[53]
"Dan tiadalah aku berani
membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan
kejahatan, kecuali orang-orang yang
telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu
itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
[54]
Dan (setelah
mendengar pengakuan perempuan-perempuan itu), raja berkata: "Bawalah Yusuf
kepadaku, aku hendak menjadikan dia orang yang khas untuk aku bermesyuarat
dengannya. Setelah (Yusuf dibawa mengadap, dan raja) berkata-kata dengannya
(serta mengetahui kebijaksanaannya) berkatalah raja kepadanya:
"Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat
tinggi, lagi dipercayai di kalangan
kami ".
[55]
Yusuf berkata:
"Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya
aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara
mentadbirkannya".
[56]
Dan demikianlah
caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas
tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami
kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat
kebaikan.
[57]
Dan sesungguhnya
pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula
sentiasa bertaqwa.
[58]
Dan (setelah
tiba musim kemarau) datanglah saudara-saudara Yusuf (ke Mesir), lalu masuklah
mereka mendapatkannya; Yusuf dengan serta merta kenal mereka, sedang mereka
tidak mengenalnya.
[59]
Dan ketika Yusuf
menyediakan untuk mereka bekalan mereka, berkatalah ia:" (Pada kali yang
lain) bawalah kepadaku saudara kamu yang sebapa. Tidakkah kamu melihat, bahawa
aku menyempurnakan bekalan makanan kamu, dan bahawa aku sebaik-baik penerima
tetamu?
[60]
Oleh itu, kalau
kamu tidak membawanya kepadaku, maka tidak ada hak bagi kamu mendapat bekalan
makanan di sisiku, dan janganlah kamu menghampiriku lagi".
[61]
Mereka menjawab:
"Kami akan memujuk bapanya melepaskan dia bersama-sama kami, dan
sesungguhnya kami akan melakukannya".
[62]
Dan (selepas
itu) berkatalah Yusuf kepada orang-orang suruhannya. "Masukkanlah barang-
barang dagangan mereka pada tempat simpanan barang di kenderaan mereka, supaya
mereka mengetahuinya kelak ketika mereka kembali kepada keluarga mereka, dan
supaya mereka datang lagi (ke negeri ini)".
[63]
Maka ketika mereka kembali kepada bapa
mereka, berkatalah mereka: "Wahai ayah kami! Kami (tetap diberi amaran
bahawa kami) tidak akan mendapat lagi bekalan makanan (kiranya Bunyamin tidak
pergi bersama). Oleh itu, hantarkanlah dia bersama-sama kami, supaya kami dapat
lagi bekalan makanan; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-
baiknya".
[64]
Bapa mereka berkata: "(Jika aku
lepaskan dia pergi bersama-sama kamu), aku tidak menaruh kepercayaan kepada
kamu menjaganya melainkan seperti kepercayaanku kepada kamu menjaga saudaranya
dahulu (yang telah kamu hampakan. Oleh itu aku hanya menaruh kepercayaan kepada Allah), kerana Allah jualah Penjaga
yang sebaik-baiknya, dan Dia lah jua
Yang Maha Mengasihani dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan".
[65]
Dan semasa
mereka membuka barang-barang mereka, mereka dapati barang-barang dagangan
mereka telah dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata dengan gembiranya:
"Wahai ayah kami! Apa yang kita
kehendaki lagi? Ini dia barang-barang
dagangan yang kita jadikan tukaran
(bagi mendapat gandum) itu telah dikembalikan kepada kita. Dan (dengan
kemurahan hati menteri yang berbudi itu) akan dapatlah kami membawa lagi
bekalan makanan kepada keluarga kami, dan kami pula akan dapat menjaga saudara
kami, serta akan dapat tambahan benda-benda makanan sebanyak muatan seekor unta
lagi. Pemberian tambahan yang sebanyak itu mudah sekali ditunaikannya".
[66]
Bapa mereka berkata:" Aku tidak
sekali-kali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, sehingga
kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh
(bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku
dengan selamat, kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh
musuh". Maka ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah)
kepadanya, berkatalah ia: "Allah jualah yang menjadi Saksi dan Pengawas
atas apa yang kita semua katakan itu." [67]
Dan ia berkata
lagi: "Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari
sebuah pintu
sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku
(dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang
telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu
hanya tertentu
bagi Allah. KepadaNyalah
aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang- orang yang mahu
berserah diri".
[68]
Dan ketika mereka masuk menurut arah
yang diperintahkan oleh bapa mereka, tidaklah perintahnya itu dapat
menyelamatkan mereka dari apa yang telah ditakdirkan oleh Allah sedikitpun,
tetapi yang demikian itu hanyalah melahirkan hajat yang terpendam dalam hati
Nabi Yaakub. Dan sesungguhnya ia orang yang berilmu, kerana kami telah
mengajarnya (dengan perantaraan wahyu); tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui
(akan rahsia takdir Tuhan).
[69]
Dan semasa mereka masuk mendapatkan
Yusuf, ia menempatkan saudara kandungnya (Bunyamin) bersama-samanya, sambil
berkata kepadanya:" Akulah saudara engkau Yusuf), oleh itu janganlah
engkau berdukacita lagi disebabkan apa yang mereka lakukan".
[70]
Maka ketika ia membekalkan mereka dengan
bekalan makan (yang mencukupi keperluan) mereka, lalu ia meletakkan bijana
minuman raja di kenderaan saudaranya (Bunyamin), kemudian menyeru seorang
penyeru:" Wahai orang-orang kafilah ini, sesungguhnya kamu adalah pencuri ".
[71]
Mereka bertanya
sambil mengadap ke arah orang-orang menteri yang menuduh itu: "Apa benda kamu
yang kehilangan?"
[72]
Orang-orang menteri menjawab: "Kami
kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda
makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian
itu".
[73]
Mereka berkata: "Demi Allah!
Sesungguhnya kamu sedia mengetahui bahawa kedatangan
kami bukanlah untuk berbuat kerosakan di bumi (Mesir ini), dan kami pula
bukanlah pencuri".
[74]
(Orang-orang menteri) bertanya:
"Maka apa balasan pencuri itu, jika kamu berdusta?"
[75]
Mereka menjawab:
"Balasannya: sesiapa yang didapati benda itu di kenderaannya, maka dia lah
sendiri yang menjadi balasannya. Demikianlah kami membalas orang-orang yang
zalim". [76]
Maka Yusuf pun
mulailah memeriksa tempat-tempat barang mereka sebelum memeriksa
tempat barang saudara kandungnya
(Bunyamin) kemudian ia mengeluarkan benda yang hilang itu dari tempat simpanan
barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan rancangan untuk
(menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat mengambil saudara kandungnya
menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki oleh Allah. (Dengan ilmu
pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki, dan
tiap- tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih
mengetahui,
[77]
Mereka berkata:" Kalau dia
mencuri, maka (tidaklah pelik), kerana sesungguhnya saudara
kandungnya pernah juga mencuri dahulu.
(Mendengar kata-kata yang menyinggung itu) maka Yusuf pun menyembunyikan
perasaannya, dan tidak menyatakannya kepada mereka, sambil berkata (dalam
hati): "Kamulah yang lebih buruk keadaannya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu katakan itu".
[78]
Merekapun merayu dengan berkata:
"Wahai datuk menteri! Sesungguhnya ia (Bunyamin), mempunyai bapa yang
sudah tua, lagi berpangkat. Oleh itu, ambilah salah seorang di antara kami
sebagai gantinya; sesungguhnya kami memandangmu dari orang-orang yang sentiasa
berbudi ".
[79]
Yusuf berkata: "Kami berlindung
kepada Allah daripada mengambil sesiapapun kecuali orang yang kami dapati
barang kami dalam simpanannya.
Sesungguhnya jika kami mengambil orang lain, nescaya menjadilah kami
orang-orang yang zalim".
[80]
Maka apabila mereka berputus asa
daripada mendapat pertolongannya, merekapun mengasingkan diri lalu bermesyuarat
tentang hal itu. Berkatalah ketua mereka (saudaranya yang sulung):
"Tidakkah kamu ketahui bahawa bapa kita telah mengambil janji dari kamu
yang dikuatkan dengan nama Allah, dan dahulu pun kamu telah mencuaikan janji
dan sumpah kamu dalam perkara menjaga keselamatan Yusuf? Oleh itu, aku tidak
sekali-kali akan meninggalkan negeri (Mesir) ini sehingga bapaku izinkan aku
(kembali atau sehingga Allah menghukum bagiku (untuk meninggalkan negeri ini),
dan Dia lah Hakim yang seadil- adilnya.
[81]
Kembalilah kamu kepada bapa kamu, dan
katakanlah, wahai ayah kami! Sesungguhnya anakmu (Bunyamin) telah mencuri, dan
kami tidak menjadi saksi (terhadapnya) melainkan dengan apa yang kami ketahui
dan kami tidaklah dapat menjaga perkara yang ghaib.
[82]
Dan bertanyalah kepada penduduk negeri
(Mesir) tempat kami tinggal (berdagang) dan kepada orang-orang kafilah yang
kami balik bersamanya. Sesungguhnya kami adalah orang- orang yang benar".
[83]
(Setelah mereka kembali dan menyampaikan
hal itu kepada bapa mereka) berkatalah ia: "(Tidaklah benar apa yang kamu
katakan itu) bahkan nafsu kamu telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu
perkara (yang kamu rancangkan). Jika demikian, bersabarlah aku dengan
sebaik-baiknya, mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku.
Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[84]
Dan (bapa mereka - Nabi Yaakub) pun
berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata:
Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya disebabkan
ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam
hati.
[85]
Mereka berkata:
"Demi Allah, ayah tak habis-habis ingat kepada Yusuf, sehingga ayah
menjadi sakit merana, atau menjadi dari orang-orang yang binasa".
[86]
(Nabi Yaakub) menjawab:
"Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada
Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu
tidak mengetahuinya.
[87]
Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah
khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu
berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus
asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir".
[88]
Maka (bertolaklah mereka ke Mesir, dan)
setelah mereka masuk mengadap Yusuf, berkatalah mereka: "Wahai Datuk
Menteri, kami dan keluarga kami telah menderita kesusahan (kemarau), dan kami
datang dengan membawa barang-barang yang kurang baik dan tidak berharga (untuk
menjadi tukaran bagi benda-benda makanan negeri ini). Oleh itu, sempurnakanlah
sukatan bekalan makanan bagi kami dan mendermalah kepada kami, sesungguhnya
Allah membalas dengan sebaik-baik balasan kepada orang-orang yang bermurah hati
menderma".
[89]
Yusuf berkata: "Tahukah kamu
(betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya, semasa
kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang
demikian)?" [90]
Mereka bertanya
(dengan hairan): "Engkau ini Yusufkah? " Ia menjawab: "Akulah
Yusuf dan
ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya
Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang
bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala
orang-orang yang berbuat kebaikan.
[91]
Mereka berkata: "Demi Allah!
Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami
(disebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang
yang bersalah".
[92]
Yusuf berkata: "Kamu pada hari ini
tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah
terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha
Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.
[93]
Pergilah dengan
membawa bajuku ini, kemudian letakkan pada muka ayahku supaya ia dapat melihat,
dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya".
[94]
Dan semasa kafilah (mereka meninggalkan
Mesir menunju ke tempat bapa mereka di Palestin), berkatalah bapa mereka
(kepada kaum kerabatnya yang ada di sisinya): "Sesungguhnya aku ada terbau
akan bau Yusuf. Jika kamu tidak menyangka aku sudah nyanyuk (tentulah kamu akan
percaya)".
[95]
Mereka berkata:
"Demi Allah! Sesungguhnya ayah masih berada
dalam keadaan tidak siumanmu yang lama".
[96]
Maka sebaik-baik sahaja datang pembawa
khabar berita yang mengembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka
Nabi Yaakub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala. Nabi Yaakub
berkata: "Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku
mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak
mengetahuinya?"
[97]
Mereka berkata: "Wahai ayah
kami! Mintalah ampun bagi kami akan
dosa-dosa kami;
sesungguhnya kami adalah
orang-orang yang bersalah".
[98]
Nabi Yaakub berkata: "Aku
akan meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku; sesungguhnya
Dia lah jua Yang Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani".
[99]
Maka ketika
mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya)
masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu
bapanya, sambil berkata: "Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu
berada di dalam aman.
[100]
Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya
(bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya
tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf:
"Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah
telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan
kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu
ke mari dari dosa sesudah Syaitan
(dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku.
Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya;
sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[101]
"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau
telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku
sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan
bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah
ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan
orang-orang yang soleh".
[102]
(Kisah nabi
Yusuf) yang demikian ialah dari berita-berita yang ghaib yang kami wahyukan
kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka semasa mereka sekata mengambil keputusan
(hendak membuang Yusuf ke dalam perigi) dan semasa mereka menjalankan rancangan
jahat (terhadapnya untuk membinasakannya).
[103]
Dan kebanyakan
manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin (supaya mereka
beriman).
[104]
Padahal engkau
tidak meminta kepada mereka sebarang upah tentang ajaran Al-Quran, sedang
Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan dan pengajaran dari Allah bagi umat
manusia seluruhnya.
[105]
Dan berapa
banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka
menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pagi dan datang, sedang mereka
tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.
[106]
Dan (orang-orang yang beriman
kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada
Allah melainkan mereka
mempersekutukannya juga dengan yang lain.
[107]
(Mengapa mereka
bersikap demikian?) Adakah mereka merasa aman dari didatangi azab Allah yang
meliputi mereka, atau didatangi hari kiamat secara mengejut, sedang mereka tidak menyedarinya?
[108]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia
umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas
nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari
golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain."
[109]
Dan tiadalah Kami mengutus Rasul -
sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar,
yang kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang- orang (yang tidak mahu
beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana
akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah)
sesungguhnya
negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa
kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?
[110]
(Orang-orang yang mendustakan ugama
Allah itu telah diberi tempoh yang lanjut sebelum ditimpakan dengan azab)
hingga apabila Rasul-rasul berputus asa terhadap kaumnya yang ingkar dan menyangka
bahawa mereka telah disifatkan oleh kaumnya sebagai orang-orang yang berdusta,
datanglah pertolongan Kami kepada mereka, lalu diselamatkanlah sesiapa yang
Kami kehendaki. Dan (ingatlah bahawa) azab Kami tidak akan dapat ditolak oleh
sesiapapun daripada menimpa kaum yang berdosa.
[111]
Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu
mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai
akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al- Quran) bukanlah ia
cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di
dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu,
serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat
bagi kaum yang (mahu) beriman.
Ar-R'ad
[1]
Alif, Laam, Miim, Raa'. Ini ialah
ayat-ayat Kitab (Al-Quran); dan apa yang diturunkan
kepadamu (wahai Muhammad) dari
Tuhanmu adalah benar; tetapi kebanyakan
manusia tidak
(mahu) beriman.
[2]
Allah jualah yang menjadikan langit
terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya,
kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia memudahkan matahari dan bulan
(untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk
suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan;
Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya
satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu
(untuk menerima balasan).
[3]
Dan Dia lah yang menjadikan bumi
terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta
sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan
padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih
berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah
bagi kaum yang (mahu) berfikir.
[4]
Dan di bumi ada beberapa potong tanah
yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya);
dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon
tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan
air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya)
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi
orang- orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.
[5]
Dan jika engkau merasa hairan (wahai
Muhammad), maka sungguh menghairankan perkataan mereka yang kafir itu (yang
mengatakan): "Adalah apabila
kami telah menjadi tanah betulkah kami pula akan hidup semula dalam bentuk
kejadian yang baharu?" Mereka
itulah orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan mereka, dan merekalah yang dibelenggu dengan belenggu-belenggu
pada leher mereka; dan merekalah juga ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
[6]
Dan mereka meminta kepadamu menyegerakan
kedatangan perkara buruk (azab yang dijanjikan) sebelum mereka memohon
kebaikan; padahal sesungguhnya telah berlaku sebelum mereka peristiwa-peristiwa
azab yang telah menimpa orang-orang yang kafir seperti mereka. dan (ingatlah)
sesungguhnya Tuhanmu Amat melimpah keampunanNya bagi manusia (yang bertaubat)
terhadap kezaliman mereka, dan sesungguhnya Tuhanmu juga amatlah keras balasan
azabNya (terhadap golongan yang tetap ingkar).
[7]
Dan berkatalah orang-orang yang kafir:
"Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) sesuatu mukjizat dari
Tuhannya?" Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang Rasul
pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), dan tiap-tiap umat (yang telah
lalu) ada Nabinya yang memimpin ke jalan yang
benar.
[8]
Allah mengetahui
akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang dari
yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih. Dan tiap-tiap sesuatu adalah
ditetapkan di sisiNya dengan
kadar yang tertentu.
[9]
Dia lah yang mengetahui
perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah jua Yang Maha
Besar, lagi maha Tinggi (Yang
mengatasi segala-galanya).
[10]
Sama sahaja kepadaNya: sesiapa di antara
kamu yang merahsiakan kata-katanya dalam hati dan yang menyatakannya; juga yang
bersembunyi pada waktu malam dan yang keluar berjalan pada waktu siang.
[11]
Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat
penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas
dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah
tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu
kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan
apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana
(disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak
atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat
menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.
[12]
Dia lah yang memperlihatkan kilat kepada
kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir), dan memberi harapan (dengan
turunnya hujan); dan Ia yang menjadikan awan tebal yang berat (dengan air).
[13]
Dan Dia lah juga yang guruh dan malaikat
bertasbih memujiNya, kerana takut kepadaNya. Dan Dia lah juga yang
menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang
dikehendakinya Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul)
mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasaNya) Padahal Ia
Amat keras azab seksanya.
[14]
Kuasa menerima ibadat yang benar adalah
tertentu bagi Allah; dan benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak
akan dapat menyahut atau memberikan sesuatupun kepada mereka, hanyalah seperti
orang yang membentangkan kedua tapak tangannya kepada air supaya sampai ke
mulutnya, padahal air itu sudah tentu tidak akan sampai kepadanya. Dan tiadalah
ibadat dan doa permohonan orang-orang kafir itu melainkan dalam kesesatan.
[15]
Dan kepada Allah
jualah sekalian makhluk yang ada di langit
dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan
(demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.
[16]
Bertanyalah
(wahai Muhammad): "Siapakah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan langit dan bumi?" Jawablah:
"Allah". Bertanyalah lagi: "Kalau demikian, patutkah kamu
menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai Pelindung dan Penolong, yang tidak dapat
mendatangkan sebarang manfaat bagi dirinya
sendiri, dan tidak dapat menolak sesuatu bahaya?" Bertanyalah lagi:
"Adakah sama, orang yang buta dengan orang yang celik? Atau adakah sama,
gelap-gelita dengan terang? Atau adakah makhluk-makhluk yang mereka jadikan sekutu bagi Allah itu
telah mencipta sesuatu seperti ciptaanNya, sehingga ciptaan-
ciptaan itu
menjadi kesamaran kepada mereka?" Katakanlah: "Allah jualah yang
menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa".
[17]
Ia menurunkan
air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya)
menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian banjir
itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam
api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul
buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara
yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut
terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap
tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan
misal-misal perbandingan.
[18]
Bagi orang-orang yang menyahut seruan
Tuhan mereka sahajalah balasan yang sebaik- baiknya; dan orang-orang yang ingkar
yang tidak menyahut seruanNya,
kalaulah mereka mempunyai segala apa jua yang ada di bumi disertai dengan
sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri dengannya. mereka itu
disediakan baginya hitungan hisab yang seburuk-buruknya, serta tempat kembali
mereka ialah neraka jahanam; dan amatlah buruknya tempat tinggal itu.
[19]
Maka adakah
orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu
(wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya?
Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang- orang yang berakal sempurna.
[20]
Orang-orang yang menyempurnakan
perjanjian Allah dan tidak merombak (mencabuli)
perjanjian yang telah
diperteguhkan itu; -
[21]
Dan orang-orang yang menghubungkan
perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh
bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan
dihadapi semasa soaljawab dan hitungan
amal (pada hari kiamat); -
[22]
Dan orang-orang yang sabar kerana
mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang,
serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara
bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara
yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang
sebaik-baiknya
pada hari akhirat; -
[23]
Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan
memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa
mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang
malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; - [24]
(Memberi hormat
dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan
kesabaran kamu. Maka amatlah
baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.
[25]
Dan (sebaliknya) orang-orang yang
merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya dan memutuskan
perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, serta mereka pula
membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, - mereka itu beroleh laknat, dan
mereka pula beroleh balasan hari akhirat yang seburuk-buruknya.
[26]
Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa
yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang
menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia,
sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan
tidak, kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat.
[27]
Dan orang-orang yang kafir berkata:
"Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) satu mukjizat dari Tuhannya?
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa
yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi petunjuk
ke jalan ugamanya, sesiapa yang rujuk kepadaNya, -
[28]
"(Iaitu)
orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan
zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang
tenteramlah hati manusia.
[29]
Orang-orang yang beriman dan beramal
soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan tempat kembali yang
sebaik-baiknya.
[30]
Demikianlah, Kami utuskan engkau (wahai
Muhammad) kepada satu umat yang telah lalu sebelumnya beberapa umat yang lain,
supaya engkau membacakan kepada mereka Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu,
sedang mereka kufur kepada (Allah) Ar-Rahman Katakanlah: "Dia lah Tuhanku,
tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. KepadaNyalah aku berserah
diri, dan kepadaNyalah tempat kembaliku (dan kamu semuanya)".
[31]
Dan kalaulah ada mana-mana Kitab Suci
yang dengan sebabnya gunung-ganang terbongkar bergerak dari tempatnya, atau
dengan sebabnya bumi dipecah-belah mengeluarkan isi kandungannya, atau dengan
sebabnya orang-orang yang telah mati dapat menjawab kata-kata yang dihadapkan
kepadanya, maka Al-Quran ialah Kitab Suci yang mengandungi mukjizat. (Tetapi
lahirnya sesuatu mukjizat itu adalah menurut kehendak Allah), bahkan segala
urusan tertentu bagi Allah. Maka tidakkah orang-orang yang beriman mengetahui bahawa kalaulah Allah
menghendaki tentulah Ia memberi petunjuk kepada umat manusia seluruhnya, (lalu
menjadikan mereka semuanya beriman). Dan orang-orang yang kafir itu (dengan
sebab kekufuran mereka) sentiasa ditimpa bala bencana (ke atas diri atau harta
benda mereka); atau pun bala bencana itu turun menimpa tempat-tempat yang
berhampiran dengan tempat tinggal mereka (lalu menjadikan mereka gempar
kecemasan), sehinggalah datang janji Allah (hari kiamat dan azabnya);
Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.
[32]
Dan sesungguhnya
telahpun diejek-ejekkan Rasul-rasul yang diutus sebelummu (wahai Muhammad),
lalu aku biarkan orang-orang yang tidak percayakan Rasul-rasul itu ke suatu
masa yang tertentu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab; maka tidaklah
terperi
seksanya azabKu itu.
[33]
Setelah diketahui demikian maka tidaklah
patut disamakan Allah Tuhan yang berkuasa mengawas, tiap-tiap diri dan
mengetahui akan apa yang telah diusahakan oleh diri-diri itu, (dengan makhluk
yang tidak bersifat demikian). Dalam pada itu, mereka yang kafir telah
menjadikan beberapa makhluk sebagai sekutu bagi Allah. Katakanlah (wahai
Muhammad): "Namakanlah kamu akan mereka (yang kamu sembah itu). Atau
adakah kamu hendak memberi tahu kepada Allah akan apa yang tidak diketahuiNya
di bumi? Atau adakah kamu menamakannya dengan kata-kata yang lahir (sedang pada
hakikatnya tidak demikian)?" Bahkan sebenarnya telah diperhiaskan oleh Iblis
bagi orang-orang yang kafir itu akan kekufuran dan tipu daya mereka (terhadap
Islam), dan mereka pula disekat oleh hawa nafsu mereka daripada menurut jalan
yang benar. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan
pilihannya yang salah) maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah
petunjuk kepadanya.
[34]
Mereka beroleh
azab dalam kehidupan dunia, dan sesungguhnya azab hari akhirat lebih
menyeksakan lagi; dan tiadalah bagi mereka, sesiapapun yang dapat melindungi
mereka dari azab Allah itu.
[35]
Sifat Syurga
yang dijanjikan kepada orang-orang yang
bertaqwa itu ialah air sungai- sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya;
makanannya kekal tidak putus-putus dan naungannya sentiasa teduh. Itulah
kesudahan usaha orang-orang yang bertaqwa, sedang kesudahan usaha orang-orang
yang kafir pula ialah neraka.
[36]
Dan orang-orang yang Kami berikan Kitab,
mereka bersukacita dengan apa yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) dan
di antara beberapa kumpulan dari
orang-orang itu ada yang mengingkari sebahagiannya. Katakanlah:
"Sesungguhnya aku hanya diperintahkan supaya menyembah Allah, dan supaya aku tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain:
kepadaNyalah aku menyeru (manusia semuanya untuk menyembahNya), dan
kepadaNyalah tempat kembaliku (dan kamu semuanya untuk menerima balasan)".
[37]
Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran
sebagai hukum dalam bahasa Arab. Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai
Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya kepadamu wahyu
pengetahuan (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau peroleh dari Allah sesuatupun yang dapat mengawal dan
memberi perlindungan kepadamu (dari perkara-perkara yang tidak diingini).
[38]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah
mengutus Rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan
zuriat keturunan. Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang Rasul untuk
mendatangkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah. Tiap-tiap satu
tempoh dan waktu ada baginya perkara dan hukum yang telah ditentukan oleh "Suratan
Azali".
[39]
Allah menghapuskan apa jua yang
dikehendakiNya dan Ia juga menetapkan apa jua yang
dikehendakinya. Dan (ingatlah)
pada sisiNya ada "Ibu segala suratan".
[40]
Sama ada Kami perlihatkan kepadamu
(wahai Muhammad) sebahagian dari azab yang Kami janjikan untuk mereka (yang
ingkar) atau kami wafatkanmu sebelum melihatnya maka tidaklah menjadi hal
kerana tanggunganmu hanyalah menyampaikan hukum-hukum yang kami turunkan
kepadamu; dan urusan Kami menghitung dan membalas amal mereka.
[41]
Mengapa mereka yang kafir itu masih
berdegil dan tidak mahu memerhatikan bahawa kekuasaan kami sentiasa menakluk
bumi (yang mereka diami) dengan menjadikan dia kurang sedikit demi sedikit
dari kebaikannya dan kemuliaannya? Dan (ingatlah) Allah menghukum menurut apa
yang dikehendakiNya; tiada sesiapapun yang dapat menghalang hukumNya, dan dia
lah juga yang amat cepat hitungan hisabNya.
[42]
Dan sesungguhnya orang-orang kafir yang
sebelum mereka telah melancarkan rancangan jahat (terhadap Nabi-nabi mereka):
oleh itu, (janganlah engkau bimbang kerana) bagi Allah jualah kuasa
menggagalkan segala jenis rancangan jahat. Ia mengetahui apa yang diusahakan
oleh tiap-tiap diri; dan orang-orang yang kafir akan mengetahui bagi siapakah
balasan (yang baik dan yang buruk) pada hari akhirat kelak.
[43]
Dan orang-orang
yang kafir itu berkata: "Engkau bukanlah seorang Rasul dari Allah". Katakanlah (kepada mereka):
"Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan juga disaksikan
oleh orang-orang yang ada ilmu pengetahuan mengenai Kitab Allah".
Ibrahim
[1]
Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab
(Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau
mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman
- dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.
[2]
Allah jua yang
memiliki segala yang ada di langit serta yang ada di bumi; dan kecelakaan besar
bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran) dari azab yang amat
berat (yang akan menimpa mereka kelak).
[3]
Orang-orang yang mengutamakan dunia
lebih daripada akhirat, dan menghalangi manusia dari jalan ugama Allah, serta
menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang
terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya.
[4]
Dan Kami tidak mengutuskan seseorang
Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah)
kepada mereka. Maka Allah menyesatkan
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayah petunjuk
kepada sesiapa
yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[5]
Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan
Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil
Kami berfirman: "Hendaklah engkau
mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah
mereka dengan Hari-hari Allah. "Sesungguhnya yang demikian itu,
mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang
yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur. [6]
Dan (ingatlah)
ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya:
"Kenanglah nikmat Allah kepada
kamu, semasa Ia menyelamatkan kamu dari
Firaun dan orang-orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa
yang buruk dan mereka pula menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan
hidup anak-anak perempuan kamu; dan kejadian yang demikian itu mengandungi bala
bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu".
[7]
Dan
(ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu
bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya,
jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
[8]
Dan Nabi Musa
berkata: "Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi seluruhnya
berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian tidak merugikan Allah), kerana
sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
[9]
(Mengapa kamu masih berdegil) bukankah
telah datang kepada kamu khabar
berita orang- orang yang terdahulu daripada kamu, iaitu kaum Nabi Nuh, dan Aad
juga Thamud serta orang-orang yang kemudian daripada mereka ? Tiada sesiapapun
yang mengetahui bilangan mereka melainkan Allah. Mereka telah didatangi oleh
rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, lalu mereka
meletakkan tangan mereka ke mulut mereka sambil berkata: "Sesungguhnya
kami kufur ingkarkan apa yang -
mengikut dakwaan kamu - kamu diutus membawanya, dan sesungguhnya kami adalah
dalam keadaan yang meragukan terhadap iman dan tauhid yang kamu ajak kami
kepadanya".
[10]
Rasul-rasul mereka bertanya:
"Patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang wujudnya Allah, yang
menciptakan langit dan bumi? Ia menyeru kamu beriman kerana hendak membersih
dan melepaskan kamu dari dosa-dosa kamu, dan memberi tempoh kepada kamu hingga
ke suatu masa yang tertentu. Mereka menjawab: "Kamu tidak lain hanyalah
manusia seperti kami. Kamu bertujuan hendak menyekat kami daripada menyembah apa
yang telah disembah oleh datuk
nenek kami. Oleh itu, bawalah kepada kami satu bukti yang jelas nyata". [11]
Rasul-rasul
mereka berkata kepada mereka: "Kami ini tidak lain hanyalah manusia seperti
kamu juga,
tetapi Allah melimpahkan kurniaNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari
hamba-hambaNya; dan kami tiadalah berkuasa membawa kepada kamu sebarang bukti
(mukjizat) melainkan dengan izin Allah. Dan dengan yang demikian maka kepada
Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.
[12]
"Dan mengapa pula kami tidak
berserah diri kepada Allah padahal Ia telah menunjukkan jalan untuk tiap-tiap
seorang dari kami menjalaninya? Dan
demi sesungguhnya, kami akan bersabar
terhadap segala perbuatan kamu menyakiti kami. Dan dengan yang demikian, maka
kepada Allah jualah hendaknya berserah diri orang-orang yang mahu
berserah".
[13]
Dan berkatalah pula orang-orang yang
kafir itu kepada Rasul-rasul mereka: "Demi sesungguhnya, kami akan
mengeluarkan kamu dari negeri kami atau kamu menjadi seugama dengan kami".
Lalu Tuhan wahyukan, kepada Rasul-rasulNya: "Demi sesungguhnya! Kami akan
membinasakan orang-orang yang zalim.
[14]
"Dan demi
sesungguhnya! kami akan tempatkan kamu di negeri itu sesudah binasanya kaum
yang zalim itu; balasan baik yang demikian, adalah bagi orang-orang yang takut
akan sikap keadilanKu (menghitung amalnya), dan takut akan janji-janji azabKu".
[15]
Dan (Rasul-rasul
serta umatnya yang beriman) memohon pertolongan (kepada Allah, untuk mendapat
kemenangan); dan terkecewalah tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi
bersikap degil (dalam keingkarannya).
[16]
Di belakangnya
disediakan neraka Jahannam, dan ia akan diberi minum dari air danur (yang
keluar dari tubuh ahli neraka).
[17]
Ia meminumnya dengan terpaksa dan
hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), dan ia
didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati
(supaya terlepas dari azab seksa itu); dan selain dari itu, ada lagi azab seksa
yang lebih berat.
[18]
Bandingan (segala kebaikan amal dan
usaha) orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang
diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang; mereka tidak memperoleh
sesuatu faedah pun dari apa yang mereka telah usahakan itu. Sia-sianya amalan
itu ialah kesan kesesatan yang jauh dari dasar kebenaran.
[19]
Tidakkah engkau
telah nampak dan mengetahui bahawa Allah telah menciptakan langit dan bumi
dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat? Jika Ia kehendaki nescaya
dibinasakanNya kamu (dengan sebab kekufuran kamu) dan didatangkan pula dengan
makhluk-makhluk yang baharu.
[20]
Dan yang demikian itu tidaklah
sukar bagi Allah melakukannya.
[21]
Dan mereka sekalian tetap akan berhimpun
mengadap Allah (untuk dihisab pada hari kiamat); kemudian orang-orang yang
lemah (yang menjadi pengikut) kepada
orang-orang yang sombong takbur itu akan berkata kepada mereka (yang menjadi pemimpinnya):
"Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut kamu; maka adakah kamu dapat menolak daripada kami
sedikit dari azab Allah? " Mereka menjawab: "Kalaulah Allah
menunjukkan
jalan selamat
kepada kami, tentulah kami tunjukkan jalan itu kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja kepada kita, sama ada
kita menggelisah dan mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi
kita untuk melepaskan diri (dari azab itu)".
[22]
Dan berkatalah pula Syaitan setelah
selesai perkara itu: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan
janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu
kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu
selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku
itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu
dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku
telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang
kamu sekutukan daku denganNya". Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang
meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi
sakitnya.
[23]
Dan
dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh, ke dalam
Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di
dalamnya dengan izin Tuhan mereka; ucapan selamat sentiasa mereka dapati (dari
malaikat) di dalam Syurga-syurga itu. [24]
Tidakkah engkau
melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu
perbandingan, iaitu: kalimah yang baik
adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya)
tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang
ke langit. [25]
Dia mengeluarkan
buahnya pada tiap-tiap masa dengan
izin Tuhannya. Dan Allah
mengemukakan
perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat
(mendapat pelajaran).
[26]
Dan bandingan Kalimah yang jahat dan
buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut
akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.
[27]
Allah menetapkan (pendirian) orang-orang
yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat;
dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka
sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.
[28]
Tidakkah engkau melihat (dan merasa
ajaib) terhadap orang-orang kafir yang telah
menukar kesyukuran nikmat Allah dengan kekufuran, dan yang telah menempatkan
kaum mereka dalam kebinasaan?
[29]
(Iaitu) neraka
Jahannam yang mereka akan menderita bakarannya;
dan (ingatlah), seburuk- buruk tempat tetap ialah neraka Jahannam.
[30]
Dan mereka
mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan manusia dari jalanNya.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara di
dunia), kerana sesungguhnya kesudahan kamu ke neraka".
[31]
Katakanlah kepada hamba-hambaKu yang
beriman hendaklah mereka mendirikan sembahyang dan mendermakan dari apa yang
kami kurniakan kepada mereka, sama ada dengan merahsiakan pemberiannya itu atau
dengan terbuka; sebelum datangnya hari yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada sahabat handai (yang
dapat memberikan pertolongan).
[32]
Allah jualah yang menciptakan langit dan
bumi, dan menurunkan hujan dari
langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan
bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal
untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai
untuk kamu (mengambil manfaat darinya).
[33]
Dan Ia juga yang menjadikan matahari dan
bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan
malam dan siang bagi faedah hidup kamu. [34]
Dan Ia telah
memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan
jika kamu menghitung nikmat Allah
nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang
ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak
menghargai nikmat Tuhannya.
[35]
Dan (ingatlah)
ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! jadikanlah
negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari
perbuatan menyembah berhala.
[36]
Wahai Tuhanku,
berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh
itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia
adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi
ugamaku),
maka
sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan
bertaubat).
[37]
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku
telah menempatkan sebahagian dari
zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman
padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami,
(mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan
memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari
manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ),
dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah- buahan dan
hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.
[38]
"Wahai
Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan
tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang
tersembunyi kepada Allah!
[39]
"Segala puji tertentu bagi
Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail
dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku
Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan.
[40]
"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku
orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai
Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.
[41]
"Wahai
Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-
orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan"
[42]
Dan janganlah engkau (wahai Muhammad)
menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang
zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari
yang padanya terbeliak kaku
pemandangan mereka, (kerana gerun gementar
melihat keadaan yang berlaku).
[43]
(Dalam pada itu) mereka terburu-buru
(menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan
mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan
cemas).
[44]
Dan berilah amaran (wahai Muhammad)
kepada manusia yang ingkar itu jangan mereka lupakan hari kiamat yang padanya
mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang- orang yang berlaku
zalim akan merayu dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, (kembalikanlah kami
ke dunia dan) berilah tempoh kepada kami hingga ke suatu masa yang dekat,
supaya kami menyahut seruanMu (untuk mengesakanMu dan mentaati perintahMu), dan supaya kami menurut ugama yang disampaikan oleh Rasul-rasul
itu". Dan (rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada mereka):
"Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian, dan bukankah
kamu telah bersumpah (semasa kamu dalam dunia) dahulu, bahawa keadaan kamu
tidak akan mengalami sebarang perubahan?
[45]
"Padahal kamu telah mendiami
tempat-tempat tinggal orang-orang yang berlaku zalim kepada diri mereka
sendiri, serta telah ternyata kepada kamu dengan bukti-buKti yang jelas
bagaimana Kami telah mengubah keadaan mereka (dengan menimpakan mereka berbagai bencana), dan Kami pula telah
nyatakan kepada kamu berbagai contoh perbandingan (di dalam Al-Quran dan
melalui sabda Rasul)".
[46]
Dan sesungguhnya
mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang
di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat
mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun.
[47]
Oleh itu,
janganlah engkau menyangka Allah memungkiri janjiNya kepada Rasul-rasulNya;
sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Sedia Membalas (orang-orang yang menderhaka
kepadaNya).
[48]
(Ingatlah) masa
hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia
semuanya keluar berhimpun mengadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa.
[49]
Dan engkau akan
melihat orang-orang yang berdosa pada ketika itu diberkas dengan belenggu.
[50]
Pakaian mereka
dari belangkin (minyak tar), dan muka (serta seluruh badan) mereka diliputi
oleh jilatan api neraka.
[51]
(Keluarnya manusia dari kubur
masing-masing itu ialah) kerana Allah akan membalas tiap- tiap seorang apa yang
ia telah usahakan; sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya. [52]
(Al-Quran) ini
disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat
dengannya; dan supaya mereka mengetahui
(dengan hujjah-hujjah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah
ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran,
beringat dan insaf.
Al-Hijr
[1]
Alif, Laam,
Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab (yang lengkap sempurna) dan Al-Quran yang
memberi penjelasan.
No comments:
Post a Comment