[94]
Mereka akan
menyatakan uzur kepada kamu, apabila kamu kembali kepada mereka (dari
medan perang). Katakanlah (wahai
Muhammad): "Janganlah kamu menyatakan uzur lagi, kami tidak sekali-kali
akan percaya kepada kamu. Kerana sesungguhnya Allah telah menerangkan kepada
kami akan berita-berita perihal kamu; dan Allah serta RasulNya akan melihat amal kamu (sama ada kamu kembali
beriman atau tetap kufur); kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang
Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata (untuk menerima balasan),
lalu Ia menyatakan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan". [95]
Mereka akan
bersumpah dengan nama Allah kepada kamu apabila kamu kembali kepada
mereka (dari medan perang), supaya kamu
berpaling dari mereka (tidak menempelak mereka); oleh itu berpalinglah dari
mereka kerana sesungguhnya mereka itu kotor (disebabkan mereka telah sebati
dengan kufur); dan tempat kembali mereka pula ialah neraka Jahannam, sebagai
balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.
[96]
Mereka bersumpah
kepada kamu supaya kamu reda akan mereka; oleh itu jika kamu reda akan mereka,
maka sesungguhnya Allah tidak reda akan kaum yang fasik.
[97]
Orang-orang
A'raab lebih keras kufurnya dan sikap munafiknya, dan sangatlah patut mereka
tidak mengetahui batas-batas (dan hukum-hukum Syarak) yang diturunkan oleh
Allah kepada RasulNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[98]
Dan sebahagian dari orang-orang A'raab
(yang munafik) itu memandang apa yang mereka belanjakan (dermakan pada jalan
Allah) sebagai satu bayaran yang memberatkan, sambil menunggu peredaran zaman
(yang membawa bala bencana) menimpa kamu; atas merekalah (tertimpanya bala
bencana yang dibawa oleh) peredaran zaman yang buruk itu. Dan (ingatlah), Allah
Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
[99]
Dan sebahagian
dari orang-orang A'raab itu ada yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan
memandang apa yang mereka dermakan (pada jalan Allah itu) sebagai amal-amal
bakti (yang mendampingkan) di sisi Allah dan sebagai (satu jalan untuk mendapat)
doa dari Rasulullah (yang membawa rahmat kepada mereka) Ketahuilah,
sesungguhnya apa yang mereka dermakan itu adalah menjadi amal bakti bagi mereka
(yang mendampingkan mereka kepada Allah); Allah akan masukkan mereka ke dalam
rahmatNya; sesungguhnya Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[100]
Dan orang-orang yang terdahulu - yang
mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang
"Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut
(jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka
dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya
selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.
[101]
Dan di antara orang-orang yang di
sekeliling kamu dari orang-orang
"A'raab" ada yang bersifat munafik dan (demikian juga)
sebahagian dari penduduk Madinah; mereka telah berkeras dengan sifat munafik;
engkau tidak mengetahui mereka
(bahkan) Kamilah yang mengetahui mereka. Kami akan azabkan mereka berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan kepada
azab yang besar.
[102]
Dan (sebahagian) yang lain mengakui
dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal
yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka;
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[103]
Ambilah (sebahagian) dari harta mereka
menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau
membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk);
dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman
bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[104]
Tidakkah mereka
mengetahui bahawa Allah Dia lah yang
menerima taubat dari hamba- hambaNya, dan juga menerima sedekah-sedekah (dan
zakat serta membalasnya), dan bahawa sesungguhnya Allah Dia lah Penerima
taubat, lagi Maha Mengasihani?
[105]
Dan katakanlah
(wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah
dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu
kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui
perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu
apa yang kamu telah
kerjakan".
[106]
Dan segolongan yang lain (dari orang-orang
yang tidak turut berperang); ditempohkan keputusan mengenai mereka kerana
menunggu perintah Allah; sama ada dia mengazabkan mereka ataupun Ia menerima
taubat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[107]
Dan (di antara orang-orang
munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan
(keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri)
serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk
(dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya
sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan
bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan
masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah
menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.
[108]
Jangan engkau sembahyang di masjid itu
selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai
Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah
sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang
lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah
Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).
[109]
Maka adakah orang yang membangunkan
masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan
(untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan
masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir)
runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan
(ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang
zalim.
[110]
(Keruntuhan
masjid) yang dibina oleh mereka yang munafik itu sentiasa menjadi penyakit syak
dan keluh-kesah (lebih daripada yang sedia ada) dalam hati mereka, (dan tidak akan habis) kecuali (apabila) hati mereka
hancur-luluh (dalam tanah). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana.
[111]
Sesungguhnya Allah telah membeli dari
orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan
(balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada
jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan
Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah
di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang
lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan
jualan yang kamu jalankan jual-belinya
itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli
(yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.
[112]
(Mereka itu
ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang
mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang
sujud,
yang menyuruh
berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga
batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang
bersifat demikian).
[113]
Tidaklah
dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-
orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi
mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.
[114]
Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi
bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan
apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun
berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim
itu lembut hati lagi penyabar.
[115]
Dan Allah tidak sekali-kali menjadikan
sesuatu kaum itu sesat sesudah Ia memberi hidayah petunjuk kepada mereka,
sebelum Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka wajib memelihara dan
melindungi diri daripadanya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[116]
Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai
segala alam langit dan bumi; Ia menghidupkan dan mematikan; dan tidaklah ada
bagi kamu selain dari Allah sesiapa pun yang
menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong.
[117]
Sesungguhnya Allah telah menerima taubat
Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa
kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka
(daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka;
sesungguhnya Allah Amat belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka. [118]
Dan (Allah menerima
pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka)
hingga apabila bumi yang luas ini
(terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula
menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak
ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali
bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat
mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima
taubat lagi Maha Mengasihani.
[119]
Wahai orang-orang yang beriman!
Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama
orang-orang yang benar.
[120]
Tidaklah patut bagi penduduk Madinah dan
orang-orang yang di sekeliling mereka dari orang-orang "A'raab"
ketinggalan daripada (turut berperang bersama) Rasulullah; dan tidaklah patut
mereka mengasihi diri mereka sendiri dengan tidak menghiraukan Rasulullah. Yang
demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan
merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan
Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan
kemarahan orang-orang kafir; dan juga
(tiap-tiap kali)
mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh - melainkan
semuanya itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya Allah
tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
[121]
Dan tidak pula
mereka membelanjakan sesuatu perbelanjaan yang kecil, atau yang besar; dan
tidak mereka melintas sesuatu lembah, melainkan ditulis pahala bagi mereka,
supaya Allah membalas dengan balasan
yang lebih baik dari apa yang mereka
telah kerjakan.
[122]
Dan tidaklah (betul dan elok)
orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah
keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya
orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya
mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang- orang itu
kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan
larangan Allah).
[123]
Wahai
orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan
dengan kamu; dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati)
yang ada pada kamu; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang
bertaqwa (dengan memberikan
pertolonganNya).
[124]
Dan apabila
diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik)
ada yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu yang imannya
bertambah disebabkan oleh surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman,
maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan
turunnya).
[125]
Adapun
orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu
menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan
kafir.
[126]
Dan (patutkah) mereka (berdegil)
tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba
(dengan
berbagai-bagai bencana) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali; kemudian
mereka tidak juga bertaubat, dan tidak pula mereka mahu beringat (dan insaf)?
[127]
Dan apabila diturunkan satu surah dari
Al-Quran (mendedahkan keburukan orang-orang munafik itu) setengah mereka
memandang kepada setengahnya yang lain sambil berkata: "Adakah sesiapa
nampak kamu (kalau kita undur dari sini)?" Kemudian mereka berpaling pergi
(dengan meninggalkan majlis Nabi); Allah memalingkan hati mereka (daripada
iman), disebabkan mereka kaum yang tidak (mahu) mengerti.
[128]
Sesungguhnya telah datang kepada kamu
seorang Rasul dari golongan kamu
sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya
sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan)
kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih
sayangnya kepada orang-orang yang beriman. [129]
Kemudian jika mereka berpaling ingkar,
maka katakanlah (wahai Muhammad): "cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan
memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang
besar."
Yunus
[1]
Alif, Laam Raa'
ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan
kebenaran yang tetap teguh.
[2]
Tidaklah patut adanya pada manusia yang
ingkar itu perasaan hairan disebabkan Kami telah wahyukan kepada seorang lelaki
dari jenis mereka (Nabi Muhammad, dengan berfirman kepadanya): "Berilah
amaran kepada umat manusia (yang ingkar, dengan balasan azab) dan sampaikanlah berita yang
mengembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa bagi mereka ada
persediaan yang sungguh mulia di sisi Tuhan mereka (disebabkan amal-amal soleh
yang mereka kerjakan). (Setelah Nabi Muhammad memberi amaran dan menyampaikan
berita yang mengembirakan) berkatalah orang-orang kafir (yang merasa hairan)
itu: "Sebenarnya (Al-Quran) ini ialah sihir yang terang nyata."
[3]
Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang
menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Ia bersemayam di atas Arasy
mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat
melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan
(yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah
kamu kepada perintahNya; patutkah kamu - setelah mengetahui kenyataan yang
tersebut tidak mahu mengingatiNya?
[4]
KepadaNyalah kembalinya kamu semua, sebagai janji Allah yang benar. Sesungguhnya Dia lah yang memulakan
kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya), untuk membalas orang-orang
yang beriman dan beramal soleh
dengan adil; dan orang-orang yang kafir pula, disediakan bagi mereka minuman
dari air panas yang menggelegak, dan azab yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka ingkar dan berlaku
kufur.
[5]
Dia lah yang menjadikan matahari
bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang
menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat- tempat
peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan
kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah
dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda
kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang
dijadikanNya).
[6]
Sesungguhnya pada pertukaran
malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang
dijadikan oleh
Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda
(yang menunjukkan undang- undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang
mahu bertaqwa.
[7]
Sesungguhnya
orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat
untuk menerima balasan), dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang
tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat
(keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan)
Kami, -
[8]
Mereka yang
demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah
neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan.
[9]
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka akan memimpin mereka
dengan sebab iman mereka yang sempurna itu. (Mereka masuk ke taman yang) sungai-sungainya mengalir di bawah
tempat kediaman mereka di dalam Syurga yang penuh nikmat.
[10]
Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu
ialah Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan! Dan ucapan
penghormatan mereka padanya ialah:
Selamat sejahtera! Dan akhir doa mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada
Allah yang memelihara dan mentadbirkan
sekalian alam!
[11]
Dan kalau Allah menyegerakan bagi
manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta
disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal
mereka. Oleh itu, (Kami tidak menyegerakan
azab yang dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh
ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatannya.
[12]
Dan apabila seseorang manusia ditimpa
kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang
berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu
daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu
kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia
memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang
mereka lakukan.
[13]
Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan
umat-umat yang terdahulu daripada kamu semasa mereka berlaku zalim padahal
telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan,
dan mereka masih juga tidak beriman. Demikianlah Kami membalas kaum yang
melakukan kesalahan.
[14]
Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat
Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan
itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan
lakukan.
[15]
Dan apabila dibacakan kepada
mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-
orang yang tidak menaruh ingatan menemui
Kami (untuk menerima balasan): "Bawalah Quran yang lain daripada ini atau
tukarkanlah dia ". Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak berhak
menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya tetap menurut apa yang
diwahyukan kepadaku sahaja. Sesungguhnya aku takut, - jika aku menderhaka
kepada Tuhanku, - akan azab hari yang besar (soal jawabnya)".
[16]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika
Allah kehendaki (supaya aku tidak membacakan Al- Quran ini kepada kamu),
tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, dan tentulah Ia tidak
memberitahu kamu akan Al-Quran ini (dengan perantaraanku); kerana sesungguhnya
aku telah tinggal dalam kalangan kamu satu masa yang lanjut (dan kamu pula
mengenal aku sebagai seorang yang
amanah) sebelum turunnya Al-Quran ini; maka mengapa kamu tidak mahu
memikirkannya?"
[17]
Dengan yang demikian, tidaklah ada yang
lebih zalim daripada orang yang
berdusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayatNya. Sesungguhnya
orang-orang yang berdosa itu tidak akan berjaya.
[18]
Dan mereka
menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat
kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka
pula berkata: "Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat
kepada kami di sisi Allah". Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu
hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang Ia tidak mengetahui adanya di
langit dan di bumi (padahal Allah mengetahui segala-galanya)? Maha Suci Allah dan tertinggi keadaanNya dari
apa yang mereka sekutukan."
[19]
Dan (ketahuilah bahawa) manusia pada
mulanya tidak memeluk melainkan ugama yang satu (ugama Allah), kemudian (dengan
sebab menurut hawa nafsu dan Syaitan) mereka berselisihan. Dan kalau tidaklah
kerana telah terdahulu Kalimah ketetapan
dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga hari kiamat), tentulah telah
diputuskan hukuman di antara mereka (dengan segeranya di dunia) mengenai apa
yang mereka perselisihkan itu.
[20]
Dan mereka yang ingkar itu berkata:
"Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) satu mukjizat dari Tuhannya?
"Maka jawablah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya perkara yang ghaib itu
tertentu bagi Allah; oleh itu tunggulah (hukuman Allah), sesungguhnya aku juga
di antara orang-orang yang menunggu.
[21]
Dan apabila Kami beri manusia merasai
sesuatu rahmat sesudah mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka dengan
serta-merta melakukan rancangan mereka menentang ayat-ayat keterangan Kami
dengan mendustakannya dan mengingkarinya. Katakanlah (wahai Muhammad):
"Allah lebih cepat melakukan rancangan menentangnya!" Sesungguhnya
malaikat-malaikat utusan Kami sentiasa menulis akan rancangan tipu daya yang
kamu jalankan itu.
[22]
Dia lah yang menjalankan kamu di
darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan
berbagai jenis kenderaan); sehingga
apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju
membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun
bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang,
dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka
percaya
bahawa mereka diliputi oleh
bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah
dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka
kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): "Demi sesungguhnya!
jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi
orang-orang yang bersyukur".
[23]
Kemudian bila sahaja Allah selamatkan
mereka, mereka dengan serta-merta
merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang
benar. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala
bencana terhadap diri kamu sendiri. (Dengan itu kamu hanya dapat merasai)
kesenangan hidup di dunia (bagi sementara); kemudian kepada kamilah tempat
kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa yang kamu telah lakukan.
[24]
Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia
hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah
dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh
manusia dan binatang - bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan
pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan
keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan
penduduknya pun menyangka bahawa
mereka dapat berbagai-bagai tanaman
serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya
dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia
hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami
menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir
(dan mengambil iktibar daripadanya).
[25]
(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia),
dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa,
dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya
(menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat
itu).
[26]
Untuk
orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan
serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak
diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga,
mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
[27]
Dan untuk orang-orang yang melakukan
kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah
kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah
bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-
olahnya ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang
gelap-gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
[28]
Dan (ingatlah) masa Kami
himpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Kami
berfirman kepada orang-orang musyrik:
"Tunggulah di tempat kamu semua, kamu dan makhluk-makhluk yang kamu
jadikan sekutu"; sesudah itu kami putuskan perhubungan baik di antara
mereka. Dan berkatalah makhluk-makhluk yang
mereka sembah itu (sebagai berlepas diri): "Bukanlah kami - yang kamu puja
dan taat (sebenarnya kamu hanya memuja dan mentaati hawa nafsu kamu sendiri)!
[29]
"(Allah mengetahui apa yang
sebenarnya); oleh itu, cukuplah Allah sebagai saksi antara kami dengan kamu,
bahawa sesungguhnya kami tidak menyedari pujaan atau penyembahan kamu (kepada
kami)".
[30]
Pada masa itu tiap-tiap diri dapatlah
mengetahui (dan merasai) akan apa yang telah dikerjakan dan mereka dikembalikan
kepada Allah Tuhan mereka yang sebenar-benarnya (yang akan membalas dengan
adilnya); dan (dengan itu) hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka
ada-adakan.
[31]
Bertanyalah
kepada mereka (yang musyrik itu): "Siapakah Yang memberi rezeki kepada
kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan
penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang
mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula
yang mentadbirkan urusan sekalian alam? "(Dengan pertanyaan-pertanyaan
itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata:
"Allah jualah yang menguasai segala-galanya! "Oleh itu, katakanlah:
"(Jika kamu mengakui yang demikian),
maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?
[32]
Maka yang demikian (sifatNya dan
kekuasaanNya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar- benarnya; sesudah nyatanya
sesuatu yang betul dan benar, maka
tidakkah yang lain daripada itu salah dan karut sahaja? Oleh itu, bagaimana
kamu dapat dipesongkan dari kebenaran? [33]
(Sebagaimana
benarnya ketuhanan itu bagi Allah sahaja) demikianlah benarnya kalimah
ketetapan hukum
Tuhanmu, terhadap orang-orang yang fasik kerana bahawasanya mereka tidak
beriman.
[34]
Bertanyalah (kepada mereka wahai
Muhammad): "Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan
Tuhan itu, sesiapa yang mula menciptakan sesuatu
kejadian kemudian ia mengembalikan adanya semula (pada hari kiamat)?
"Katakanlah: Allah jualah yang mula menciptakan sekalian makhluk kemudian
Ia mengembalikan adanya semula (untuk menerima balasan); oleh itu, mengapa kamu
rela dipalingkan (kepada menyembah yang lain)?"
[35]
Bertanyalah (wahai Muhammad):
"Adakah di antara makhluk-makhluk: yang
kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang dengan memberi petunjuk
kepada kebenaran? "Katakanlah: "Allah jualah yang memberi hidayah
petunjuk kepada kebenaran; (kalau sudah demikian) maka adakah yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran itu, lebih
berhak diturut, ataupun yang tidak dapat memberi sebarang petunjuk melainkan sesudah ia
diberi hidayah
petunjuk? Maka apakah alasan sikap kamu itu ? Bagaimana kamu sanggup mengambil
keputusan (dengan perkara yang salah, yang tidak dapat diterima oleh
akal)?" [36]
Dan kebanyakan
mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal)
sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat
memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan. [37]
Dan bukanlah Al-Quran
ini sesuatu yang boleh diada-adakan oleh yang lain dari Allah; tetapi
Al-Quran itu
diturunkan oleh Allah untuk membenarkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya,
dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum Syarak yang diwajibkan
(atas kamu); tidak ada sebarang
syak dan ragu-ragu pada Al-Quran itu tentang datangnya dari
Allah, Tuhan yang mencipta dan
mentadbirkan sekalian alam.
[38]
(Orang-orang kafir tidak mengakui
hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: "Dia lah (Muhammad)
yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya". Katakanlah (wahai
Muhammad): "Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan
Al- Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang
lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang
benar!".
[39]
Bahkan mereka
pula terburu-buru mendustakan Al-Quran yang fahaman mereka tidak dapat meliputi segala isi
pengetahuannya, dan belum datang kepada mereka kenyataan yang menjelaskan
kebenarannya. Demikianlah juga orang-orang sebelum mereka mendustakan
(Kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada mereka). Maka lihatlah bagaimana akibat orang- orang yang zalim itu (berakhir
dengan berbagai bencana yang membinasakan mereka).
[40]
Dan
di antara mereka ada yang beriman kepada Al-Quran, dan ada di antaranya yang
tidak beriman langsung kepadanya; dan (ingatlah), Tuhanmu lebih mengetahui akan
orang-orang yang melakukan kerosakan.
[41]
Dan jika mereka terus-menerus
mendustakanmu (wahai Muhammad), maka katakanlah: "Bagiku amalku, dan bagi
kamu pula amal kamu. Kamu tidak bertanggungjawab akan apa yang aku kerjakan,
dan aku juga tidak bertanggungjawab akan apa yang kamu kerjakan". [42]
Dan di antara
mereka (yang ingkar) itu, ada yang datang mendengar ajaranmu (dengan tidak
mendapat faedah sedikitpun sebagai orang
pekak); maka engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa menjadikan orang-orang yang
pekak itu mendengar, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu
memahami perkara yang didengarnya.
[43]
Dan di antara mereka pula ada yang
memandang kepada perkara-perkara yang engkau tunjukkan (tetapi mereka tidak
nampak kebenarannya sebagai orang buta); maka engkau (wahai Muhammad) tidak
berfaedah menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta, juga kalau mereka
menjadi orang-orang yang tidak mahu melihat (perkara yang engkau tunjukkan itu).
[44]
Sesungguhnya
Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.
[45]
Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan
mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah
mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang
hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-
orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan
yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).
[46]
Dan jika Kami perlihatkan kepadamu
(wahai Muhammad) akan sebahagian dari balasan azab yang Kami janjikan kepada
mereka, atau jika Kami wafatkan engkau sebelum itu, maka kepada Kamilah tempat
kembali mereka; kemudian Allah yang memberi keterangan mengenai apa yang mereka
lakukan.
[47]
Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang
Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul masing-masing
(menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara
mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya.
[48]
Dan mereka (yang kafir) bertanya:
"Bilakah berlakunya azab yang telah dijanjikan itu, jika betul kamu
orang-orang yang benar?"
[49]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku
tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat
bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Bagi tiap- tiap umat ada tempoh
yang ditetapkan; maka apabila tempohnya, tidak dapat mereka melambatkannya sesaatpun,
dan tidak dapat mereka menyegerakannya".
[50]
Katakanlah: "Sudahkah kamu nampak
jalan keluar jika datang kepada kamu azab Tuhan itu, pada waktu malam atau pada
waktu siang? "Azab manakah yang orang-orang berdosa itu minta disegerakan
(sedang sebarang azab wajib ditakuti)?
[51]
Patutkah (kamu mengingkari azab itu),
kemudian apabila ia menimpa kamu,
kamu mengakui benarnya? (Sedang pengakuan pada masa itu tidak diterima bahkan
dikatakan kepada kamu): "Sekarangkah baharu kamu mengakui benarnya, padahal
sebelum ini kamu telah menunjukkan keingkaran dengan meminta disegerakan
kedatangannya?"
[52]
Kemudian dikatakan lagi kepada
orang-orang yang berlaku zalim itu: "Rasakanlah azab yang kekal.
Tidaklah kamu dibalas melainkan dengan apa yang kamu usahakan (di dunia)".
[53]
Dan mereka (yang meminta disegerakan
azab) itu akan bertanya kepadamu (wahai Muhammad): "Adakah kedatangan azab
yang dijanjikan itu benar? "Jawablah: "Ya, demi Tuhanku! Sesungguhnya
adalah ia benar! Dan kamu tidak sekali-kali berkuasa menahan
kedatangannya".
[54]
Dan pada masa itu sekiranya
tiap-tiap seorang yang berlaku zalim (kepada dirinya sendiri
atau kepada orang lain) itu mempunyai
segala yang ada di bumi, tentulah ia
rela menebus dirinya dengan semuanya itu (dari azab yang akan menimpanya); dan
mereka tetap akan merasa sesal serta kecewa manakala mereka melihat azab itu;
dan Allah putuskan hukum di antara mereka dengan adil serta mereka tidak akan
dianiaya dengan keputusan itu.
[55]
Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada
di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah
itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
[56]
Dia lah yang
menghidupkan dan yang mematikan, dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk
menerima balasan.
[57]
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah
datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu,
dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada
kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat
bagi orang-orang yang beriman.
[58]
Katakanlah (wahai Muhammad)
"kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan
kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka
bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang
mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)".
[59]
Katakanlah (kepada kaum yang
mengada-adakan sesuatu hukum): "Sudahkah kamu nampak baik-buruknya sesuatu
yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan
sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?" Katakanlah lagi (kepada mereka): "Adakah Allah
izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu
hanya mengada- adakan secara dusta terhadap Allah?".
[60]
Dan apakah
sangkaan orang-orang yang mengada-adakan kata-kata dusta terhadap Allah,
(tidakkah mereka akan diazabkan) hari kiamat kelak? Sebenarnya Allah jualah
yang melimpahkan kurnia kepada manusia (meliputi rezeki pemberianNya dan hukum-hukum Syarak yang diturunkanNya),
tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur.
[61]
Dan tidaklah
engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan, dan tidaklah engkau
dalam membaca sesuatu surah atau sesuatu ayat dari Al-Quran dan tidaklah kamu
(wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah
Kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu mengerjakannya. Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari
sehalus-halus atau seringan-ringan
yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan
tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang
terang nyata.
[62]
Ketahuilah!
Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan
mereka pula tidak akan berdukacita.
[63]
(Wali-wali Allah itu ialah)
orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
[64]
Untuk mereka sahajalah
kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada
(sebarang perubahan pada
janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.
[65]
Dan janganlah
engkau (wahai Muhammad) merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu; kerana
sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi Allah; Dia lah Yang Maha Mendengar,
lagi Yang Maha Mengetahui.
[66]
Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah
segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan bahawa mereka yang menyembah
sesuatu yang lain Allah sebagai sekutuNya, mereka tidak menurut (sesuatu
keyakinan), mereka hanya menurut sangkaan semata-mata, dan mereka hanyalah
orang-orang yang sentiasa berdusta.
[67]
Dia lah yang menjadikan malam bagi kamu
supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu
berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda
(yang menunjukkan kekuasaan Allah)
bagi kaum yang mahu mendengar
(keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya). [68]
Mereka berkata:
"Allah mempunyai anak" Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan
itu)! Dia lah
Yang Maha Kaya; segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah
kepunyaanNya; tidaklah ada sebarang keterangan di sisi kamu yang membuktikan
apa yang kamu dakwakan itu. Mengapa kamu berani mengatakan terhadap Allah, apa yang kamu tidak
mengetahuinya?
[69]
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu
yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya".
[70]
(Apa yang mereka
beroleh hanya) kesenangan di dunia, kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya mereka. Kemudian Kami akan rasakan
mereka azab yang berat disebabkan perbuatan kufur yang mereka lakukan.
[71]
Dan bacakanlah
kepada mereka (wahai Muhammad) perihal Nabi Nuh, ketika ia berkata kepada
kaumnya: "Wahai kaumku! Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu, dan
peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat keterangan Allah itu,
menjadi keberatan kepada kamu, maka (buatlah apa yang kamu hendak buat, kerana)
kepada Allah jualah aku berserah
diri. Oleh itu, tetapkanlah keazaman kamu serta sekutu-sekutu kamu untuk
melakukan rancangan jahat kamu terhadapku; kemudian janganlah hendaknya
rancangan jahat kamu itu, kamu jalankan secara tersembunyi (tetapi biarlah
terbuka); sesudah itu bertindaklah terus terhadapku dan janganlah kamu
tunggu-tunggu lagi.
[72]
"Oleh itu,
jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal
kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai
ajaran ugama Allah yang aku sampaikan itu); balasanku hanyalah dari Allah
semata-mata (sama ada
kamu beriman
ataupun kamu ingkar); dan aku pula diperintahkan
supaya menjadi dari orang- orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat
kepada Allah)".
[73]
Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh,
lalu Kami selamatkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman di
dalam bahtera, dan kami jadikan mereka pengganti- pengganti (yang memakmurkan
bumi) serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami
(dengan banjir dan taufan sehingga punah-ranah semuanya). Maka lihatlah
bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi amaran.
[74]
Kemudian Kami utuskan sesudah Nabi Nuh,
beberapa orang Rasul kepada kaum masing- masing; lalu Rasul-rasul itu datang
kepada kaum mereka dengan membawa keterangan- keterangan yang nyata; dalam pada
itu kaum mereka tetap juga tidak mahu beriman kepada apa yang mereka telah
mendustakannya sebelum itu. Demikianlah, Kami meteraikan atas hati orang-orang
yang melampaui batas.
[75]
Kemudian Kami utuskan sesudah
Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun, kepada Firaun dan kaumnya dengan
membawa ayat-ayat Kami; lalu mereka (Firaun dan kaumnya) berlaku sombong takbur
(enggan menerimanya), dan mereka adalah kaum yang biasa melakukan dosa.
[76]
Oleh sebab itu
ketika datang kepada mereka kebenaran dari sisi Kami, berkatalah mereka:
"Sesungguhnya ini ialah sihir yang nyata".
[77]
(Mendengarkan
yang demikian), Nabi Musa bertanya: Patutkah kamu berkata demikian terhadap
sesuatu kebenaran ketika datangnya kepada kamu? Adakah bawaanku ini sihir?
Sedang ahli-ahli sihir itu sudah tetap tidak akan berjaya".
[78]
Mereka pula
berkata: "Adakah engkau datang (wahai Musa) untuk memesongkan kami dari
penyembahan berhala yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya, dan untuk
membolehkan kamu berdua membolot kekuasaan di bumi (Mesir)? Dan (ketahuilah)
sebenarnya kami tidak akan beriman kepada kamu berdua".
[79]
Dan berkatalah
Firaun (kepada orang-orangnya): "Bawalah kamu kepadaku segala ahli sihir yang mahir".
[80]
Setelah datang
ahli-ahli sihir itu, Nabi Musa berkata kepada mereka:" Campakkanlah kamu
dahulu apa yang kamu hendak campakkan (diri benda-benda yang kamu jadikan sihir
itu)!" [81]
Setelah mereka
campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata:" Apa yang kamu
datangkan itu,
itulah sihir; sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya (dengan mukjizat
yang dikurniakanNya kepadaku); sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan
perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.
[82]
"Dan Allah juga sentiasa menetapkan
perkara yang benar dengan
kalimah-kalimah perintahNya, walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang
yang melakukan dosa". [83]
Maka tidaklah
ada yang beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil dari
keturunan
kaumnya, itupun dengan keadaan takut kepada Firaun dan ketua-ketua kaum mereka
menyeksa mereka; kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi, dan
sebenarnya ia dari orang-orang yang melampaui batas.
[84]
Dan
Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): "Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu
beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul
kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)".
[85]
Lalu mereka berkata: "Kepada
Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah
Engkau jadikan kami landasan
fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas.
[86]
" Dan selamatkanlah kami
dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir".
[87]
Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada
Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): "Hendaklah kamu berdua mendirikan
rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah-rumah
kamu tempat sembahyang, serta
dirikanlah sembahyang di dalamnya; dan sampaikanlah berita
gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari
kezaliman Firaun dan kaumnya)".
[88]
Dan Nabi Musa pula (merayu dengan)
berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada
Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang
mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau
berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab
kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami!
Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi
keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka
melihat azab yang tidak terperi sakitnya.
[89]
Allah berfirman: "Sesungguhnya
telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan
perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak
mengetahui (peraturan janjiKu)".
[90]
Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang
Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan
kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah
ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan
melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang
yang berserah diri (menurut perintah)".
[91]
(Allah
berfirman): "Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya
engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari
orang-orang yang melakukan kerosakan?.
[92]
"Maka pada hari ini, Kami biarkan
engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada
ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya
mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai
daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!".
[93]
Dan sesungguhnya Kami telah menempatkan
Bani Israil di negeri yang baik (sesudah Kami binasakan Firaun),
dan Kami mengurniakan mereka dengan benda-benda yang baik. Maka mereka tidak
berselisihan (mengenai Nabi Muhammad melainkan) setelah datang kepada mereka
pengetahuan (dari bukti-bukti yang nyata). Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum
di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihan itu. [94]
Oleh sebab itu,
sekiranya engkau (wahai Muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa yang
Kami turukan kepadamu, maka bertanyalah
kepada orang-orang yang membaca kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu
(kerana mereka mengetahui kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu
kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan
yang ragu-ragu.
[95]
Dan jangan sekali-kali engkau menjadi
dari golongan yang mendustakan ayat-ayat Allah, kerana dengan itu engkau akan
menjadi dari orang-orang yang rugi.
[96]
Sesungguhnya
orang-orang yang telah ditetapkan atas mereka hukuman Tuhanmu (dengan azab),
mereka tidak akan beriman:
[97]
Walaupun datang
kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda (yang membuktikan
kekuasaan Allah dan kebenaran Rasul-rasulNya),
sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.
[98]
(Dengan kisah Firaun itu) maka ada
baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab),
supaya imannya itu mendatangkan manfaat
menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi
Yunus sahaja yang telah berbuat demikian - ketika mereka beriman, Kami elakkan
azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka,
dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan
sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan).
[99]
Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai
Muhammad menjadikan seluruh umat
manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia
yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang
yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula
hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?
[100]
Dan tiadalah
sebarang kuasa bagi seseorang untuk beriman melainkan dengan izin Allah
(melalui undang-undang dan peraturanNya); dan Allah menimpakan azab atas
orang-orang yang tidak mahu memahami (perintah-perintahNya).
[101]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala
kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya).
Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan
Allah), dan
segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran),
tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan
kepadanya. [102]
Maka orang-orang
yang tersebut tidak menunggu melainkan (azab Allah) sebagaimana
kejadian-kejadian
yang berlaku kepada orang-orang yang ingkar yang terdahulu daripada mereka.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Tunggulah, sesungguhnya aku juga
bersama-sama kamu dari orang-orang yang menunggu".
[103]
Kemudian Kami selamatkan Rasul Kami dan
orang-orang yang beriman.
Demikianlah juga, sebagai kewajipan Kami, Kami selamatkan orang-orang yang
beriman yang menurutmu). [104]
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Sekiranya kamu menaruh syak
tentang kebenaran ugamaku, maka
(ketahuilah) aku tidak menyembah makhluk-makhluk yang kamu menyembahnya yang
lain dari Allah, tetapi aku hanya menyembah
Allah yang akan mematikan kamu (untuk menerima balasan); dan aku
diperintahkan supaya menjadi dari golongan yang beriman.
[105]
"Serta
(diwajibkan kepadaku): ' Hadapkanlah seluruh dirimu menuju (ke arah mengerjakan perintah-perintah) ugama dengan betul
dan ikhlas, dan janganlah engkau menjadi dari orang- orang musyrik '."
[106]
Dan janganlah engkau (wahai Muhammad)
menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat
mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat
kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari
orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik
itu).
[107]
Dan jika Allah mengenakan engkau dengan
sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat
menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu
kebaikan, maka tiada sesiapapun yang
akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada
sesiapa yang dikendakiNya dari
hamba-hambaNya, dan Dia lah yang
Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
[108]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai
sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhan
kamu. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadanya), maka
faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya
kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula bukanlah menjadi
wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu".
[109]
Dan turutlah apa yang diwahyukan
kepadamu serta bersabarlah (dalam perjuangan mengembangkan Islam) sehingga
Allah menghukum (di antaramu dengan golongan yang ingkar, dan memberi kepadamu
kemenangan yang telah dijanjikan), kerana Dia lah sebaik- baik Hakim.
Hud
[1]
Alif, Laam,
Raa'. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh,
kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan
itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam
pengetahuanNya.
[2]
(Al-Quran yang
demikian sifatnya diturunkan oleh Allah) supaya janganlah kamu menyembah
sesuatupun melainkan Allah. (Katakanlah wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku
diutus oleh Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran (kepada orang-orang yang
(ingkar), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang (beriman).
[3]
Dan hendaklah
kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian
hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat
kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada
tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu;
dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya
aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru- haranya).
[4]
Kepada Allah jualah kembalinya
kamu, dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
[5]
Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang
ingkar itu membongkokkan badan mereka untuk menyembunyikan (perasaan buruk yang
ada dalam dada mereka) daripada Allah. Ketahuilah! Semasa mereka berselubung
dengan pakaian mereka sekalipun, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan
dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan segala (isi
hati) yang ada di dalam dada.
No comments:
Post a Comment