[92]
Kamu tidak sekali-kali akan dapat
mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu
dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu
dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
[93]
Segala jenis makanan
dahulu adalah halal bagi Bani Israil, kecuali makanan yang diharamkan oleh
Israil (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat.
Katakanlah
(wahai Muhammad): "(Jika ada makanan yang diharamkan kepada kamu - wahai
Bani Israil - sebelum Kitab Taurat diturunkan) maka bawalah kamu Kitab Taurat
itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.
[94]
(Jika tidak)
maka sesiapa yang mereka-reka kata-kata dusta terhadap Allah sesudah yang
demikian itu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
[95]
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka
ikutilah kamu akan ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan
bukanlah ia dari
orang-orang musyrik.
[96]
Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula
dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah
yang berkat dan (dijadikan) petunjuk
hidayah bagi umat manusia.
[97]
Di situ ada tanda-tanda keterangan yang
nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim.
Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan
manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang
mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji
itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya
(tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.
[98]
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu ingkarkan keterangan-
keterangan Allah, padahal Allah sentiasa menyaksikan apa yang kamu
lakukan?"
[99]
Katakanlah:
"Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman
daripada menurut jalan jalan (ugama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah
itu
bengkok
terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)? "Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan
apa yang kamu lakukan.
[100]
Wahai orang-orang yang beriman! Jika
kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang
diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang
kafir sesudah kamu beriman.
[101]
Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir
padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat
Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w)? Dan
sesiapa berpegang teguh kepada (ugama) Allah, maka sesungguhnya ia telah
beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).
[102]
Wahai orang-orang yang beriman!
Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan
sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan
Islam.
[103]
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian
kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah
kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu
bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu
bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka
menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang- orang Islam yang bersaudara. Dan
kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu
semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan
nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat
keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.
[104]
Dan hendaklah ada di antara kamu satu
puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan
menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang
salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang- orang
yang berjaya.
[105]
Dan janganlah kamu menjadi seperti
orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri- berai dan berselisihan
(dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan- keterangan yang
jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa
yang besar.
[106]
(Ingatlah akan) hari (kiamat yang
padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka
(orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam
mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): "Patutkah kamu kufur
ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan
kekufuran kamu itu". [107]
Adapun
orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah
rahmat Allah (Syurga), mereka
kekal di dalamnya.
[108]
Itulah ayat-ayat
keterangan Allah, kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar. Dan
(ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian
makhlukNya.
[109]
Dan bagi Allah jualah hak milik
segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada
Allah jualah dikembalikan segala
urusan.
[110]
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah
sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu
menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara
yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan
sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman
(sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka.
(Tetapi) di antara mereka ada yang
beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.
[111]
Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak
sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali
menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan
jika mereka memerangi kamu, mereka
akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina- hinanya); sesudah
itu mereka tidak akan mencapai kemenangan.
[112]
Mereka
ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali
dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah
sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan
kemiskinan (dari segala jurusan).
Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah
(perintah-perintahNya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang
benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi
(hukum-hukum Allah).
[113]
Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di
antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada
ugama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al- Quran) pada waktu
malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).
[114]
Mereka beriman kepada Allah dan hari
akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada
segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera segera pada
mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah
dari orang-orang yang soleh.
[115]
Dan apa sahaja
kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari
(atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa
mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.
[116]
Sesungguhnya
orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak
sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun, dan
mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya.
[117]
Bandingan apa
yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini (sekalipun untuk amal- amal
yang baik), samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang
menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu
membinasakannya; dan (ingatlah), Allah tidak menganiaya mereka, tetapi
merekalah yang menganiaya diri sendiri.
[118]
Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi
"orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada
kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda)
kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati
mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu
keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.
[119]
Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang
(yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang
mereka tidak suka kepada kamu. kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah
(sedang mereka tidak beriman kepada
Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: "Kami
beriman", tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit
hujung jari kerana geram marah
(kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): "Matilah kamu dengan kemarahan
kamu itu". Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati)
yang ada di dalam dada. [120]
Kalau kamu
beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian)
menyakitkan hati mereka; dan jika kamu
ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan
bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun.
Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.
[121]
Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika
engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu (di Madinah), dengan tujuan
menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing- masing untuk berperang
(di medan perang Uhud). Dan (ingatlah),
Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[122]
(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu
(pada hari peperangan Uhud itu)
terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah
Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah
hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.
[123]
Dan sesungguhnya
Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan
dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit
bilangannya dan kekurangan alat
perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan
kemenangan itu).
[124]
(Ingatlah
wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat
mereka): "Tidakkah cukup bagi
kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang
diturunkan?,"
[125]
Bahkan
(mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh)
datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima
ribu malaikat yang bertanda masing-masing.
[126]
Dan Allah tidak menjadikan bantuan
tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan
supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang
membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[127]
(Kemenangan Badar itu) kerana Allah
hendak membinasakan satu golongan dari orang-orang kafir atau menghina mereka
(dengan kekalahan), supaya mereka kembali dengan hampa kecewa.
[128]
Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai
Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka
tertentu bagi Allah), sama ada dia menerima taubat mereka ataupun Ia menyeksa
mereka; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.
[129]
Dan bagi Allah jualah segala yang ada di
langit dan yang ada di bumi. Ia mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan
dia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
[130]
Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan
berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu
berjaya. [131]
Dan peliharalah
diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.
[132]
Dan taatlah kamu kepada Allah dan
RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.
[133]
Dan segeralah
kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari
Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi,
yang disediakan bagi orang-orang
yang bertaqwa;
[134]
Iaitu
orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan
orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi
orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
[135]
Dan juga orang-orang yang apabila
melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat
kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada
yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan
perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan
salahnya dan akibatnya).
[136]
Orang-orang yang demikian sifatnya,
balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir
di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah
sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.
[137]
Sesungguhnya telah berlaku
sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian
berdasarkan)
peraturan-peraturan Allah yang tetap;
oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana
akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul). [138]
(Al-Quran) ini
ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran
bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
[139]
Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam
perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita
(terhadap apa yang akan menimpa kamu),
padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai
kemenangan) jika kamu
orang-orang yang
(sungguh-sungguh) beriman.
[140]
Jika kamu (dalam
peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera),
maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu
telah (tercedera juga dan) mendaapat luka yang sama (dalam peperangan Badar).
Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa
kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia,
(supaya menjadi
pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang
tetap beriman (dan yang sebaliknya),
dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu
orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-
orang yang zalim.
[141]
Dan juga supaya Allah
membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka)
dan membinasakan orang-orang yang
kafir.
[142]
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan
masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang
berjihad (yang berjuang dengan
bersungguh- sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya)
orang-orang yang sabar (tabah dan
cekal hati dalam perjuangan)?
[143]
Dan sesungguhnya
kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu
menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu
(sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata
kepala sendiri).
[144]
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah
seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah
mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah)
kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang
berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah
sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah
akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat
Islam yang tidak ada bandingannya itu).
[145]
Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa
tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang
tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian)
sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan
dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan
behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala
kepada orang-orang yang
bersyukur.
[146]
Dan berapa banyak dari Nabi-nabi
(dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang- orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa
lemah semangat akan apa yang
telah menimpa
mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan
tidak pula mahu
tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang- orang
yang sabar.
[147]
Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan
(semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan
kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan
kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian
kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum
yang kafir.
[148]
Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala
dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya
(nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa
mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.
[149]
Wahai
orang-orang yang beriman! Jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya
mereka akan menolak kamu kembali kepada kekufuran, lalu menjadilah kamu
orang-orang yang rugi. [150]
(Janganlah kamu
taatkan mereka!) Bahkan (taatlah kepada) Allah Pelindung kamu, dan Dia
lah sebaik-baik Penolong.
[151]
Kami akan isikan hati orang-orang kafir
itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan
benda-benda (yang mereka sembah) yang
Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan
yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk
tempat tinggal bagi orang- orang zalim.
[152]
Dan demi
sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada
kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya,
sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan
kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah
Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta
rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia
semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah
memalingkan kamu
daripada menewaskan mereka untuk
menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya
Allah telah
memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah
sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman.
[153]
(Ingatlah)
ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang
Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan
yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak
mematuhinya). Oleh sebab itu Allah membalas kamu (dengan peristiwa) yang
mendukacitakan (kekalahan), dengan
sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang
mendukacitakan (Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang
telah luput dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu.
Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu
lakukan.
[154]
Kemudian sesudah (kamu mengalami
kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman
tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh
imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan
diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang
jahiliyah. Mereka berkata: "Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari
pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?" Katakanlah (wahai Muhammad):
"Sesungguhnya perkara (yang
telah dijanjikan) itu semuanya
tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut
peraturan yang ditetapkanNya)". Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa
yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri):
"Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu,
tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?" katakanlah
(wahai Muhammad): "Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya
keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh
itu ke tempat mati masing-masing".
Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk
menguji apa yang ada dalam dada kamu,
dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa
mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
[155]
Bahawasanya orang-orang yang telah
berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan
tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu, sesungguhnya mereka telah digelincirkan
oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang
mereka telah lakukan (pada masa yang lalu); dan demi sesungguhnya Allah telah
memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
[156]
Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik)
yang telah kufur
dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka
bumi untuk berniaga, atau keluar berperang (lalu mati atau terbunuh):
"Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan
tidak terbunuh". (Apa yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan
akibatnya Allah menjadikan (kesan perkataan dan kepercayaan mereka) yang
demikian itu: penyesalan dalam hati mereka. Dan (ingatlah), Allah yang
menghidupkan dan yang mematikan, dan Allah sentiasa melihat akan segala yang
kamu lakukan.
[157]
Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh
pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa - semasa
mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan dari Allah dan rahmatNya
adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan
(meliputi segala jenis kesenangan hidup).
[158]
Demi
sesungguhnya! jika kamu mati atau terbunuh, sudah tentu kepada Allah jualah
kamu akan dihimpunkan (untuk menerima balasan).
[159]
Maka dengan sebab rahmat (yang
melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap
lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat
dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu
maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan
pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan
mereka dalam urusan (peperangan dan
hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah
bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.
[160]
Jika Allah menolong kamu mencapai
kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan
jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah
Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya
orang-orang yang beriman itu berserah diri.
[161]
Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi
itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang), dan sesiapa
yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa bersama pada hari kiamat
kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan
(balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan
dikurangkan sedikitpun (balasannya).
[162]
Adakah orang
yang menurut keredaan Allah itu sama seperti orang yang kesudahannya mendapat kemurkaan
dari Allah? Sedang tempat kembalinya ialah neraka Jahannam, dan itulah
seburuk-buruk tempat kembali.
[163]
Mereka
itu (yang menurut keredaan Allah, dan yang mendapat kemurkaanNya), mempunyai
tingkatan-tingkatan (pahala atau dosa yang berlainan) di sisi Allah; dan Allah
Maha Melihat akan segala yang mereka kerjakan.
[164]
Sesungguhnya
Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah
Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri,
yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang
membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari
iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah
(pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya
mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang
nyata.
[165]
(Patutkah kamu melanggar perintah
Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam
peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali
ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu
berkata: "Dari mana datangnya (kemalangan) ini? "Katakanlah (wahai
Muhammad): "Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri
(melanggar perintah Rasulullah)". Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
[166]
Dan apa yang telah menimpa kamu pada
hari bertemu dua kumpulan (angkatan tentera - di medan perang Uhud) itu, maka
(adalah ia) dengan izin Allah, dan dengan tujuan Allah hendak melahirkan dengan
nyata akan orang-orang yang (sebenar-benarnya) beriman. [167]
Dan juga dengan
tujuan Ia hendak melahirkan dengan nyata akan dikatakan kepada mereka:
"Marilah berperang pada jalan Allah
(untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda
kamu)". Mereka menjawab: "Kalaulah kami faham ada peperangan (dengan sebenar-benarnya), tentulah kami
mengikut kamu (turut berperang)". Mereka ketika (mengeluarkan perkataan)
itu lebih dekat kepada kufur dari dekatnya kepada iman. Mereka selalu menyebut
dengan mulutnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan apa
yang mereka sembunyikan.
[168]
Merekalah juga yang mengatakan tentang
hal saudara-saudaranya (yang telah terbunuh di medan perang Uhud), sedang
mereka sendiri tidak turut berperang: "Kalaulah mereka taatkan kami (turut
menarik diri) tentulah mereka tidak terbunuh". Katakanlah (wahai
Muhammad): "Jika demikian, hindarkanlah maut dari diri kamu, jika betul
kamu orang-orang yang benar". [169]
Dan jangan
sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid)
pada jalan Allah itu mati,
(mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa)
di sisi Tuhan mereka dengan
mendapat rezeki;
[170]
(Dan juga) mereka bersukacita dengan
kurniaan Allah (balasan mati Syahid)
yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik
mengenai (saudara- saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang
masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka,
(iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik)
terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
[171]
Mereka
bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan
(ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.
[172]
Iaitu orang-orang yang menjunjung
perintah Allah dan RasulNya (supaya keluar menentang musuh yang menceroboh),
sesudah mereka mendapat luka (tercedera di medan perang Uhud). Untuk
orang-orang yang telah berbuat baik di antara mereka dan yang bertaqwa, ada
balasan yang amat besar.
[173]
Mereka juga ialah yang diberitahu oleh
orang-orang (pembawa berita) kepada
mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk
memerangi kamu, oleh itu hendaklah
kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu
berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan
kami)".
[174]
Setelah (pergi mengejar
musuh), mereka kembali dengan mendapat
nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana
pun, serta mereka pula menurut
keredaan Allah. Dan ingatlah),
Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.
[175]
Sesungguhnya (pembawa berita) yang
demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut- nakutkan (kamu terhadap)
pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi
takutlah kepadaKu (jangan cuaikan perintahKu), jika betul kamu orang-orang yang
beriman.
[176]
Dan janganlah engkau berdukacita (wahai
Muhammad), disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran;
kerana sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat
kepada Allah sedikitpun. Allah menetapkan tidak memberi kepada mereka (balasan
baik syurga) pada hari akhirat kelak, dan mereka pula beroleh azab seksa yang
amat besar.
[177]
Sesungguhnya orang-orang yang membeli
(memilih) kufur dengan meninggalkan
iman tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah
sedikitpun, dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[178]
Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir
menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka;
kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa
(di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat
kelak).
[179]
Allah tidak sekali-kali akan membiarkan
orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada seorang (bercampur aduk
mukmin dan munafik, bahkan Ia tetap menguji kamu) sehingga Ia memisahkan yang
buruk (manufik) daripada yang baik (beriman). Dan Allah tidak sekali-kali akan
memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang Ghaib akan tetapi Allah memilih dari RasulNya sesiapa yang
dikehendakiNya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang Ghaib).
Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul- rasulNya; dan kamu beriman dan
bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar. [180]
Dan jangan
sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan
Allah kepada mereka dari kemurahanNya -
menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk
bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan
itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan
(isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam
akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang
katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang
kamu dakwakan itu)?"
[181]
Sesungguhnya Allah telah mendengar
perkataan orang-orang (Yahudi) yang mengatakan: Bahawasanya Allah miskin dan
kami ialah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu
dan perbuatan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang
membenarkannya, dan Kami akan katakan kepada mereka: "Rasalah kamu azab seksa yang sentiasa membakar -
[182]
(Azab seksa) yang demikian itu ialah
disebabkan perbuatan yang - telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri. Dan
(ingatlah), sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada
hamba-hambanya."
[183]
Orang-orang (Yahudi itulah) yang
berkata: "Sebenarnya Allah telah perintahkan kami, supaya kami jangan
beriman kepada seseorang Rasul sehingga ia membawa kepada kami korban yang
dimakan api. "Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya telah datang
kepada kamu beberapa Rasul dahulu daripadaku dengan membawa
keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang kamu
membunuh mereka, jika kamu orang- orang yang benar (dalam yang kamu dakwakan
itu)?
[184]
Oleh itu, jika mereka mendustakanmu
(wahai Muhammad, maka janganlah engkau berdukacita), kerana sesungguhnya
Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu
telah didustakan juga; mereka telah membawa keterangan-keterangan (mukjizat)
yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran), serta Kitab (Syariat) yang
terang jelas.
[185]
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai
mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan
kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga
maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia
ini (meliputi segala kemewahannya dan
pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang
terpedaya.
[186]
Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada
harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari
orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang
yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam
pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu
adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).
[187]
Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil
perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu):
"Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat
manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya".
Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta
mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah
buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu.
[188]
Jangan sekali-kali engkau menyangka
(wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka
telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan
- jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan
mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.
[189]
Dan bagi Allah
jualah kuasa pemerintah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap- tiap
sesuatu.
[190]
Sesungguhnya pada kejadian langit dan
bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan,
kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi
orang-orang yang berakal;
[191]
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan
mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring
mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang
kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah
Engkau menjadikan benda- benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka
peliharalah kami dari azab neraka.
[192]
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa
yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah
menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong
pun;
[193]
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami
telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: `
Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami,
ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama
orang-orang yang berbakti;
[194]
Wahai
Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami
melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak
memungkiri janji".
[195]
Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka
(dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal
orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan,
(kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain;
maka orang-orang yang berhijrah (kerana
menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan
juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu,
dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur
Syahid dalam perang Sabil) - sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-
kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan
di sisi Allah
jualah pahala yang sebaik-baiknya
(bagi mereka yang beramal soleh)".
[196]
Jangan sekali-kali engkau (wahai
Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri
(yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka). [197]
(Semuanya) itu
hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat
kembali mereka neraka Jahannam:
dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.
[198]
Tetapi
orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh Syurga-syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai
tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) dari Allah. Dan
(ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang
berbakti (yang taat, yang banyak
berbuat kebajikan).
[199]
Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab,
ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada
kamu (Al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang
mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk
mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi
Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
[200]
Wahai orang-orang yang beriman!
Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara
yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran
musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di
daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu
berjaya (mencapai kemenangan).
An-Nisaa'
[1]
Wahai sekalian manusia!
Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu
(bermula) dari diri yang satu
(Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu
pasangannya (isterinya - Hawa),
dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan
- lelaki dan
perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta
dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya
Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
[2]
Dan berikanlah
kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu
tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta
mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu
adalah dosa yang besar.
[3]
Dan jika kamu takut tidak berlaku adil
terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka
berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain):
dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di
antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau
(pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah
lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.
[4]
Dan berikanlah kepada
perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka
hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah
(gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik
kesudahannya.
[5]
Dan janganlah kamu berikan (serahkan)
kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya
akan harta (mereka yang ada dalam
jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai
asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari
pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka
dengan kata-kata yang baik.
[6]
Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum
baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa).
Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan
bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah
kepada mereka hartanya; dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu
secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum
mereka dewasa. Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang
kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin
maka bolehlah ia memakannya dengan
cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya,
maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka.
Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan segala yang kamu lakukan).
[7]
Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka
dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang- orang perempuan pula ada
bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau
banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan
(dan ditentukan oleh Allah).
[8]
Dan apabila
kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-
orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah
kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan
kata-kata yang baik.
[9]
Dan hendaklah takut (kepada Allah
daripada melakukan aniaya kepada anak-anak
yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka
pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim)
di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan
dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada
Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati
kebenaran).
[10]
Sesungguhnya
orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka
itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke
dalam api neraka yang menyala-nyala.
[11]
Allah perintahkan kamu mengenai
(pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak
kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak
perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian
mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika
anak perempuan itu seorang sahaja,
maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si
mati), tiap-tiap
seorang dari
keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati
itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati
itu
mempunyai
beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.
(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh
si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu,
kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian
harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari
Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[12]
Dan bagi kamu satu perdua dari harta
yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak.
Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta
yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan
sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu
perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak.
Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu)
ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat
yang kamu wasiatkan, dan sesudah
dibayarkan hutang kamu. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau
perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang
saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam.
Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka
mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan
perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan
sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak
mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah
ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
[13]
Segala hukum yang tersebut adalah
batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya,
akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa
sungai, mereka kekal di dalamnya; dan
itulah kejayaan yang amat besar. [14]
Dan sesiapa yang
derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas
SyariatNya, akan
dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya
azab seksa yang amat menghina.
[15]
Dan sesiapa yang melakukan perbuatan
keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki
di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu
mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina
itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah
mengadakan untuk mereka jalan keluar
(dari hukuman itu). [16]
Dan (mana-mana)
dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah
sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu
menyakiti keduanya; kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri
mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah mereka; kerana sesungguhnya Allah
adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmatNya. [17]
Sesungguhnya penerimaan taubat itu
disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang
melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera
bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya;
dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana.
[18]
Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada
orang-orang yang selalu melakukan
kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia:
"Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu
sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang
mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka
azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[19]
Wahai
orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan
dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan
menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang
kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji
yang nyata. Dan bergaulah kamu
dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika
kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu
terburu- buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang
Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak
(untuk kamu).
[20]
Dan jika kamu hendak mengambil isteri
(baharu) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedang kamu telahpun
memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta
yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. Patutkah
kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang
nyata?
[21]
Dan bagaimana
kamu tergamak mengambil balik pemberian
itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan
mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat
daripada kamu?
[22]
Dan janganlah kamu berkahwin (dengan
perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang
telah berlaku pada masa yang lalu.
Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh
Allah), serta menjadi seburuk- buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).
[23]
Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan
(perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan
saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu
kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang
perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara
susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam
pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu
belum campuri mereka (isteri kamu)
itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin
dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu
sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua
beradik sekali
(untuk menjadi
isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu.
Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Barakallahu fikum, semoga terjamahan ini sangat bermanfaat bagi yang membacanya dan menjadi amal soleh buat orang yang membuatnya
ReplyDeleteAamiin Yaa Robbal'alamiin..jazakillah khoir..sangat bermanfaat
ReplyDeletesmg ada youtube terjemNahannya
ReplyDeleteAlhamdulilah dan Terima kasih 👍🤲
ReplyDeleteAlhamdulillah....Sangat bermanfaat...Terima kasih atas usaha murni ini..
Delete