[83]
Dan apabila mereka mendengar Al-Quran
yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau melihat mata mereka
mencucurkan air mata disebabkan apa
yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil
mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan
Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang
menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).
[84]
"Dan tidak
ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (Al- Quran)
yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan
sepenuh-penuh harapan), supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam Syurga)
bersama-sama orang-orang yang soleh"
[85]
Lalu Allah memberikan pahala kepada
mereka disebabkan (pengakuan iman yang
ikhlas) yang telah mereka ucapkan, (iaitu mereka dibalas dengan) Syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka pula tetap kekal di dalamnya. Dan
yang demikian itu, adalah balasan orang-orang yang berusaha berbuat kebaikan.
[86]
Dan (sebaliknya)
orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka
itulah ahli neraka.
[87]
Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh
Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah
ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-
orang yang melampaui batas.
[88]
Dan makanlah dari rezeki yang telah
diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada
Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.
[89]
Kamu tidak dikira salah oleh Allah
tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya
dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka
bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan
yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi
pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang
tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga
hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah.
Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada
kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya
kamu bersyukur.
[90]
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa
sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan
batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan
Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. [91]
Sesungguhnya
Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan
kebencian di antara kamu dengan sebab
arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada
mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan
perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
[92]
Dan taatlah kamu kepada Allah serta
taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah
Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang
diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami
hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan
jelas nyata.
[93]
Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman
serta mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah mereka
makan dahulu, apabila mereka bertaqwa dan beriman serta mengerjakan amal yang
soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka tetap
bertaqwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang
berusaha memperbaiki amalannya.
[94]
Wahai
orang-orang yang beriman! Demi sesungguhnya Allah akan menguji kamu (semasa
kamu berihram) dengan sesuatu dari binatang buruan yang mudah ditangkap oleh
tangan kamu dan (mudah terkena) tikaman lembing-lembing kamu, supaya Allah
ketahui wujudnya
sesiapa yang
takut kepadaNya semasa ia tidak melihatNya semasa ia tidak dilihat orang. Oleh
itu, sesiapa yang melampaui batas sesudah yang demikian maka baginya azab yang
tidak terperi sakitnya.
[95]
Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram.
Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya
(menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang
dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya
oleh dua orang yang adil di antara
kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih dan
dibahagikan
kepada fakir
miskin di Tanah Suci), atau bayaran kaffarah, iaitu memberi makan orang-orang
miskin, atau berpuasa sebanyak bilangan cupak yang diberikan kepada orang
miskin; supaya dapat ia merasai kesan yang buruk dari perbuatannya. Allah
maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka
Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas
dengan azab seksa.
[96]
Dihalalkan bagi
kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan
bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas
kamu memburu binatang buruan darat
selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya
kamu akan dihimpunkan.
[97]
Allah menjadikan Kaabah, rumah yang
mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal
hidup), demikian juga bulan-bulan yang mulia, dan binatang- binatang korban,
dan kalong-kalong binatang korban itu. Yang demikian itu, supaya kamu ketahui
bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di
bumi, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[98]
Ketahuilah oleh kamu, bahawasanya Allah
Maha berat azab seksaNya (kepada orang yang kufur dan derhaka), dan bahawasanya
Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi orang yang mengerjakan
suruhanNya dan meninggalkan laranganNya).
[99]
Tidak ada kewajipan yang ditugaskan
kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan
(perintah-perintah Allah) sahaja; dan Allah sentiasa mengetahui apa
yang kamu lahirkan dan apa yang
kamu sembunyikan.
[100]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak
sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik
hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang- orang yang berakal
fikiran, supaya kamu berjaya.
[101]
Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara- perkara yang jika diterangkan
kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika
diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan
(kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan
di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha penyabar.
[102]
Sesungguhnya
perkara-perkara yang serupa itu pernah ditanyakan (kepada Nabi mereka) oleh
suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka menjadi kafir dengan sebab
pertanyaan itu (kerana setelah diterangkan, mereka tidak menerimanya).
[103]
Allah
tidak sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saa'ibah, tidak juga
Wasilah dan tidak juga Haam. Akan tetapi orang-orang kafir itu sentiasa mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah;
dan kebanyakan mereka tidak menggunakan
akal fikirannya
[104]
Dan apabila dikatakan kepada mereka:
"Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran),
dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)", mereka menjawab:
"Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami
mengerjakannya". Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek
mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?
[105]
Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah
sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang
yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri
telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan
meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya,
kemudian Ia akan menerangkan
kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.
[106]
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila
salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah
wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu, atau dua
orang lain (yang bukan seugama) dengan kamu, jika kamu dalam pelayaran di muka
bumi lalu kamu ditimpa bencana sakit yang
membawa maut. Kalau kamu ragu-ragu tentang kejujuran kedua saksi itu,
hendaklah) kamu tahan mereka sesudah selesai
sembahyang, kemudian mereka (disuruh)
bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata:
"Demi Allah) kami tidak akan menjual sumpah kami untuk mendapat sesuatu
harta benda, walaupun orang itu dari
kaum kerabat, dan kami tidak menyembunyikan (keterangan yang kami ketahui)
sebagai saksi (sebagaimana yang diperintahkan oleh) Allah, (kerana jika kami
menyembunyikannya) tentulah kami dengan itu termasuk dalam golongan orang-orang yang berdosa".
[107]
Kemudian jika
didapati bahawa kedua saksi itu (sesudah bersumpah) ada melakukan dosa (kerana
berdusta atau mengkhianati dalam perkara yang
mereka menjadi saksi itu), maka hendaklah dua orang yang lain menggantikan
tempat mereka dari waris-waris si
mati lebih dekat, yang lebih berhak (menuntut dan memberi keterangan yang
sebenarnya), kemudian mereka bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata):
"Demi sesungguhnya, persaksian kami lebih berhak diterima daripada
persaksian kedua saksi itu (yang telah nyata berdusta), dan kami tidak
melampaui batas, (kerana jika kami berbuat demikian) tentulah kami dengan itu
termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.
[108]
(Hukum-hukum dan
peraturan menjadi saksi) yang tersebut itu adalah jalan yang lebih dekat untuk mereka memberi
keterangan persaksian menurut cara yang sebenarnya, atau untuk mereka merasa
takut akan ditolak sumpah mereka (kepada waris-waris si mati) sesudah
mereka bersumpah
(yang akan mendedahkan kecurangan mereka). Oleh itu bertaqwalah kepada Allah,
dan dengarlah dengan patuh (segala perintahNya), dan (ingatlah) Allah tidak
memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.
[109]
(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya)
Allah menghimpunkan Rasul-rasulNya
lalu bertanya: "Apakah penerimaan yang diberikan kepada kamu (oleh
umat-umat kamu dahulu, ketika kamu menyampaikan seruan ugama Allah)?"
Rasul-rasul itu menjawab: "Tidak ada bagi kami pengetahuan yang sah
tentang itu, (pengetahuan yang tepat adalah tertentu bagiMu), kerana sesungguhnya
Engkaulah sahaja yang Maha Mengetahui akan segala perkara yang ghaib"
[110]
(Ingatlah) ketika Allah berfirman:
"Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu,
ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat
berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku
mengajarmu menulis membaca, dan
hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil; dan (ingatlah) ketika
engkau jadikan dari tanah seperti
bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah
ia seekor burung dengan izinku; dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang
buta dan orang sopak dengan izinku; dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan
orang-orang yang mati dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani
Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa
keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara mereka
berkata: "Bahawa ini hanyalah
sihir yang terang nyata"
[111]
Dan (ingatlah)
ketika Aku ilhamkan kepada orang-orang Hawariyyiin
(sahabat-sahabat karib nabi Isa):
"Berimanlah kamu kepadaku dan kepada RasulKu!" Mereka menjawab:
"Kami telah beriman, dan saksikanlah, bahawa sesungguhnya kami orang-orang Islam (yang menyerah
diri kepada Allah)"
[112]
Dan (ingatlah) ketika orang orang
Hawariyyiin berkata: "Wahai Isa Ibni Maryam! Dapatkah kiranya Tuhanmu
berkenan menurunkan kepada kami satu hidangan dari langit?" Nabi Isa menjawab: "Bertaqwalah kamu
kepada Allah jika benar kamu orang-orang yang beriman". [113]
Mereka berkata:
"Kami hanya ingin hendak makan dari hidangan itu (untuk mengambil
berkat), dan supaya tenang tenteram hati
kami, dan juga supaya kami ketahui dengan yakin, bahawa sesungguhnya engkau
telah berkata benar kepada kami, dan supaya menjadilah kami orang-orang yang
menyaksikannya sendiri"
[114]
Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat
Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami
satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi
orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat)
daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah
rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki".
[115]
Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku
akan menurunkan hidangan itu berulang-ulang kepada kamu, kemudian sesiapa di
antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan itu), maka sesungguhnya Aku
akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak pernah Aku seksakan seseorang
pun dari sekalian makhluk".
[116]
Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman:
"Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah
daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? ' " Nabi `Isa menjawab:
"Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu
yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka
tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak
mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang
Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.
[117]
"Aku tidak mengatakan kepada mereka
melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu: `Sembahlah
kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu ' dan adalah aku menjadi pengawas
terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah)
selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau sempurnakan
tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau
jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu.
[118]
"Jika
Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang
menghalanginya) kerana sesungguhnya
mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka
sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"
[119]
Allah berfirman: "Inilah hari
(kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur kata dan amal
perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh Syurga-
syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama- lamanya. Allah reda akan mereka
dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar".
[120]
Allah jualah yang menguasai alam langit
dan bumi serta segala yang ada padanya; dan Dia lah jua yang Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
Al An'aam
[1]
Segala puji
tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan
terang; dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan
tuhan mereka.
[2]
Dia lah yang menciptakan kamu
dari tanah, kemudian Ia tentukan ajal (kematian kamu) dan
satu ajal lagi
yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah
ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu
masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan).
[3]
Dan Dia lah
Allah (yang disembah dan diakui kekuasaanNya) di langit dan di bumi; Ia
mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan, dan Ia juga
mengetahui apa yang kamu usahakan.
[4]
Dan tidak ada
sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka (yang kafir) dari keterangan-
keterangan Tuhan mereka, melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan
menerimanya).
[5]
Sesungguhnya
mereka telah mendustakan kebenaran (Al-Quran) ketika ia sampai kepada mereka.
Oleh itu, akan datanglah kepada mereka berita (yang membuktikan kebenaran) apa
yang mereka selalu ejek-ejek itu (iaitu mereka akan ditimpa bala bencana).
[6]
Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan
berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal
(umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan
kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan
hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di
bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka,
umat yang lain?
[7]
Dan kalau Kami turunkan kepadamu (wahai
Muhammad) sebuah kitab (yang bertulis) pada kertas, lalu mereka memegangnya dengan
tangan mereka, nescaya orang-orang yang kafir itu berkata: "Ini tidak
lain, hanyalah sihir yang terang nyata".
[8]
Dan mereka berkata: "Mengapa tidak
diturunkan malaikat kepadanya?
" padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara itu
(kerana mereka tetap berdegil dan tidak akan beriman), kemudian mereka tidak
diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana
secara mengejut).
[9]
Dan
kalau (Rasul) itu Kami jadikan malaikat, tentulah Kami jadikan dia berupa
seorang lelaki (supaya mereka dapat melihatnya), dan tentulah Kami (dengan yang
demikian) menyebabkan mereka kesamaran sebagaimana mereka sengaja membuat-buat
kesamaran (tentang
kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).
[10]
Dan demi
sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang
yang mengejek-ejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang
mereka telah perolok-olokkan itu.
[11]
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah
bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang
yang mendustakan (Rasul-rasul) itu."
[12]
Bertanyalah (wahai muhammad): "Hak
milik siapakah segala yang ada di langit
dan di bumi?" Katakanlah: "(Semuanya itu) adalah milik Allah. Ia
telah menetapkan atas diriNya memberi rahmat. Demi sesungguhnya Ia akan
menghimpunkan kamu pada hari kiamat yang
tidak ada sebarang syak padanya". Orang-orang yang merugikan diri sendiri
(dangan mensia- siakan pengurniaan Allah), maka mereka (dengan sebab yang
tersebut) tidak beriman.
[13]
Dan bagi Allah jualah apa yang
ada pada waktu malam dan siang; dan Dia lah Yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[14]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Patutkah aku mengambil (memilih) pelindung yang lain dari Allah yang
menciptakan langit dan bumi, dan Ia pula yang memberi makan dan bukan Ia yang
diberi makan?" Katakanlah: "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya
menjadi orang yang pertama sekali menyerah diri kepada Allah (Islam), dan (aku
diperintahkan dengan firmanNya): `Jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan
orang-orang musyrik itu. ' " [15]
Katakanlah:
"Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan)
azab hari yang besar (hari
kiamat)".
[16]
Sesiapa yang
dijauhkan azab daripadanya pada hari itu, maka sesugguhnya Allah telah memberi
rahmat kepadanya; dan itulah kejayaan yang
jelas nyata.
[17]
Dan jika Allah mengenakan (menimpakan)
engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat
menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan)
engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [18]
Dan Dia lah yang
Berkuasa atas sekalian hambaNya
(dangan tadbir dan takdir); dan Dia lah
Yang Maha Bijaksana serta Amat
Mendalam PengetahuanNya.
[19]
Bertanyalah (wahai Muhammad):
"Apakah sesuatu yang lebih besar persaksiannya?" (Bagi menjawabnya)
katakanlah: "Allah menjadi Saksi antaraku dengan kamu, dan diwahyukan
kepadaku Al-Quran ini, supaya aku memberi amaran dengannya kepada kamu dan juga
(kepada) sesiapa yang telah sampai kepadanya seruan Al-Quran itu. Adakah kamu
sungguh- sungguh mengakui bahawa ada beberapa tuhan yang lain bersama-sama
Allah?" Katakanlah: "Aku tidak mengakuinya". Katakanlah lagi:
"Hanyasanya Dia lah sahaja Tuhan
Yang Maha Esa, dan sesungguhnya aku adalah berlepas diri apa yang kamu
sekutukan (dengan Allah Azza Wa Jalla)".
[20]
Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang
telah Kami berikan kitab kepada mereka, mereka mengenalinya (Nabi Muhammad),
sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Orang-orang yang
merugikan diri sendiri (dengan mensia-siakan pengurniaan Allah), maka mereka
(dengan sebab yang tersebut) tidak beriman.
[21]
Dan siapakah lagi yang lebih
aniaya dari orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang
dusta terhadap
Allah, atau yang mendustakan ayat-ayat keteranganNya? Sesungguhnya orang-orang
yang zalim itu tidak akan berjaya.
[22]
Dan (ingatlah),
hari (kiamat yang padanya) Kami himpunkan mereka semua, kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik:
"Manakah orang-orang dan benda-benda yang
dahulu kamu sifatkan (menjadi
sekutu Allah):?"
[23]
Kemudian
tidaklah ada akidah kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta:
"Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang
mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)".
[24]
Lihatlah bagaimana
mereka berdusta terhadap diri mereka sendiri, dan bagaimana hilang lenyapnya
dari mereka apa yang telah mereka ada-adakan (sebagai sekutu Allah) itu.
[25]
Dan di antara mereka ada yang
mendengarkanmu (membaca Al-Quran), pada hal Kami telah jadikan tutupan
berlapis-lapis atas hati mereka, yang menghalang mereka daripada memahaminya,
dan Kami jadikan pada telinga mereka penyumbat (yang menjadikan mereka pekak);
dan kalaupun mereka melihat tiap-tiap keterangan
(dan mukjizat yang membuktikan
kebenaran Rasul), mereka tidak juga akan beriman kepada keterangan itu;
sehingga apabila mereka datang kepadamu, sambil membantahmu, berkatalah
orang-orang yang kafir itu: "Ini tidak lain hanyalah cerita-cerita dongeng
orang-orang dahulu".
[26]
Dan mereka pula melarang orang ramai
dari mendengar Al-Quran dan mereka juga menjauhkan diri daripadanya, padahal
mereka (dengan perbuatan yang demikian) hanyalah
membinasakan diri sendiri (dengan bala bencana dan azab yang disediakan untuk
mereka di dunia dan di akhirat kelak), sedang mereka tidak menyedarinya.
[27]
Dan sungguh ngeri jika engkau melihat
ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak
terperi), lalu mereka berkata: "Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia,
dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan
menjadilah kami dari golongan yang beriman".
[28]
(Mereka
mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu
sembunyikan dahulu; dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah
mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya; dan
sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta.
[29]
Dan tentulah
mereka akan berkata pula: "Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita
di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati".
[30]
Dan sungguh
ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan
kepada Tuhan mereka, lalu Allah berfirman: "Bukankah hari kiamat ini suatu
perkara yang benar? Mereka menjawab: "Benar, demi Tuhan kami!" Allah
berfirman lagi: "Oleh itu, rasalah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar".
[31]
Sesungguhnya telah rugilah orang-orang
yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang
secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; "Aduhai kesalnya kami atas
apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!" Sambil mereka memikul dosa-dosa
mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul
itu.
[32]
Dan tidak
(dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang
melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi
orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?
[33]
Sesungguhnya
Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau
(wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana
sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu
mengingkari ayat-ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata).
[34]
Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul
sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan
orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka, sehingga datanglah
pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang
dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan demi sesungguhnya,
telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita Rasul-rasul itu.
[35]
Dan jika perbuatan mereka berpaling
(daripada menerima apa yang engkau bawa wahai Muhammad) terasa amat berat
kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk
menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk
naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah
lakukan jika engkau sanggup). Dan
sekiranya Allah menghendaki, tentulah ia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak
menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil.
[36]
Hanyasanya orang-orang yang menyahut
seruanmu itu ialah mereka yang mendengar (yang mahu menurut kebenaran); sedang
orang-orang yang mati Allah bangkitkan mereka semula (pada hari kiamat kelak),
kemudian mereka dikembalikan kepadaNya untuk menerima balasan.
[37]
Dan mereka (golongan kafir musyrik)
berkata: "Alangkah eloknya kalau diturunkan kepada Muhammad satu mukjizat
dari Tuhannya?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah
berkuasa menurunkan mukjizat", akan tetapi kebanyakan mereka tidak
mengetahui (balasan yang akan menimpa mereka kalau mereka enggan beriman).
[38]
Dan tidak seekor
pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya,
melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di
dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan
menerima balasan).
[39]
Dan orang-orang
yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka adalah bisu dan tuli, di
dalam gelap-gelita. Sesiapa yang Allah kehendaki: akan disesatkannya (menurut
peraturan tetapNya), dan sesiapa yang Ia kehendaki: akan dijadikannya atas
jalan yang betul lurus.
[40]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Khabarkanlah kepadaku, jika datang kepada kamu azab Allah, atau datang
kepada kamu hari kiamat, adakah kamu akan menyeru yang lain dari Allah (untuk
menolong kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar?"
[41]
Bahkan Dia lah (Allah) yang kamu seru
lalu Ia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepadaNya jika Ia kehendaki; dan
kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa kamu ditimpa
bahaya itu).
[42]
Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan
Rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu daripadamu (lalu mereka
mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kebuluran dan penyakit,
supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan
bertaubat).
[43]
Maka alangkah eloknya kalau mereka
berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika
mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang
sebenarnya hati mereka keras (tidak
mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan)
mereka apa yang mereka telah lakukan.
[44]
Kemudian apabila mereka melupakan apa
yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka
pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira
dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan
mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun
berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).
[45]
Lalu kaum yang
zalim itu dibinasakan sehingga terputus keturunannya. Dan (dengan itu
bersyukurlah kerana musnahnya kezaliman, dengan menyebut): "Segala puji
tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam".
[46]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Bagaimana fikiran kamu, jika Allah melenyapkan pendengaran serta
penglihatan kamu, dan Ia pula memeteraikan atas hati kamu? Siapakah Tuhan
selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepada kamu?" Lihatlah
bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan tanda-tanda kebesaran Kami (dengan
berbagai cara), dalam pada itu, mereka tetap juga berpaling - ingkar.
[47]
Katakanlah:" Bagaimana fikiran
kamu, jika datang kepada kamu azab Allah dengan tiba-tiba, atau dengan
terang-terang (setelah diperlihatkan tanda-tanda yang
menunjukkan kedatangannya), siapakah yang akan binasa, selain dari kaum yang
zalim?".
[48]
Dan tiadalah Kami utuskan
Rasul-rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan
pembawa amaran; kemudian sesiapa yang
beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak
baik) terhadap mereka, dan mereka tidak akan berdukacita. [49]
Dan orang-orang
yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka akan dikenakan azab
seksa dengan sebab mereka berlaku
fasik.
[50]
Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku
tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan
aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan
kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang
diwahyukan kepadaku". Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah sama orang
yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?"
[51]
Dan berilah amaran dengan Al-Quran itu
kepada orang-orang yang merasa takut bahawa mereka akan dihimpunkan kepada
Tuhan mereka (pada hari kiamat), (padahal) tiadalah bagi mereka pelindung dan
tidak juga pemberi syafaat yang lain
dari Allah, supaya mereka bertaqwa.
[52]
Dan janganlah engkau usir orang-orang
yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka
menghendaki keredaanNya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu
pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab
sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka,
nescaya menjadilah engkau dari orang-orang yang zalim.
[53]
Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari
mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu
orang-orang yang kaya itu berkata
(kepada orang-orang fakir miskin yang beriman): "Inikah orang-orangnya
yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? "
(Allah berfirman): "Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang
bersyukur?"
[54]
Dan apabila
orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat
keterangan Kami itu datang kepadamu (dengan tujuan hendak bertaubat dari
dosa-dosa mereka), maka katakanlah: "Mudah-mudahan kamu beroleh selamat!
Tuhan kamu telah menetapkan bagi diriNya untuk memberi rahmat (yang
melimpah-limpah): bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan
dengan sebab kejahilannya, kemudian ia bertaubat sesudah itu, dan berusaha
memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani".
[55]
Dan demikianlah
Kami terangkan ayat-ayat Al-Quran satu persatu (supaya jelas jalan yang benar),
dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.
[56]
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu
sembah yang lain dari Allah". Katakanlah lagi: "Aku tidak akan
menurut hawa nafsu kamu, kerana kalau aku turut, sesungguhnya sesatlah aku, dan
tiadalah aku dari orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk".
[57]
Katakanlah: "Sesungguhnya aku tetap
berada di atas (kebenaran yang berdasarkan) bukti- bukti yang nyata (Al-Quran)
dari Tuhanku; sedang kamu mendustakannya. Tidak ada padaku apa yang kamu minta
disegerakan (dari azab seksa); hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Ia
menerangkan kebenaran, dan Dia lah sebaik-baik yang memberi keputusan".
[58]
Katakanlah: "Kalau ada
padaku (kuasa menurunkan) azab seksa yang kamu minta
disegerakan
kedatangannya itu, nescaya selesailah perkara (yang sedang berbangkit) antaraku
dengan kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang
zalim".
[59]
Dan pada sisi Allah jualah anak kunci
perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan
Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang
ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia
mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak
gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam
kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.
[60]
Dan Dia lah yang menidurkan kamu pada
waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Ia
bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu)
yang telah ditetapkan. Kemudian kepadaNyalah tempat kamu kembali, kemudian Ia
menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan. [61]
Dan Dia lah yang
berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Ia mengutuskan kepada kamu
pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga
dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada
salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami
(malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan
tugasnya).
[62]
Kemudian mereka (yang diambil nyawanya
itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas
dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum (pada hari
kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira - Penghitung.
[63]
Katakanlah:
"Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di
laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepadaNya dengan merendah diri (secara
terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata): "Demi sesungguhnya jika
Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami dari orang-orang
yang bersyukur".
[64]
Katakanlah:
"Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala
jenis kesusahan; dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan (Allah dengan
sesuatu yang lain)".
[65]
Katakanlah:
"Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari
bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah -
berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan
ganas dan kejam
sebahagian yang lain". Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat- ayat
keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya
mereka memahaminya.
[66]
Dan kaum engkau
(wahai Muhammad) mendustakannya (Al-Quran), padahal ia adalah benar.
Katakanlah: "Aku bukanlah orang yang ditugaskan menjaga urusan kamu, (aku
hanya
seorang Rasul yang menyampaikan perintah-perintah Allah kepada
kamu)".
[67]
Tiap-tiap khabar
berita mempunyai masa yang menentukannya (yang membuktikan benarnya atau
dustanya); dan kamu akan mengetahuinya.
[68]
Dan apabila engkau melihat orang-orang
yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka
tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika
engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka
janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau
mengingati (akan larangan itu).
[69]
Dan tidaklah ada
tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa
orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah
itu) supaya mereka bertaqwa.
[70]
Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang
menjadikan ugama mereka sebagai permainan
dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan
peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat
kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah
usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan
tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus
(dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak
akan diterima daripadanya. Mereka itulah
orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang
telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang
menggelegak, dan azab seksa yang
tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).
[71]
Katakanlah: "Patutkah kita
menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang
tidak dapat
memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita; dan (patutkah) kita dikembalikan
undur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk
oleh Allah (dengan ugama Islam), seperti orang yang telah
disesatkan oleh Syaitan-syaitan di bumi
(di tempat yang lengang) dalam keadaan bingung, sedang ia pula mempunyai
sahabat-sahabat yang mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan berkata
kepadanya): "Marilah bersama-sama kami. "Katakanlah:
"Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita
diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan
sekalian alam".
[72]
Dan
(diperintahkan): Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang dan bertaqwa kepadaNya,
dan Dia lah Tuhan yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan (pada hari akhirat
kelak).
[73]
Dan Dia lah yang menciptakan langit dan
bumi dengan (tujuan) yang benar, dan (Dia lah juga) pada masa (hendak
menjadikan sesuatu) berfirman: "Jadilah", lalu terjadilah ia.
FirmanNya itu adalah benar. Dan bagiNyalah kuasa pemerintahan pada hari
ditiupkan sangkakala. Ia yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, dan
Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha mendalam pengetahuanNya.
[74]
Dan (ingatlah)
ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: "Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai
tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata".
[75]
Dan
demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami)
di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya
dengan sepenuh- penuh yakin.
[76]
Maka ketika ia
berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-
sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang
itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam
hilang".
[77]
Kemudian apabila
dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah
Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi
sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya
menjadilah aku dari kaum yang sesat".
[78]
Kemudian apabila dia melihat matahari
sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku?
Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai
kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan
(Allah dengannya).
[79]
"Sesungguhnya
aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi,
sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang
menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)".
[80]
Dan ia dibantah oleh kaumnya, ia pun
berkata: "Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya
Ia telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan
sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu dari bahaya itu.
(Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu
mahu (insaf) mengambil pelajaran?
[81]
"Dan bagaimanakah aku hendak
takutkan apa yang kamu sekutukan
dengan Allah itu (yang tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu
tidak takut bahawa kamu telah sekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak
menurunkan sebarang keterangan kepada kamu mengenainya? Maka yang manakah di
antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika
betul kamu mengetahui?"
[82]
Orang-orang yang
beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik),
mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang
mendapat hidayah petunjuk.
[83]
Dan itulah hujah
(bukti) Kami, yang Kami berikan kepada Nabi Ibrahim untuk mengalahkan kaumnya.
Kami tinggikan pangkat-pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki.
Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
[84]
Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi
Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Yaakub.
Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh juga
Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud,
dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun. Dan demikianlah Kami
memberi balasan kepada orang-orang yang
berusaha supaya baik amal
perbuatannya.
[85]
Dan (dari keturunannya juga ialah
Nabi-nabi): Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Ilyas;
semuanya dari orang-orang yang
soleh.
[86]
Dan (dari keturunannya juga ialah
Nabi-nabi): Ismail, dan Alyasak dan
Yunus, dan Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).
[87]
Dan (Kami juga
lebihkan darjat) sebahagian daripada datuk nenek mereka, dan keturunan mereka,
dan mereka, dan keturunan mereka, dan saudara-saudara mereka; dan Kami telah pilih mereka, serta Kami tunjukkan
mereka ke jalan yang lurus.
[88]
Yang demikian itu ialah petunjuk Allah,
yang dengannya Ia memimpin sesiapa yang dihendakiNya dari hamba-hambaNya; dan
kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya gugurlah dari
mereka, apa yang mereka telah
lakukan (dari amal-amal yang baik).
[89]
Mereka itulah orang-orang yang telah
Kami berikan kepadanya Kitab Suci, dan Hikmah (ilmu pengetahuan), serta pangkat
kenabian. Oleh itu, jika orang-orang (kafir) itu mengingkarinya, maka
sesungguhnya Kami akan menyerahkannya kepada kaum (lain) yang tidak akan
mengingkarinya.
[90]
Mereka
(Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka
turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka; Katakanlah: "Aku
tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan)
itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya.
[91]
Dan
tiadalah mereka (kaum Yahudi) menghormati Allah sesuai dengan penghormatan yang
sebenarnya ketika mereka berkata: "Allah tidak menurunkan sesuatu pun
kepada manusia". Bertanyalah (kepada kaum Yahudi yang ingkar itu):
"Siapakah yang menurunkan Kitab
(Taurat) yang dibawa oleh Nabi Musa
sebagai cahaya dan petunjuk bagi manusia, yang kamu jadikan dia
lembaran-lembaran kertas, sambil kamu perlihatkan (kepada orang ramai
sebahagian kecil daripadanya) dan kamu sembunyikan kebanyakannya; sedang kamu
pula diajarkan (dengan pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalamnya), yang
tidak
diketahui oleh
kamu (sebelum itu) dan tidak juga oleh datuk nenek kamu?" Katakanlah
(kepada mereka): "Allah jualah (yang menurunkannya)", kemudian,
biarkanlah mereka leka bermain-main dalam kesesatannya.
[92]
Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami
turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah dan manfaatnya), lagi
mengesahkan kebenaran (Kitab-kitab Suci) yang diturunkan sebelumnya, dan supaya
engkau memberi peringatan kepada penduduk "Ummul- Qura" (Makkah)
serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya; dan orang-orang yang beriman
kepada hari akhirat, mereka beriman kepada Al-Quran, dan mereka tetap
mengerjakan dan memelihara sembahyangnya.
[93]
Dan siapakah yang lebih zalim daripada
orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, atau orang yang
berkata: "Telah diberi wahyu
kepadaku", padahal tidak
diberikan sesuatu wahyupunr kepadanya; dan orang yang berkata: "Aku akan
menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah". Dan (sungguh ngeri)
sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan
"sakratul-maut" (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat
pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking
dan mengejek): "Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada
hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya,
disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan
kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya".
[94]
Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang
kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan
kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami
kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong
yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu- sekutu Allah dalam
kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang
lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi
faedah dan manfaat).
[95]
Sesungguhnya Allah jualah yang membelah
(menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Ia mengeluarkan
yang hidup dari yang mati, dan
mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah
Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya (oleh benda-benda
yang kamu jadikan sekutuNya)?
[96]
Allah jualah Yang membelah cahaya subuh
(yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat,
dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira
waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah
Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.
[97]
Dan Dia lah yang
menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam
kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan
tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.
[98]
Dan Dia lah yang mencipta kamu dari diri
yang satu (Adam), maka (bagi kamu) disediakan tempat tetap (dalam tulang sulbi
bapa kamu atau di bumi), dan tempat simpanan (dalam rahim ibu atau dalam
kubur). Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu
persatu bagi orang-orang yang mengerti (secara mendalam).
[99]
Dan Dia lah yang menurunkan hujan dari
langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan,
kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula
dari tanaman itu butir-butir (buah) yang
bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami
keluarkan) tandan- tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami
jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan
(bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada
buahnya apabila ia berbuah, dan
ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang
menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang
beriman.
[100]
Dan mereka
menjadikan jin sekutu bagi Allah, padahal Allah jualah yang mencipta jin-jin itu; dan mereka berdusta terhadap Allah
dengan mengada-adakan bagiNya anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan, dengan
tidak berdasarkan sebarang pengetahuan. Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah Ia
dari apa yang mereka sifatkan!
[101]
(Dia lah) yang
menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Ia mempunyai anak sedang Ia tidak
mempunyai isteri? Ia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.
[102]
Yang demikian (sifat-sifatNya dan
kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu
kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya. [103]
Ia tidak dapat
dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan
mengetahui
hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan
hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
[104]
(Katakanlah wahai Muhammad):
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan- keterangan (dalil-dalil
dan bukti) dari Tuhan kamu; oleh itu sesiapa melihat (kebenaran itu serta
menerimanya) maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa buta
(dan enggan menerimanya) maka bahayanya tertimpalah ke atas dirinya sendiri.
Dan tiadalah aku berkewajipan menjaga dan mengawasi kamu".
[105]
Dan demikianlah
Kami menerangkan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (dengan berbagai cara,
untuk menimbulkan keingkaran mereka) dan supaya mereka (yang ingkar itu
menuduhmu dengan) berkata: "Engkau
telah mempelajarinya (dari orang-orang lain) ", dan supaya kami
menerangkan (Al-Quran) itu kepada orang-orang yang (mahu) mengetahui. [106]
Ikutlah apa yang
telah diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Dia, dan
berpalinglah dari orang-orang musyrik.
[107]
Dan kalau Allah menghendaki, nescaya
mereka tidak mempersekutukanNya; dan Kami tidak menjadikan engkau (wahai
Muhammad) penjaga dan pengawal mereka, dan engkau pula bukanlah wakil yang
menguruskan hal-hal mereka (kerana semuanya itu terserah kepada Allah
semata-mata).
[108]
Dan janganlah kamu cerca benda-benda
yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca
Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami
memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka,
kemudian kepada Tuhan merekalah tempat
kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.
[109]
Dan mereka pula bersumpah dengan nama
Allah, dengan menegaskan sumpah mereka bersungguh-sungguh, bahawa sesungguhnya
jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana yang mereka minta itu),
tentulah mereka akan beriman kepadanya. Katakanlah (wahai Muhammad):
"Bahawa soal mendatangkan mukjizat-mukjizat itu hanyalah Allah
yang menentukannya, dan
kamu tidak menyedari (wahai orang-orang Islam), bahawa apabila
mukjizat-mukjizat (yang mereka minta) itu datang, mereka juga tidak akan beriman.
[110]
Dan
kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah
tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada
awal mulanya, dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatannya
dengan bingung.
No comments:
Post a Comment