Al-Anbiyaa'
[1]
Telah hampir datangnya kepada manusia
hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan
persediaan baginya.
[2]
Tidak datang
kepada mereka itu sebarang peringatan yang diturunkan dari Tuhan mereka lepas
satu: satu, melainkan mereka memasang telinga mendengarnya sambil mereka
mempermain-mainkannya -
[3]
Dengan keadaan hati mereka leka daripada
memahami dan mengamalkan maksudnya. Dan orang-orang yang zalim itu,
berbisik-bisik sesama sendiri dengan berkata: "Bukankah (Muhammad) ini
hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu? Maka patutkah kamu turut hadir
mendengar sihir yang dibawanya itu sedang kamu nampak dan mengetahui karutnya?" [4]
(Bagi menjawab
mereka, Nabi Muhammad) berkata: "Tuhanku mengetahui tiap-tiap
perkataan (yang dilahirkan atau
disembunyikan oleh makhluk-makhluk) di langit dan di bumi; dan Dia lah jua yang
Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".
[5]
(Mereka bukan sahaja menyifatkan
Al-Quran itu sihir) bahkan mereka menuduh dengan berkata: "Al-Quran itu perkara
karut yang dimimpikan oleh Muhammad, bahkan perkara yang diada-adakan olehnya,
bahkan Muhammad sendiri seorang penyair. (Kalaulah ia sebenarnya seorang Rasul)
maka hendaklah ia membawa kepada kita satu mukjizat sebagaimana
mukjizat-mukjizat yang dibawa oleh Rasul-rasul yang telah diutus dahulu". [6]
Tidak ada
penduduk sesebuah negeri pun yang Kami binasakan sebelum mereka, yang telah
beriman kepada
mukjizat yang diberi kepadanya; maka benarkah mereka yang meminta mukjizat itu
mahu beriman?
[7]
Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul
sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang- orang lelaki yang Kami wahyukan
kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah
kamu kepada AhluzZikri" jika kamu tidak mengetahui.
[8]
Dan Kami tidak menjadikan Rasul-rasul
itu bertubuh badan yang tidak makan minum, dan mereka pula tidak akan kekal
hidup selama-lamanya (di dunia).
[9]
Kemudian Kami
tepati janji Kami kepada mereka, lalu Kami selamatkan mereka dan sesiapa yang
Kami kehendaki, dan (sebaliknya) Kami binasakan orang-orang yang melampaui
batas. [10]
Sesungguhnya
Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (Al-Quran) yang mengandungi
perkara yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan untuk kamu, maka mengapa
kamu tidak memahaminya (dan bersyukur akan nikmat yang besar itu)?
[11]
Dan berapa
banyak Kami telah pecah-belahkan dan binasakan penduduk negeri yang melakukan
kezaliman, dan Kami telah menjadikan sesudah mereka, kaum yang lain sebagai
gantinya.
[12]
Maka ketika
mereka merasai (kedatangan) azab Kami, mereka dengan serta-merta lari keluar
dari negeri itu.
[13]
(Lalu
dikatakan kepada mereka): "Janganlah kamu lari, dan sebaliknya kembalilah
kepada kemewahan hidup yang telah diberikan kepada kamu, dan ke tempat-tempat
tinggal kamu, supaya kamu dapat ditanya
mengenai apa yang berlaku".
[14]
(Akhirnya)
mereka berkata: "Aduhai celakanya kami! Sesungguhnya kami adalah orang-
orang yang berlaku zalim!"
[15]
Maka demikianlah seterusnya jeritan dan
keluhan mereka, sehingga Kami jadikan mereka hancur lebur dan sunyi-sepi.
[16]
Dan (ingatlah)
tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya,
secara main-main.
[17]
Sekiranya Kami
hendak mengambil sesuatu untuk hiburan, tentulah Kami akan mengambilnya dari
sisi Kami; Kami tidak melakukannya.
[18]
Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang
benar menentang yang salah, lalu ia menghancurkannya, maka dengan serta-merta
hilang lenyaplah dia. Dan (tetaplah) kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan
apa yang kamu sifatkan (terhadap Kami). [19]
Dan (ingatlah)
segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua; dan
malaikat-malaikat
yang ada di sisiNya tidak membesarkan diri dan tidak enggan daripada beribadat
kepadaNya, dan tidak pula mereka merasa penat dan letih.
[20]
Mereka beribadat malam dan siang,
dengan tidak berhenti-henti.
[21]
Adakah
benda-benda dari bumi yang mereka jadikan tuhan-tuhan itu, dapat menghidupkan
semula sesuatu yang mati?
[22]
Kalau ada di
langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah
pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan
menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang
mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.
[23]
Ia tidak boleh
ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.
[24]
Patutkah mereka menyembah tuhan-tuhan
yang lain dari Allah? Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah keterangan dan
bukti kamu; kandungan Al-Quran ini menjadi peringatan dan bukti tauhid umatku,
juga peringatan dan bukti tauhid umat-umat yang dahulu daripadaku". (Kaum
musyrik tidak mempunyai sebarang keterangan) bahkan kebanyakan mereka tidak
mengetahui mana yang benar dan mana yang salah, dengan sebab itulah maka mereka
berpaling ingkar.
[25]
Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai
Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang
berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu".
[26]
Dan mereka (yang musyrik) berkata:
"(Allah) Ar-Rahman mempunyai anak". Maha Sucilah Ia. Bahkan (mereka
yang dikatakan menjadi anak Allah itu) ialah hamba-hambaNya yang dimuliakan.
[27]
Mereka tidak mendahuluiNya dengan
perkataan dan mereka pula mengerjakan apa yang diperintahkanNya.
[28]
Allah mengetahui apa yang di hadapan
mereka (yang telah mereka lakukan), dan apa yang di belakang mereka (yang akan
mereka lakukan); dan mereka tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa yang
diredhai Allah; dan mereka pula sentiasa cemas takut daripada ditimpa azabNya.
[29]
Dan (jika ada)
sesiapa di antara mereka berkata: "Sesungguhnya aku ialah tuhan selain
dari Allah", maka yang berkata sedemikian itu, Kami akan membalasnya
dengan (azab) neraka jahannam; demikianlah Kami membalas golongan yang zalim.
[30]
Dan tidakkah orang-orang kafir itu
memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal
mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara
keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa
mereka tidak mahu beriman?
[31]
Dan Kami telah menjadikan di bumi
gunung-ganang yang menetapnya,
supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah
sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai
keperluan rohani dan jasmani.
[32]
Dan Kami telah
menjadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara dan terkawal, sedang mereka (yang kafir itu)
berpaling tidak memerhatikan tanda-tanda (kekuasaan Kami) yang ada padanya.
[33]
Dan Dia lah (Tuhan) yang telah
menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-
tiap satunya beredar
terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).
[34]
Dan Kami tidak menjadikan seseorang
manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal
dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup
selama-lamanya?
[35]
Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan
Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada
Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
[36]
Dan apabila orang-orang kafir itu
melihatmu, mereka hanyalah menjadikan perkara yang engkau sampaikan itu sebagai
ejek-ejekan sahaja, sambil berkata sesama sendiri: "Inikah dia orangnya
yang mencaci tuhan-tuhan kamu?" (Mereka berkata demikian) sedang mereka sendiri kufur ingkar kepada
Al-Quran yang mengandungi peringatan Allah yang melimpah- limpah rahmatNya.
[37]
Jenis manusia
dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halya; Aku (Allah) akan
perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu meminta
disegerakan (kedatangannya).
[38]
Dan (kerana
tabiat terburu-burunya) mereka berkata: "Bilakah berlakunya janji azab
itu, jika betul kamu orang-orang yang berkata benar?".
[39]
Kalaulah orang-orang kafir itu
mengetahui apa yang akan menimpa mereka ketika mereka tidak dapat menahan atau
mengelakkan api neraka dari muka dan belakang mereka, dan mereka pula tidak
diberi pertolongan, (tentulah mereka segera beriman, dan tidak berkata
demikian).
[40]
(Mereka tidak diberitahu akan masa itu)
bahkan (yang dijanjikan) itu akan datang kepada mereka secara mengejut, serta
terus membingungkan mereka; maka mereka tidak akan terdaya menolaknya, dan
tidak akan diberi tempoh bertaubat.
[41]
Dan demi sesungguhnya, telah
diperolok-olokkan beberapa Rasul sebelummu, lalu orang- orang yang
mengejek-ejek di antara mereka, ditimpakan balasan azab bagi apa yang mereka
telah perolok-olokkan itu.
[42]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Siapakah yang dapat menjaga keselamatan kamu pada malam dan siang
daripada azab Tuhan yang bersifat Maha Pemurah?" (Mereka tidak memikirkan
yang demikian) bahkan mereka tetap berpaling ingkar dari pengajaran Tuhan mereka.
[43]
Tidak
ada bagi mereka tuhan-tuhan yang dapat melindungi mereka dari azab Kami. Mereka
yang dipertuhankan itu tidak dapat menolong dirinya sendiri, dan tidak pula
mereka dibantu dengan pertolongan dari pihak Kami.
[44]
(Bukan benda-benda yang dipertuhankan
itu yang memberi kesenangan kepada mereka) bahkan Kami biarkan mereka dan
datuk-nenek mereka menikmati (kesenangan hidup) hingga berlanjutanlah umur
mereka (dalam keadaan yang menyebabkan berlaku perkara yang tidak diingini
mereka). Maka tidakkah mereka melihat bahawa kami datangi daerah bumi yang
mereka kuasai dengan menguranginya sedikit demi sedikit dari
sempadan-sempadannya? Jika demikian halnya, maka adakah mereka yang akan
menang?
[45]
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah memberi amaran kepada kamu
dengan wahyu (Al-Quran yang diturunkan Allah kepadaku); dan sudah tentu orang-
orang yang pekak tidak dapat mendengar seruan apabila mereka diberi amaran,
(maka janganlah kamu menjadi pekak kerana azab Tuhan amatlah berat).
[46]
Dan demi
sesungguhnya, jika mereka disentuh oleh sedikit sahaja dari azab Tuhanmu, sudah tentu mereka akan
berkata: "Aduhai celakanya kami! Sebenarnya kami adalah orang-orang yang
zalim (terhadap diri sendiri)!"
[47]
Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan
neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari
kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan
teraniaya sedikitpun; dan jika
(amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya
(untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.
[48]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah
memberi kepada Nabi Musa dan Nabi
Harun Kitab (Taurat) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan
yang menjadi cahaya yang menerangi, serta yang mengandungi pengajaran, bagi
orang-orang yang mahu bertaqwa. [49]
Iaitu mereka
yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat
orang, dan
mereka pula gerun cemas akan (peristiwa-peristiwa yang mengerikan pada)
hari kiamat.
[50]
Dan Al-Quran ini juga pengajaran yang
berkat, yang Kami turunkan (kepada Nabi Muhammad); dengan keadaan yang demikian
maka patutkah kamu mengingkarinya? [51]
Dan demi
sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi
Ibrahim sebelum itu jalan yang
benar dalam bertauhid, dan Kami
adalah mengetahui akan halnya.
[52]
Ketika ia berkata kepada bapanya dan
kaumnya: "Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh
memujanya?"
[53]
Mereka menjawab: "Kami
dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya".
[54]
Ia berkata: "Sesungguhnya
kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata".
[55]
Mereka bertanya:
"Adakah engkau membawa kepada kami sesuatu yang benar (sebagai seorang
Rasul), atau engkau dari orang-orang yang bermain-main sahaja?"
[56]
Ia menjawab: "(Bukan bermain-main)
bahkan (untuk menegaskan bahawa) Tuhan kamu ialah Tuhan yang mentadbirkan
langit dan bumi, Dia lah yang menciptanya; dan aku adalah dari orang-orang yang
boleh memberi keterangan mengesahkan yang
demikian itu.
[57]
"Dan demi
Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap berhala-berhala kamu, sesudah kamu
pergi meninggalkan (rumah berhala ini)".
[58]
Lalu ia memecahkan semuanya
berketul-ketul, kecuali sebuah berhala mereka yang besar
(dibiarkannya), supaya mereka kembali
kepadanya.
[59]
(Setelah melihat kejadian itu) mereka
bertanya: "Siapakah yang melakukan perbuatan yang demikian terhadap
tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah
ia dari orang-orang yang zalim".
[60]
(Setengah dari)
mereka berkata: "Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim,
mencacinya".
[61]
(Ketua-ketua)
mereka berkata: "Jika demikian, bawalah dia di hadapan orang ramai supaya
mereka menyaksikan (tindakan mengenainya).
[62]
(Setelah ia
dibawa ke situ) mereka bertanya: "Engkaukah yang melakukan demikian kepada
tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?"
[63]
Ia menjawab: "(Tidak) bahkan yang
melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah
kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata". [64]
Maka mereka
(penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu
berkata (sesama sendiri):
"Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang zalim".
[65]
Kemudian mereka
terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: "Sesungguhnya engkau
(hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat
berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)?"
[66]
Nabi Ibrahim
berkata: "Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah
sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga
tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu?
[67]
"Jijik
perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa
kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?"
[68]
(Setelah tidak
dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Bakarlah dia dan
belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!"
[69]
Kami berfirman: "Hai api,
jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! ".
[70]
Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya
itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka
orang-orang yang amat rugi, (kalah
dengan hinanya).
[71]
Dan Kami
selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat
padanya untuk umat manusia.
[72]
Dan Kami kurniakan kepadanya:
Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya) sebagai tambahan;
dan tiap-tiap seorang (dari
mereka) Kami jadikan orang yang soleh.
[73]
Dan Kami jadikan
mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami, dan Kami
wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta
memberi zakat; dan mereka pula
sentiasa beribadat kepada Kami.
[74]
Dan kepada Nabi
Lut, Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu; dan Kami selamatkan dia dari
bandar yang penduduknya selalu melakukan perkara-perkara yang keji;
sesungguhnya mereka itu adalah kaum jahat, yang fasik, derhaka.
[75]
Dan Kami masukkan Nabi Lut dalam
(kumpulan mereka yang dilimpahi) rahmat Kami;
sesungguhnya dia dari orang-orang
yang soleh.
[76]
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Nuh,
ketika ia menyeru (berdoa kepada Kami) sebelum (Nabi-nabi yang tersebut) itu,
lalu Kami perkenankan doanya serta Kami selamatkan dia dan pengikut-pengikutnya
dari kesusahan yang besar.
[77]
Dan Kami membelanya dari angkara kaum
yang mendustakan ayat-ayat Kami; sesungguhnya adalah mereka kaum yang jahat;
lalu Kami tenggelamkan mereka semuanya (sehingga mati lemas dengan taufan).
[78]
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud
dengan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua menghukum mengenai tanaman-tanaman
semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu malam; dan sememangnya
Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman mereka.
[79]
Maka Kami beri
Nabi Sulaiman memahami hukum yang
lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami
berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang
banyak); dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama
dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.
[80]
Dan
Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga
keselamatan kamu dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa
bersyukur?
[81]
Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman
angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke negeri yang Kami
limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[82]
Dan (Kami
mudahkan) sebahagian dari Syaitan-syaitan untuk menyelam baginya, serta
melakukan kerja-kerja yang lain dari itu; dan adalah Kami mengawal mereka (daripada
melanggar perintahnya).
[83]
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub,
ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku
ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada
segala (yang lain) yang mengasihani".
[84]
Maka Kami perkenankan doa permohonannya,
lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan
kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari
Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya
bersabar dan mendapat balasan baik).
[85]
Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail
dan Idris serta Zul-Kifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar.
[86]
Dan Kami
masukkan mereka dalam (kumpulan yang dilimpahi) rahmat Kami: sesungguhnya
mereka adalah dari orang-orang yang soleh.
[87]
Dan (sebutkanlah
peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah,
yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah
berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang
gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat
menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan
aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri".
[88]
Maka Kami
kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang
menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan
orang- orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).
[89]
Dan
(sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan
berkata: "Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan
Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi".
[90]
Maka Kami
perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan
isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan
berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka
sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan
penuh harapan serta gerun takut;
dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.
[91]
Dan (sebutkanlah peristiwa) perempuan
yang telah menjaga kehormatan dan kesuciannya; lalu Kami tiupkan padanya dari
Roh (ciptaan) Kami, dan Kami jadikan dia dan anaknya sebagai satu tanda (yang
menunjukkan kekuasaan Kami) bagi umat manusia.
[92]
Sesungguhnya ugama Islam inilah
ugama kamu, ugama yang satu asas pokoknya, dan Akulah
Tuhan kamu; maka sembahlah kamu
akan Daku.
[93]
(Kebanyakan
manusia masih berselisihan) dan berpecah-belah dalam urusan ugama mereka;
(ingatlah) mereka semuanya akan kembali kepada kami (untuk menerima balasan).
[94]
Dengan yang
demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia beriman,
maka tidaklah disia-siakan amal usahanya; dan sesungguhnya Kami tetap
menulisnya.
[95]
Dan mustahil
kepada penduduk sesebuah negeri yang Kami binasakan, bahawa mereka tidak akan
kembali (kepada Kami untuk menerima balasan di akhirat kelak).
[96]
(Demikianlah keadaan mereka)
hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan
Makjuj, serta mereka meluru turun
dari tiap-tiap tempat yang tinggi.
[97]
Dan hampirlah datangnya janji hari
kiamat yang benar, maka dengan serta-merta pandangan mata orang-orang yang
kufur ingkar terbeliak (sambil berkata dengan cemas): "Aduhai celakanya
Kami. Sesungguhnya kami telah tinggal dalam keadaan yang melalaikan kami
daripada memikirkan perkara ini, bahkan kami telah menjadi orang-orang yang menganiaya diri
sendiri".
[98]
Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu
sembah, yang lain dari Allah, menjadi bahan-bahan bakaran yang dilimparkan ke
dalam neraka Jahannam; kamu (sudah tetap) akan memasukinya.
[99]
Kalaulah mereka (yang kamu
sembah) itu tuhan-tuhan, tentulah mereka tidak masuk ke
dalam neraka;
dan (ketahuilah), semuanya (yang menyembah dan yang disembah) akan kekal dalam
neraka selama-lamanya.
[100]
Mereka mendayu-dayu (kesakitan) di dalam
neraka, dan mereka pula di situ tidak dapat mendengar sesuatu yang
menyenangkan.
[101]
Sesungguhnya orang-orang yang
telah tetap dari dahulu lagi memperoleh kebaikan dari
Kami, mereka dijauhkan dari
neraka itu.
[102]
Mereka tidak
mendengar suara (julangan) api neraka itu, dan mereka akan kekal selama-
lamanya di dalam (nikmat-nikmat Syurga) yang diingini oleh jiwa mereka.
[103]
Huru-hara besar
yang amat mengerikan (pada hari kiamat) itu tidak merunsingkan mereka, dan
(sebaliknya) mereka disambut oleh malaikat-malaikat dengan berkata: "Inilah
hari kamu (beroleh kebahagiaan), yang telah dijanjikan kepada kamu (di dunia)
dahulu".
[104]
(Ingatlah) hari
Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran surat catitan; sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian,
Kami ulangi wujudnya lagi;
sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya.
[105]
Dan demi
sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah
ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh
hamba- hambaKu yang soleh".
[106]
Sesungguhnya
Al-Quran ini mengandungi keterangan-keterangan yang cukup bagi orang- orang
yang (cita-citanya) mengerjakan ibadat (kepada Allah dengan berilmu).
[107]
Dan tiadalah
Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi
sekalian alam.
[108]
Katakanlah: "Sesungguhnya yang
diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan
yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan
kepadaku?"
[109]
Sekiranya mereka berpaling ingkar maka
katakanlah: "Aku telah memberitahu kepada kamu (apa yang diwahyukan
kepadaku) dengan keterangan yang jelas untuk kita bersama; dan aku tidak
mengetahui sama ada (balasan buruk) yang dijanjikan kerana keingkaran kamu itu,
sudah dekat atau masih jauh.
[110]
Sesungguhnya Allah mengetahui akan
perkataan yang kamu sebutkan dengan terus terang, dan juga Ia mengetahui apa
yang kamu sembunyikan (di dalam hati).
[111]
"Dan aku tidak mengetahui (mengapa
dilambatkan balasan buruk yang dijanjikan kepada kamu itu) jangan-jangan
lambatnya menjadi satu sebab yang menambahkan azab kamu, dan di samping itu
memberi kamu kesenangan hidup hingga ke suatu masa yang tertentu".
[112]
(Nabi Muhammad merayu dengan) berkata:
"Wahai Tuhanku, hukumkanlah (di antara kami dengan mereka) dengan yang benar; dan Tuhan kami ialah Yang
Melimpah-limpah rahmatNya yang dipohonkan pertolonganNya terhadap apa yang kamu
sifatkan itu".
Al-Hajj
[1]
Wahai umat manusia, bertaqwalah
kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu
suatu perkara yang amat besar.
[2]
Pada hari kamu melihat
(peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan
anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan
anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal
mereka sebenarnya tidak mabuk,
tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.
[3]
Dan
ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan
sebarang pengetahuan, dan ia menurut tiap-tiap syaitan yang telah sebati dengan
kejahatan.
[4]
Yang telah
ditetapkan kepada (tiap-tiap) syaitan itu, bahawa sesiapa yang berketuakan dia,
maka sesungguhnya ia akan menyesatkannya dan memimpinnya kepada azab neraka.
[5]
Wahai umat manusia, sekiranya kamu
menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari
kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya
Kami telah menciptakan kamu dari
tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku,
kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak
disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak
menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam
kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke
suatu masa yang ditentukan lahirnya;
kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara)
hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu
yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan
umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga
ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan
(ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila
Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan
yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan
berjenis-jenis tanaman yang indah permai.
[6]
(Kedua-dua kenyataan) yang tersebut
membuktikan bahawa sesungguhnya Allah jualah Tuhan Yang Sebenar-benarnya (yang
berhak disembah), dan sesungguhnya Dia lah yang menghidupkan makhluk-makhluk
yang mati, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[7]
Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang,
tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah
akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang di dalam kubur.
[8]
Dan ada di antara manusia yang membantah
dalam perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan
sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab
Allah yang menerangi kebenaran; [9]
Ia membantah
sambil memalingkan sebelah badannya dengan sombong angkuh sehingga
menghalang
dirinya dan orang lain dari jalan ugama Allah; ia akan beroleh kehinaan di
dunia, dan Kami akan merasakannya azab yang membakar pada hari kiamat kelak;
[10]
(Dengan
dikatakan kepadanya): "Azab yang demikian ini ialah disebabkan perbuatan
tanganmu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim
kepada hamba- hambaNya".
[11]
Dan ada di
antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh
kebaikan, senanglah hatinya dengan
keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula
(kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat,
itulah kerugian yang terang nyata.
[12]
Ia menyeru dan
menyembah makhluk-makhluk yang lain dari Allah, yang tidak dapat
membahayakannya dan tidak dapat mendatangkan kebaikan kepadanya; itulah
kesesatan yang jauh terpesong.
[13]
Ia menyeru dan
menyembah makhluk yang - dengan perbuatan
demikian - mudaratnya lebih dekat dari manfaat yang diharapkannya;
demi sesungguhnya seburuk-buruk penolong dan seburuk-buruk sahabat karib ialah
makhluk yang diseru dan disembahnya itu.
[14]
Sesungguhnya
Allah akan memasukkan orang-orang yang
beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai; sesungguhnya Allah melakukan apa yang ditentukanNya.
[15]
Sesiapa yang menyangka bahawa Allah
tidak sekali-kali akan menolong Nabi Muhammad dalam dunia ini dan di akhirat
kelak, maka hendaklah ia menghulurkan tali (serta mengikatnya) di bumbong
rumahnya, kemudian hendaklah ia menjerut
lehernya (supaya ia mati tercekek); dalam pada itu
hendaklah ia memikirkan lebih dahulu, adakah tipu dayanya itu dapat
menghapuskan sebab-sebab yang menimbulkan kemarahannya?
[16]
Dan demikianlah pula Kami menurunkan
Al-Quran itu sebagai ayat-ayat keterangan yang jelas nyata; dan sesungguhnya
Allah memberi hidayah petunjuk kepada
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
peraturan dan undang-undangNya).
[17]
Bahawasanya orang-orang yang beriman,
dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani, dan
orang-orang Majusi, serta orang-orang Musyrik, sesungguhnya Allah akan
memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, kerana sesungguhnya
Allah sentiasa Memerhati dan Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
[18]
Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala
yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya
termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan
pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia?
Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan
kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah
maka ia
tidak akan
beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan
apa yang dirancangkanNya.
[19]
Inilah
dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan tentang Tuhan mereka.
Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api
neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak,
[20]
Yang dengannya
dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit badan mereka.
[21]
Dan mereka pula disediakan
batang-batang besi untuk menyeksa mereka.
[22]
Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari
neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya,
serta dikatakan: "Rasalah kamu azab seksa yang membakar!" [23]
Sesungguhnya
Allah akan memasukkan orang-orang yang
beriman dan beramal soleh ke
dalam Syurga
yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan
gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ dari sutera.
[24]
Dan mereka
diberi petunjuk kepada mengucapkan kata-kata yang baik, serta diberi petunjuk
ke jalan Allah Yang Amat Terpuji.
[25]
Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang
yang kafir serta menghalangi manusia dari jalan Allah (ugama Islam), dan dari
memasuki Masjid Al-Haraam (Makkah) yang Kami jadikan dia tempat beribadat untuk
seluruh umat manusia (yang beriman) -
sama ada yang tinggal menetap di situ
atau yang datang berziarah; dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang
perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab
yang tidak terperi sakitnya.
[26]
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami
tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman
kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan
bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang- orang yang berdiri dan yang rukuk
serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).
[27]
"Dan serukanlah umat manusia untuk
mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan
berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang
datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.
[28]
"Supaya mereka menyaksikan berbagai
perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut
nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka
dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian
makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan
kepada orang yang susah, yang fakir miskin.
[29]
"Kemudian
hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan
nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua
sejarahnya itu".
[30]
Itulah yang wajib dipatuhi; dan sesiapa
yang menghormati hukum-hukum Allah maka yang demikian menjadi kebaikan baginya
di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu binatang- binatang ternak, kecuali
yang dibacakan kepada kamu (tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik
yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta,
-
[31]
(Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan
tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya;
dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah maka
seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat
yang jauh (yang membinasakan).
[32]
Demikianlah
(ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia
lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari
sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.
[33]
Kamu beroleh
berbagai-bagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu hingga ke suatu
masa yang tertentu (bagi menyembelihnya); kemudian waktu menyembelihnya ketika
sampai di tanah haram Baitullah yang tua sejarahnya itu.
[34]
Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan
ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah
sebagai bersyukur akan pengurniaanNya
kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu
semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan
sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk
taat -
[35]
Iaitu orang-orang yang apabila disebut
nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal
hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang- orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang
yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.
[36]
Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan
kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar ugama Allah untuk kamu;
pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah
nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka
apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan
berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang
meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan
menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.
[37]
Daging dan darah binatang korban
atau hadiah itu tidak sekali-kali akan
sampai kepada
Allah, tetapi yang sampai
kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari
kamu. Demikianlah Ia memudahkan
binatang-binatang itu bagi kamu supaya
kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah
berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang
berusaha supaya baik amalnya.
[38]
Sesungguhnya
Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada
tiap-tiap seorang yang khianat, lagi
tidak bersyukur.
[39]
Diizinkan
berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh),
kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai
kemenangan).
[40]
Iaitu mereka yang diusir dari kampung
halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir)
semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah". Dan
kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya
runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan
tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam)
yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah
akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah
Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; -
[41]
Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami
berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan
sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta
melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan
segala urusan.
[42]
Dan jika mereka
(yang kafir itu) mendustakanmu (wahai Muhammad), maka (yang demikian tidaklah
pelik) kerana sesungguhnya sebelum mereka: Kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi
Hud), serta Thamud (kaum Nabi Soleh) telah juga mendustakan Rasul masing-masing;
[43]
Dan (demikian juga) kaum Nabi
Ibrahim dan kaum Nabi Lut;
[44]
Dan juga
penduduk Madyan; dan Nabi Musa juga telah didustakan; maka Aku memberi tempoh
kepada orang-orang kafir itu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab seksa.
Dengan yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu.
[45]
Maka bukan
sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya,
lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang
telah terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan).
[46]
Oleh itu,
bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat
kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang
dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi
kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang
sebenarnya
bukanlah mata kepala yang buta, tetapi
yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.
[47]
Dan mereka meminta kepadamu (wahai
Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan
memungkiri janjiNya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu hari dari
hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu
hitung.
[48]
Dan bukan
sedikit negeri-negeri yang Aku beri tempoh, sedang penduduknya berlaku zalim;
kemudian Aku menimpakannya dengan azab seksa; dan (ingatlah) kepada Akulah tempat
kembali.
[49]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Wahai sekalian manusia, aku tidak lain hanyalah seorang
Rasul pemberi amaran yang
menjelaskan keterangan-keterangan kepada kamu".
[50]
Maka orang-orang yang beriman dan
beramal soleh akan beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.
[51]
Dan (sebaliknya)
orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan Kami, mereka itulah ahli
neraka.
[52]
Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu
seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila ia bercita-cita (supaya
kaumnya beriman kepada ugama Allah yang dibawanya), maka Syaitan pun
melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu mencapai
cita-citanya; oleh itu, Allah segera menghapuskan apa yang telah diganggu oleh
Syaitan, kemudian Allah menetapkan ayat-ayatNya dengan kukuhnya; dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana.
[53]
(Yang demikian) kerana Allah hendak
menjadikan hasutan Syaitan itu sebagai satu fitnah cubaan bagi orang-orang yang ada penyakit kufur ingkar
dalam hati mereka, dan yang hatinya keras membatu; dan sesungguhnya mereka yang
zalim itu sentiasa berada dalam pertentangan yang jauh dari kebenaran.
[54]
Dan juga supaya
orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar
dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati
mereka mematuhinya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang
beriman ke jalan yang lurus.
[55]
Dan
orang-orang kafir tetap di dalam keraguan terhadap Al-Quran hingga datang
kepada mereka saat kiamat secara mengejut, atau datang kepada mereka azab hari yang tidak ada kebaikan untuk mereka.
[56]
Kuasa
pemerintahan pada hari kiamat itu tertentu bagi Allah. Ia akan menghukum di
antara mereka. Maka orang-orang yang beriman dan beramal soleh ditempatkan di
dalam Syurga yang penuh dengan segala nikmat dan kesenangan;
[57]
Dan orang-orang
yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan kami, maka mereka beroleh
azab seksa yang menghina.
[58]
Dan orang-orang
yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah
tentu Allah akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan
(ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia.
[59]
Sudah tentu Allah akan memasukkan
mereka (yang tersebut itu) ke tempat yang mereka sukai
(Syurga), dan sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
[60]
Demikianlah
(janji balasan Allah yang melimpah-limpah itu). Dan sesiapa yang membalas kejahatan orang, sama seperti
yang dilakukan kepadanya, kemudian ia dianiaya lagi, demi sesungguhnya Allah
akan menolongnya. (Dalam pada itu ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Pemaaf,
lagi Maha Pengampun.
[61]
(Pertolongan yang dijanjikan Allah tetap
berlaku) kerana Allah berkuasa menukar gantikan sesuatu keadaan sebagaimana
kuasaNya memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih
berganti); dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[62]
Bersifatnya Allah dengan kekuasaan dan
luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah, Dia lah sahaja Tuhan Yang
Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang mereka sembah selain dari Allah itulah
yang nyata palsunya. Dan (ingatlah)
sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar
(kekuasaanNya)
[63]
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah
telah menurunkan hujan dari langit, lalu menjadilah bumi ini hijau subur
(dengan sebabnya)? Sesungguhnya Allah Maha Halus serta lemah- lembut (urusan
tadbirNya), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya (akan hal-ehwal sekalian
makhlukNya).
[64]
Segala yang ada di langit dan di bumi
adalah kepunyaanNya. Dan sesungguhnya Allah,
Dia lah jua Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
[65]
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah
telah memudahkan apa yang ada di bumi untuk kegunaan kamu, dan (demikian juga)
kapal-kapal yang belayar di laut dengan perintahNya? Dan Ia pula menahan langit
daripada runtuh menimpa bumi, kecuali dengan izinNya; sesungguhnya Allah Amat
melimpah belas kasihanNya dan rahmatNya kepada umat manusia.
[66]
Dan Dia lah yang
menghidupkan kamu, kemudian Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu
semula. Sesungguhnya manusia sangatlah tidak bersyukur.
[67]
Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan
satu syariat yang tertentu untuk
mereka ikuti dan jalankan,
maka janganlah
ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariaatmu; dan serulah
(wahai Muhammad) umat manusia kepada ugama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau
adalah berada di atas jalan yang lurus.
[68]
Dan jika mereka
mengemukakan bantahan kepadamu, maka katakanlah:
"Allah Amat" mengetahui akan apa yang kamu lakukan.
[69]
"Allah akan
menghukum di antara kamu semua pada hari kiamat, mengenai apa yang kamu
berselisihan padanya".
[70]
Bukankah engkau telah mengetahui
bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi?
Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz);
sesungguhnya hal itu amatlah mudah bagi Allah.
[71]
Dan mereka menyembah yang lain dari
Allah iaitu benda-benda yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan
membenarkannya, dan yang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan
mengenainya dan (ingatlah) tiadalah bagi orang-orang yang zalim (dengan
perbuatan syirik) itu sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan (di dunia dan di akhirat).
[72]
Dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, engkau akan dapat
melihat pada muka orang-orang yang kafir itu tanda marah dan benci,
hampir-hampir mereka hendak menerkam dan menyerang orang-orang yang membacakan
ayat-ayat Kami kepada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika demikian,
mahukah, aku khabarkan kepada kamu: yang lebih buruk lagi daripada apa yang
telah menyebabkan kemarahan kamu itu? Ialah neraka yang telah dijanjikan oleh
Allah kepada orang-orang yang kafir, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali!
"
[73]
Wahai umat manusia, inilah
diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah
mengenainya dengan bersungguh-sungguh.
Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu,
tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun
beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari
mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah
belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).
[74]
Mereka (yang
kafir musyrik) itu tidak menghormati Allah menurut penghormatan yang selayaknya
(sebagaimana yang ditetapkanNya); sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat, lagi
Maha Kuasa.
[75]
Allah memilih utusan-utusanNya
dari malaikat dan dari manusia; sesungguhnya Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[76]
Ia mengetahui apa yang ada di
hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka; dan
kepada Allah jualah kembalinya
segala urusan.
[77]
Wahai
orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan
beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah
amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
[78]
Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah
dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan
suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan
dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan
kamu: "orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam (Al- Quran)
ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran
perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi
keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu,
dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada
Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah
sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.
terima kasih
ReplyDeleteSemoga mengalir pahala bagi pembuat website ini. Alhamdulillah
ReplyDeleteTerimakasih amal jariyah buat penulis 🙏🏻
ReplyDeleteAlhamdulillah terima kasih
ReplyDelete