menyekat
mereka daripada memahami bacaanmu.
[46]
Dan Kami jadikan (perasaan itu sebagai)
tutupan yang berlapis-lapis atas hati mereka, juga sebagai penyumbat pada
telinga mereka, yang menghalang mereka dari memahami dan mendengar kebenaran
Al- Quran; dan sebab itulah apabila engkau menyebut nama Tuhanmu sahaja di
dalam Al-Quran, mereka berpaling undur melarikan diri.
[47]
Kami lebih mengetahui akan tujuan
mereka mendengar Al-Quran semasa mereka mendengar
bacaanmu (wahai
Muhammad), dan semasa mereka berbisik-bisik iaitu ketika orang-orang yang zalim
itu berkata (sesama sendiri): "Kamu tidak menurut melainkan seorang yang
kena sihir".
[48]
Lihatlah (wahai
Muhammad) bagaimana mereka menyifatkan engkau dengan yang bukan- bukan, maka
dengan sebab itu mereka sesat, sehingga mereka tidak dapat mencari jalan
kebenaran.
[49]
Dan mereka
berkata: "Adakah sesudah kita menjadi tulang dan benda yang reput, adakah
kita akan dibangkitkan semula dengan kejadian yang baharu?"
[50]
Katakanlah (wahai
Muhammad):" Jadilah kamu batu atau besi -
[51]
Atau lain-lain makhluk yang terlintas di
hati kamu sukar hidupnya, (maka Allah berkuasa menghidupkannya)!" Mereka
pula akan bertanya: "Siapakah yang akan mengembalikan kita hidup
semula?" Katakanlah: "Ialah Allah yang menjadikan kamu pada
mulanya!" Maka mereka akan menganggukkan kepala mereka kepadamu sambil
bertanya secara mengejek: Bila
berlakunya?" Katakanlah: "Dipercayai akan berlaku tidak lama
lagi!"
[52]
(Ingatlah akan)
hari Ia menyeru kamu lalu kamu menyahut sambil memuji kekuasaanNya, dan kamu
menyangka, bahawa kamu tinggal (dalam kubur) hanya sebentar.
[53]
Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada
hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat
baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu
sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang);
sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.
[54]
Tuhan kamu lebih
mengetahui akan keadaan kamu; jika Ia kehendaki, Ia akan memberi rahmat kepada
kamu; atau jika Ia kehendaki, Ia akan menyeksa kamu. Dan Kami tidak mengutusmu
kepada mereka (wahai Muhammad), sebagai wakil yang
menguasai urusan mereka.
[55]
Dan Tuhanmu
(wahai Muhammad) lebih mengetahui akan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi; dan
sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-nabi atas setengahnya yang
lain; dan Kami telah memberikan Kitab Zabur
kepada Nabi Daud.
[56]
Katakanlah
(wahai Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah orang-orang yang kamu
dakwa (boleh memberi pertolongan) selain dari Allah, maka sudah tentu mereka
tidak berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat
memindahkannya".
[57]
orang-orang
yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada
Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang yang lebih dekat kepada
Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan
azabNya; sesungguhnya azab
Tuhanmu itu, adalah (perkara yang
semestinya) ditakuti.
[58]
Dan tiada sesebuah negeri pun melainkan
Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami menyeksa penduduknya
dengan azab seksa yang berat; yang demikian itu adalah tertulis di dalam Kitab
(Lauh Mahfuz).
[59]
Dan tiada yang menghalang Kami dari
menghantar turun mukjizat yang mereka minta itu melainkan kerana jenis mukjizat
itu telah didustakan oleh kaum-kaum yang telah lalu; dan di antaranya Kami
telahpun memberikan kepada kaum Thamud unta betina sebagai mukjizat yang
menjadi keterangan yang nyata, lalu mereka berlaku zalim kepadanya; dan
biasanya Kami tidak menghantar turun mukjizat-mukjizat itu melainkan untuk
menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya kalau mereka tidak
beriman).
[60]
Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan
kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia
(dengan ilmuNya dan kekuasaanNya; dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada
malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian
bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam
Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka
semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang
melampau.
[61]
Dan (ingatkanlah
peristiwa) ketika Kami berfirman kepada
malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; maka mereka sujudlah melainkan
iblis; ia berkata: "Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau
jadikan dari tanah (yang di adun)?"
[62]
Ia berkata lagi:
"Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?
Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan
memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di
antaranya)".
[63]
Allah berfirman
(kepada iblis): "Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)!
Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka
Jahannamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.
[64]
Dan desak serta
pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah
penyokong-penyokongmu yang
berkuda serta yang berjalan kaki untuk
mengalahkan mereka; dan turut -
campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka);
dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu)". Padahal tidak ada yang
dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya
semata-mata.
[65]
Sesungguhnya
hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis)
mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah
Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka).
[66]
Tuhan kamulah yang menjalankan
untuk kamu kapal-kapal di laut, supaya kamu dapat
mencari rezeki
dari limpah kurniaNya; sesungguhnya Ia adalah Maha Mengasihani kepada kamu.
[67]
Dan apabila kamu
terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu)
makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan
kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah
manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).
[68]
Adakah kamu - (sesudah diselamatkan ke
darat) - merasa aman (dan tidak memikirkan), bahawa Allah akan menggempakan
sebahagian dari daratan itu menimbus kamu, atau dia akan menghantarkan kepada
kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; kemudian kamu tidak beroleh
sesiapapun yang menjadi pelindung kamu?
[69]
Atau adakah kamu merasa aman (dan tidak
memikirkan) bahawa Allah akan mengembalikan kamu sekali lagi ke laut, kemudian
Ia menghantarkan kepada kamu angin ribut yang memecah belahkan segala yang
dirempuhnya, lalu Ia mengaramkan kamu dengan sebab
kekufuran kamu;
kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang boleh menuntut bela tentang itu
terhadap Kami?
[70]
Dan sesungguhnya
Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan
berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki
kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka
dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.
[71]
(Ingatlah)
hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan
manusia dengan nama imamnya; kemudian
sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya
(dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik)
sedikitpun.
[72]
Dan (sebaliknya)
sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia
juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya.
[73]
Dan sesungguhnya nyaris-nyaris mereka
dapat memesongkanmu (wahai Muhammad) dari apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan
atas nama Kami perkara yang lainnya; dan (kalau engkau melakukan yang demikian)
baharulah mereka menjadikan engkau sahabat karibnya.
[74]
Dan kalaulah
tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah
engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka.
[75]
Jika (engkau melakukan yang) demikian,
tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan
kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh
seseorang penolong pun terhadap hukuman Kami.
[76]
Dan sesungguhnya mereka
hampir-hampir berjaya mengganggumu daripada tinggal aman di
bumi (Makkah) dengan tujuan mereka dapat
mengusirmu dari negeri itu; dan jika
berlaku demikian, maka mereka tidak akan tinggal di situ sesudahmu melainkan
sedikit masa sahaja. [77]
(Demikianlah)
peraturan (Kami yang tetap mengenai) orang-orang yang telah Kami utuskan
sebelummu dari
Rasul-rasul Kami; dan engkau tidak akan dapati sebarang perubahan bagi peraturan Kami yang tetap itu.
[78]
Dirikanlah
olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan
(dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah
disaksikan (keistimewaannya).
[79]
Dan bangunlah
pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang
tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu
membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
[80]
Dan pohonkanlah
(wahai Muhammad, dengan berdoa): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam
urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku
daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku
dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku",
[81]
Dan
katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara
yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu
perkara yang tetap lenyap".
[82]
Dan Kami
turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat
penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya)
Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran
mereka) melainkan kerugian jua.
[83]
Dan apabila Kami kurniakan nikmat
kepada manusia, berpalinglah ia serta menjauhkan diri
(dari bersyukur); dan apabila ia
merasai kesusahan, jadilah ia berputus asa.
[84]
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya
sendiri; maka Tuhan kamu lebih mengetahui siapakah (di antara kamu) yang lebih
betul jalannya".
[85]
Dan mereka bertanya kepadamu
tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku;
dan kamu tidak diberikan ilmu
pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
[86]
Dan sesungguhnya jika Kami kehendaki,
tentulah Kami akan hapuskan apa yang
Kami telah wahyukan kepadamu, kemudian engkau tidak akan beroleh sebarang
pembela terhadap Kami untuk mengembalikannya.
[87]
(Tetapi kekalnya Al-Quran itu)
hanyalah sebagai rahmat dari tuhanmu; sesungguhnya limpah
kurnianya kepadamu (wahai
Muhammad) amatlah besar.
[88]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak
membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat
membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka
bantu-membantu sesama sendiri".
[89]
Dan sesungguhnya
Kami telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, di dalam Al- Quran ini,
dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); dalam
pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima selain dari kekufuran.
[90]
Dan mereka
berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad),
sehingga engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami.
[91]
Atau (sehingga)
engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau
mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar
terus- menerus.
[92]
Atau (sehingga) engkau gugurkan langit
berkeping-keping atas kami,
sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan
Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya.
[93]
Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah
rumah terhias dari emas; atau
(sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau
turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya". Katakanlah
(wahai Muhammad):" Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?
[94]
Dan tiadalah
yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada
mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi
Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: "Patutkah Allah mengutus
seorang manusia menjadi Rasul?"
[95]
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Kalau ada di bumi, malaikat yang berjalan serta tinggal
mendiaminya, tentulah kami akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat yang menjadi
rasul".
[96]
Katakanlah lagi:
"Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu; sesungguhnya adalah Ia
Amat Mendalam pengetahuanNya, lagi Amat Melihat akan keadaan hamba-
hambaNya".
[97]
Dan sesiapa yang
diberi hidayah petunjuk oleh Allah maka dia lah yang sebenar-benarnya berjaya
mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-
kali akan mendapati bagi mereka, penolong-penolong yang lain daripadaNya. Dan Kami akan
himpunkan mereka pada hari kiamat
(dengan menyeret mereka masing-masing) atas mukanya, dalam keadaan buta,
bisu dan pekak; tempat kediaman mereka: neraka Jahannam; tiap-tiap kali malap
julangan apinya, Kami tambahi mereka dengan api yang menjulang- julang.
[98]
Balasan mereka
yang sedemikian, ialah kerana mereka kufur ingkarkan ayat-ayat Kami, dan mereka
berkata: "Adakah sesudah Kami menjadi tulang dan benda yang reput, adakah
Kami akan dibangkitkan semula dalam kejadian yang baharu?"
[99]
Tidakkah mereka mahu memikirkan dan
meyakini bahawa Allah yang menciptakan langit dan bumi, berkuasa menciptakan
orang orang yang seperti mereka (dalam bentuk yang baharu), padahal Ia telahpun
menentukan bagi mereka tempoh yang
tidak ada syak padanya.? Dalam pada itu, orang orang yang zalim
enggan menerima melainkan kekufuran.
[100]
Katakanlah (wahai muhammad): "jika
kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu tentulah kamu akan
berlaku bakhil kedekut kerana takut
kehabisan; dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut".
[101]
Dan sesungguhnya Kami telah memberi
kepada Nabi Musa sembilan mukjizat yang jelas nyata (membuktikan kebenarannya);
maka bertanyalah (wahai Muhammad)
kepada Bani Israil (tentang itu): Ketika Nabi Musa datang kepada Firaun dan
kaumnya (serta menunjukkan mukjizatnya), lalu berkatalah Firaun kepadanya: "Sesungguhnya aku fikir, engkau
ini wahai Musa, seorang yang terkena sihir"
[102]
Nabi Musa
menjawab: "Sebenarnya engkau (hai Firaun) telah pun mengetahui: tiadalah
yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan
mentadbirkan langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran;
dan sebenarnya aku fikir, engkau hai Firaun, akan binasa".
[103]
Maka Firaun pun
berkira hendak mengusir mereka dari bumi (Mesir) lalu Kami tenggelamkan dia
bersama-sama pengikut-pengikutnya seluruhnya.
[104]
Dan Kami katakan
kepada Bani Israil, sesudah Firaun (dibinasakan): "Tinggalah kamu di
negeri itu kemudian apabila datang tempoh hari akhirat, Kami datangkan kamu (ke
Padang Mahsyar) dengan bercampur-aduk.
[105]
Dan dengan cara
yang sungguh layak serta berhikmat Kami turunkan Al-Quran, dan dengan meliputi
segala kebenaran ia diturunkan; dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad)
melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang yang beriman) dan
pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar).
[106]
Dan Al-Quran itu
Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat
tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur.
[107]
Katakanlah (wahai Muhammad kepada
orang-orang yang ingkar itu): "Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran atau
kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang
yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka
segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk);
[108]
Serta mereka menegaskan (dalam
sujudnya): "Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji
Tuhan kami tetap terlaksana.
"
[109]
Dan mereka
segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka
khusyuk.
[110]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Serulah nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman", yang
mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana
Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia". Dan janganlah
engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau
perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.
[111]
Dan katakanlah: "Segala puji
tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam
urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya;
dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan
bersungguh-sungguh!"
Al-Kahf
[1]
Segala puji
terentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci
Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya
sesuatu yang bengkok (terpesong): [2]
(Bahkan
keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi
amaran
(kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita
gembira kepada orang-orang yang
beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh
balasan yang baik.
[3]
Mereka tinggal tetap dalam
(balasan yang baik) itu selama-lamanya.
[4]
Dan juga
Al-Quran itu memberi amaran kepada orang-orang
yang berkata:" Allah mempunyai anak".
[5]
(Sebenarnya)
mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi
datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka;
mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.
[6]
Maka
jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan
menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka
enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.
[7]
Sesungguhnya
Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana
kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.
[8]
Dan sesungguhnya
Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang
tandus.
[9]
Adakah engkau
menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah "Ashaabul Kahfi" dan
"Ar- Raqiim" itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang
membuktikan kekuasaan Kami?
[10]
(Ingatkanlah peristiwa) ketika
serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai
Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-
kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami".
[11]
Lalu Kami tidurkan mereka dengan
nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.
[12]
Kemudian Kami
bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua
golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka
hidup (dalam gua itu).
[13]
Kami ceritakan
kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu
orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka
dengan hidayah petunjuk.
[14]
Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan
kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu
berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan
bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya
bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari
kebenaran."
[15]
(Mereka berkata pula sesama sendiri):
"Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya
mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan
makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian);
Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah. [16]
Dan oleh kerana
kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka
sembah
yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu
melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan
untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna".
[17]
Dan engkau akan melihat matahari ketika
terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam,
meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua
itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah.
Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya
mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak
sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang
benar) kepadanya.
[18]
Dan engkau sangka mereka sedar, padahal
mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan
dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat
pintu gua; jika engkau melihat mereka,
tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut
kepada mereka.
[19]
Dan demikianlah pula Kami bangkitkan
mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya- tanyaan sesama sendiri. Salah
seorang di antaranya bertanya:
"Berapa lama kamu tidur?"
(sebahagian dari) mereka menjawab: "Kita telah tidur selama sehari atau
sebahagian dari sehari". (Sebahagian lagi dari) mereka berkata:
"Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang
utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar;
kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih
baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan
daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa
di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun
menyedari akan hal kamu.
[20]
"Sesungguhnya, kalaulah mereka
mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau
mereka akan mengembalikan kamu kepada ugama mereka (secara paksa); dan jika
berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama- lamanya".
[21]
Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka
kepada orang ramai supaya orang-orang
itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar,
dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu
berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara
hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata:
"Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang
mengetahui akan hal ehwal mereka". orang-orang yang berkuasa atas urusan
mereka (pihak raja) pula berkata: "Sebenarnya kami hendak membina sebuah
masjid di sisi gua mereka".
[22]
(Sebahagian dari) mereka akan berkata:
"Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing
mereka "; dan setengahnya pula
berkata:"Bilangan mereka lima
orang, yang keenamnya ialah anjing mereka" - secara meraba-raba dalam
gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata:
"Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing
mereka". Katakanlah (wahai Muhammad): "Tuhanku lebih
mengetahui akan bilangan mereka, tiada
yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit". Oleh itu, janganlah engkau
berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara
sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau
meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang
membincangkannya).
[23]
Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu
(yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu,
kemudian nanti".
[24]
Melainkan
(hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya Allah". Dan ingatlah
serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah:
"Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku
ke jalan petunjuk yang lebih
dekat dan lebih terang dari ini".
[25]
Dan mereka telah tinggal tidur
dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dengan kiraan Ahli
Kitab), dan sembilan lagi (dengan
kiraan kamu).
[26]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah
jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagiNya lah tertentu ilmu
pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya
(terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus
selain daripadaNya dan Ia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam
hukumNya.
[27]
Dan baca serta turutlah apa yang
diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah
kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya.
[28]
Dan jadikanlah dirimu sentiasa
berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada
waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata- mata; dan
janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau
mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada
mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al- Quran, serta ia menurut
hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya
pula adalah melampaui kebenaran.
[29]
Dan katakanlah (wahai Muhammad):
"Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu
beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia
mengingkarinya". Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang
berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika
mereka
meminta pertolongan kerana dahaga,
mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar
muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat
bersenang-senang.
[30]
Sebenarnya
orang-orang yang beriman dan beramal
soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang
berusaha memperbaiki amalnya.
[31]
Mereka itu, disediakan baginya syurga
yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di
dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari
sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam;
mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang
berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah
Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya. [32]
Dan berikanlah
kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah
seorang di
antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan
pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman
yang lain. [33]
Kedua-dua kebun
itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu;
dan kami juga mengalirkan di
antara keduanya sebatang sungai.
[34]
Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta
(yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang
dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh
dengan pengikut-pengikutku yang ramai".
[35]
Dan ia pun masuk ke kebunnya
(bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan
sebab kufurnya), sambil ia berkata: "Aku tidak fikir, kebun ini akan
binasa selama-lamanya.
[36]
Dan aku tidak fikir, hari kiamat kan
berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana
kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik
daripada ini.
[37]
berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia
berbincang dengannya: "Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang
menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Ia membentukmu
dengan sempurna sebagai seorang lelaki?
[38]
Tetapi aku
sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan
aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku.
[39]
Dan sepatutnya
semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang
dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)?
Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding
denganmu,
[40]
Maka
mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan
(aku bimbang) dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit,
sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus.
[41]
Ataupun air
kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya
lagi".
[42]
Dan segala tanaman serta hartabendanya
itupun dibinasakan, lalu jadilah ia membalik- balikkan kedua tapak tangannya
(kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada
kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya;
sambil dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun
dengan Tuhanku!"
[43]
Dan ia tidak mendapat sebarang golongan
yang boleh menolongnya, selain dari Allah; dan ia pula tidak dapat membela
dirinya sendiri.
[44]
Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan
memberi pertolongan hanya tertentu
bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala,
dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang
taat).
[45]
Dan kemukakanlah
kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang
Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu
sama lain (dan
kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur
ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[46]
Harta benda dan anak pinak itu, ialah
perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih
baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang
memberi harapan.
[47]
Dan
(ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan
melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di
padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka.
[48]
Dan mereka tetap akan dibawa mengadap
Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada mereka): "Kamu
sekarang telah datang kepada Kami - (berseorangan) sebagaimana Kami telah
jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka, bahawa kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang
tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan)".
[49]
Dan "Kitab-kitab Amal" juga
tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang- orang yang berdosa
itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan
berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia
tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua
dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia
(tertulis di dalamnya); dan
(ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.
[50]
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami
berfirman kepada malaikat:
"Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia
adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah
Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya
sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang
mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim:
pengganti yang mereka pilih itu.
[51]
Aku tidak
memanggil mereka menyaksi atau membantuKu menciptakan langit dan bumi, dan tidak
juga meminta bantuan setengahnya untuk menciptakan setengahnya yang lain; dan
tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu.
[52]
Dan (ingatkanlah) masa Allah berfirman:
"Panggilah sekutu-sekutuKu yang kamu katakan itu (untuk menolong kamu);
lalu mereka memanggilnya, tetapi
sia-sia sahaja, kerana makhluk- makhluk itu tidak menyahut seruan mereka: dan
kami jadikan untuk mereka bersama sebuah tempat azab yang membinasakan.
[53]
Dan orang-orang
yang berdosa itu tetap akan melihat neraka, maka yakinlah mereka, bahawa mereka
akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak akan mendapati sebarang jalan untuk
mengelakkan diri daripadanya.
[54]
Dan demi
sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini
untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia
itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.
[55]
Dan
tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika datang petunjuk Al-Quran
kepada mereka, dan daripada memohon ampun kepada Tuhan mereka, melainkan
(kerana kedegilan mereka dan kerana mereka) menunggu didatangi azab yang
memusnahkan yang telah menimpa orang-orang dahulu, atau di datangi azab yang
dilihat dan dihadapi.
[56]
Dan tidak Kami
mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai pemberi berita gembira dan pemberi
amaran; dan orang-orang yang kafir membantah dengan alasan yang salah untuk
menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu; dan mereka jadikan ayat-ayatku, dan amaran yang diberikan kepada
mereka sebagai ejek-ejekan.
[57]
Dan tidaklah ada
yang lebih zalim daripada orang yang
diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya
dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya
(disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis
atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang
menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka
dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah
petunjuk selama-lamanya.
[58]
Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi
melimpah-limpah rahmatnya. Jika Ia mahu menyeksa mereka (di dunia) disebabkan
apa yang mereka telah usahakan, tentulah Ia akan menyegerakan azab itu menimpa
mereka; (tetapi Ia tidak berbuat demikian) bahkan ditentukan bagi mereka satu
masa yang mereka tidak sekali-kali akan dapat sebarang tempat perlindungan,
yang ialah daripadanya.
[59]
Dan penduduk negeri-negeri (yang
derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka
melakukan
kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang
tertentu bagi kebinasaan mereka.
[60]
Dan (ingatkanlah
peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada
temannya: "Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat
pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun".
[61]
Maka apabila
mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu
menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah.
[62]
Setelah mereka
melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: "Bawalah
makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam
perjalanan kita ini".
[63]
Temannya
berkata: "Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar
itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan
halnya kepadamu melainkan Syaitan; dan ikan itu telah menggelunsur menempuh
jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan".
[64]
Nabi Musa
berkata: "Itulah yang kita kehendaki "; merekapun balik semula ke
situ, dengan menurut jejak mereka.
[65]
Lalu mereka dapati seorang dari
hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami
telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.
[66]
Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah
aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan
oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?"
[67]
Ia menjawab:
"Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar
bersamaku.
[68]
Dan bagaimana
engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara
meliputi?
[69]
Nabi Musa
berkata: "Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku
tidak akan membantah sebarang perintahmu".
[70]
Ia menjawab: "Sekiranya engkau
mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga
aku ceritakan halnya kepadamu".
[71]
Lalu berjalanlah
keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi
Musa berkata: "Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat
perbuatan itu
menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu
perkara yang besar".
[72]
Ia menjawab:
"Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat
bersabar bersamaku?"
[73]
Nabi Musa
berkata: "Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan
syaratmu); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam
urusanku (menuntut ilmu)".
[74]
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga
apabila mereka bertemu dengan
seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata "Patutkah engkau
membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan
yang mungkar!"
No comments:
Post a Comment